Adakah Assassin’s Creed Odyssey Terlalu Besar?

Assassin’s Creed Odyssey telah dikeluarkan pada Oktober tahun 2018, kini, selepas lebih setahun saya baru sahaja berkesempatan untuk menghabiskannya untuk penceritaan utama dan juga beberapa bahagian DLC, itu pun “berterima kasih” kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang memberi saya sedikit ruang masa untuk bermain.

Secara keseluruhan, ia mengambil 90 jam masa bermain dan masih 20 hingga 30 jam kandungan yang saya masih tidak bermain. Dengan kata lain, ia adalah satu permainan yang besar dengan kandungan yang pelbagai. Namun, adakah ia terlalu besar dan mengakibatkan kualiti terjejas?

Ubisoft sendirinya nampaknya merasakan yang Odyssey terlalu besar apabila mengatakan yang permainan seterusnya iaitu Assassin’s Creed Valhalla bukanlah permainan Assassin’s Creed terbesar ataupun terpanjang di dalam siri ini, dan ingin memberikan pengalaman bermain yang lebih terhad.

Bagi saya, walaupun akan menghabiskan lebih 100 jam untuk menghabiskan permainan ini, saya merasakan saiz ataupun kepanjangan permainan bukanlah masalah untuk Odyssey akan tetapi masalah bagaimana setiap kandungan tersebut di sampaikan.

Berikut adalah antara masalah yang terdapat di dalam permainan Odyssey yang membuatkan ia menjadi satu permainan yang terlalu “besar”.

Penceritaan Terasa Terputus

Perkara yang Ubisoft mula menambah untuk memberikan misi-misi lebih bermakna adalah penceritaan. Bermula dengan Origin dan dikembangkan lagi di dalam Odyssey, setiap misi akan mempunyai penceritaan tersendiri, sama ada berkait ataupun tidak dengan penceritaan utama.

Kebanyakan daripadanya juga diberikan pelbagai pilihan kepada pemain untuk menentukan jalan cerita serta keputusan tersendiri. Ia adalah perkara yang menjadikan setiap misi tersebut lebih menarik untuk dilakukan. Namun, kekurangan yang hadir dengan banyaknya misi serta penceritaan ini, ia terasa macam hadir di ruangan sendiri dan tidak terasa seperti di dalam dunia yang sama.

Contohnya, ada misi yang memerlukan saya untuk menjadi ketua untuk satu puak ini, tetapi apabila menjadi puak tersebut, ada beberapa misi yang berkait dengan puak tersebut tidak langsung mempunyai kesan sama ada saya adalah ketua ataupun tidak. Kalau adapun perbezaan ia terlalu kecil dan masih terasa terputus.

Apabila setiap misi dan juga penceritaan “bercakap” dengan satu sama lain, ia akan menjadikan setiap perkara yang dilakukan oleh pemain lebih bermakna, ia juga akan memberikan dunia yang lebih mendalam.

Ini juga menjadi masalah kepada watak utama iaitu Alexios ataupun Kassandra, sepanjang permainan ini, anda boleh mempunyai perhubungan dengan watak-watak lain. Walau bagaimanapun, saya merasakan mereka melakukannya dengan kurang baik. Setiap perhubungan tidak mempunyai kesinambungan dengan perhubungan yang lain.

Saya merasakan untuk menyelesaikan dua masalah ini, Ubisoft perlu melihat bagaimana permainan seperti The Witcher 3 menyertakan penceritaan di dalam misi mereka, tetapi pada masa sama menjadikan ia lebih bermakna. Selain itu, Ubisoft juga boleh mengambil Mass Effect, bagaimana mereka menyertakan perhubungan dengan sangat baik.

Selain itu, pilihan dialog yang disertakan di dalam permainan ini juga terasa kurang menarik. Perbezaan antara pilihan mungkin membawa kesan yang sedikit, walaupun ia memberi kesan yang besar, tetapi kesan tersebut senang untuk diatasi dan akhirnya menjadikan ia tidak membawa apa-apa yang bermakna.

Memberi pilihan kepada pemain untuk melakukan keputusan sendiri adalah satu perkara yang menarik, tetapi ia harus adil dan bermakna agar ia tidak terasa kosong.

Aktiviti Sampingan Janggal Dan Kosong

Selain misi utama dan misi sampingan, terdapat juga beberapa aktiviti lain yang boleh dilakukan untuk mengisi lagi dunia permainan ini. Kebanyakan misi adalah menarik untuk dilakukan, akan tetapi ada beberapa aktiviti yang sedikit janggal, dan menambah lagi masalah perasaan terputus di dalam permainan ini.

