The Umbrella Academy adalah siri TV adiwira baharu, yang mana pada kami adalah sesuatu yang menarik untuk anda semua cuba menonton. Ya lah, asyik-asyik DC atau Marvel – apa kata kita cuba tonton siri TV daru dunia komik Dark Horse Comic pula. Tidak dinafikan yang musim pertama siri ini adalah sedikit perlahan, tetapi ia mempunyai jalan cerita yang menarik dan pengakhiran yang mengejutkan. Bayangkan, siri TV ini telah ditonton oleh sebanyak 45 juta orang dalam masa sebulan sahaja.
Pada bulan Jun tahun lepas, musim kedua siri TV ini telah disahkan oleh Gerard Way – iaitu pencipta komik ini. Akhirnya tarikh siaran buat The Umbrella Academy musim kedua telah diumumkan, setelah hampir setahun penantian. Siri TV ini akan disiarkan di Netflix pada 31 Julai ini. Pengumuman tarikh siaran ini dilakukan oleh para pelakon siri TV ini sendiri melalui rakaman video tersendiri yang diterbitkan di YouTube Netflix. Video pengumuman ini mimik salah satu babak dalam siri TV itu sendiri yang mana setiap watak menari dan menikmati lagu tema siri TV tersebut ” I Think We’re Alone Now”.
The White Violin, Spaceboy, The Kraken, The Rumor, The Seance dan The Boy akan kembali dalam musim kedua The Umbrella Academy pada 31 Julai ini. Bagi siapa yang berminat untuk lihat apa kesinambungannya, marilah sama-sama kita nantikan. Buat masa ini, masih tiada sinopsis lagi bagaimanakah jalan cerita musim kedua. Tetapi bagi yang sudah lupa, The Umbrella Academy mengisahkan 43 bayi yang lahir pada tahun 1989 secara tiba-tiba – sedangkan si ibu tiada langsung petanda mengandung. Tujuh daripadanya telah diambil sebagai anak angkat oleh seorang jutawan untuk bersedia menyelamatkan dunia daripada ancaman. Sambil itu, kesemua anak-anak angkat ini menyelesaikan misteri di sebalik kematian bapa angkat mereka dan turut merungkai masalah masing-masing yang membawa kepada ancaman bahaya.
Tonton ulasan kami untuk musim pertama melalui video di bawah ini;