Contoh aktiviti tersebut adalah Conquest. Pada asasnya, ia adalah aktiviti yang seronok, pemain perlu mengurangkan “Nation Power” ataupun kekuasaan sesuatu kerajaan di kawasan tertentu, sebelum memulakan peperangan di antara Greek dan Spartan. Sekadar aktiviti kosong, ia adalah menarik, tetapi saya merasakan aktiviti ini sedikit janggal dengan apa yang sedang dilakukan oleh watak utama.

Masalah utama mengenai misi ini adalah pemain boleh memilih mana-mana bahagian sahaja, ia sepatutnya masuk akal kerana watak pemain adalah seorang “askar upahan” ataupun digelar “Misthios” di dalam permainan ini. Namun, dengan perjalanan penceritaan utama, dengan apa yang cuba dilakukan, ia sedikit janggal dengan penceritaan. Menjadikan aktiviti ini tidak bersesuaian dengan keseluruhan permainan dan sekadar dilakukan untuk menjadi pengisi sahaja.

Mereka juga menyertakan penceritaan untuk setiap misi sampingan, seharusnya turut disertakan untuk aktiviti sampingan. Walaupun bukan satu penceritaan yang mendalam, ia seharusnya sekurang-kurangnya bersesuaian dengan penceritaan utama.

Selain itu, terdapat juga aktiviti sampingan yang terasa dilakukan secara tidak menyeluruh. Contohnya adalah sistem Mercenaries di mana, terdapat ramai askar upahan yang mungkin memburu anda jika terdapat “bounty” ataupun anda juga boleh memburu mereka. Selain lakukan untuk mendapatkan barangan serta meningkatkan tahap, sistem ini tidak membawa apa-apa yang lain untuk menjadikan ia berbaloi untuk dilakukan.

Ia memperlihatkan tahap semasa anda, tetapi pada masa sama ia tidak memberi kesan kepada bahagian lain di dalam permainan. Menjadikan ia satu aktiviti yang sangat tidak berguna untuk dilakukan.

Terdapat banyak aktiviti lain yang terasa kosong, menjadikan permainan walaupun dipenuhi dengan pelbagai aktiviti, tetapi ia bukanlah aktiviti yang bermakna untuk dilakukan. Melainkan, anda seorang yang suka memastikan sesuatu permainan 100% dihabiskan, ia bukanlah satu perkara yang menarik untuk dilakukan oleh pemain.

Dunia Yang Luas Bukan Masalah Tetapi Peluang Yang Tidak Dipenuhi

Oleh itu, saya merasakan masalah Assassin’s Creed Odyssey bukanlah permainan yang “terlalu besar” atau “terlalu luas”, kerana mengembara di dalam permainan ini adalah satu perkara yang mengasyikkan. Ia benar-benar memperkenalkan kepada pemain mengenai dunia di zaman silam. Pengembaraan secara berjalan kaki ataupun menggunakan kuda dan juga kapal, adalah perkara yang saya tidak mempunyai masalah untuk melakukannya.

Namun, seperti yang saya terangkan di bahagian atas, ia mempunyai masalah di mana mereka tidak berjaya untuk mengisinya dengan misi ataupun aktiviti yang bermakna. Ubisoft seharusnya mengimbangkan mengenai rekaan dunia bersama dengan misi serta aktiviti yang bermakna.

Walaupun, saya masih merasakan Assassin’s Creed Odyssey satu permainan RPG dunia terbuka yang sangat baik, bahkan Aksiz juga pernah mengulas dan memberikan markah yang sangat positif, namun, ia adalah permainan yang tidak mencapai keseluruhan potensi yang boleh diberikan terutama kerana rekaan dunia serta mekanik yang baik.

Harapan Untuk Valhalla

Dengan apa yang saya baca daripada beberapa laporan, saya boleh katakan Valhalla mungkin akan menyelesaikan masalah-masalah yang hadir di dalam Odyssey. Ia mempunyai bentuk permainan yang lebih memberi fokus kepada pembinaan komuniti. Ia juga dikatakan akan memfokuskan kepada perhubungan yang memberi kesan kepada politik.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, ia juga dilaporkan adalah lebih kecil berbanding sekurang-kurangnya Odyssey, mungkin memberi maksud yang mereka tidak akan terlalu fokus untuk menghasilkan dunia yang luas tetapi lebih kepada mengisi permainan dengan lebih bermakna.

Dengan kata lain, jika Odyssey adalah satu hidangan bufet, yang mungkin menarik untuk satu masa, tetapi apabila sudah “kenyang” selebihnya terasa muak. Jadi saya berharap, Valhalla ini akan menjadi satu “fine dining” di mana setiap menu ditawarkan dengan berkualiti.

Sebelum ia tidak dikeluarkan, ataupun perkongsian lanjut diberikan, ia masih lagi tidak dapat disahkan, namun, saya sudah semestinya tidak sabar untuk mencuba apabila ia dikeluarkan hujung tahun ini.

Sohor Kini