Seperti anda sedia maklum, studio animasi Monsta bukan sahaja terlibat dengan penghasilan animasi tempatan seperti siri BoBoiBoy dan MechaMato, malah mereka juga merupakan salah satu rangkaian digital yang menerbitkan pelbagai kandungan siri animasi di Asia Tenggara sehinggalah ke Amerika Syarikat. Antara penerbitan mereka yang sangat terkenal adalah francais seperti Pokemon dan juga siri animasi Beyblade Burst, Kamen Rider dan sebagainya.
Terkini, Monsta mengumumkan yang mana saluran ataupun rangkaian digial Monsta Youtube Network mereka telah pun mencapai 10 juta pelanggan. Jumlah ini adalah hasil langganan bagi 12 saluran oleh mereka seperti saluran Monsta Channel, Mini Monsta, Monsta Keren, AnimaSEA, Papa Pipi, Mechamato dan sebagainya.
Sekaligus dengan pencapaian ini, mereka juga kini adalah rangkaian digital terbesar buat kanak-kanak dan seisi keluarga di Asia tenggara sejak ia ditubuhkan pada 2014 lepas. Tambahan itu, untuk memerangi kegiatan cetak rompak dan pada masa yang sama memudahkan orang ramai menonton siri kegemaran mereka, Monsta juga menyatakan yang mana masih lagi gigih untuk terus menyiarkan pelbagai rancangan mereka secara atas-talian dengan berunding dengan pelbagai syarikat penerbitan lain.
Menurut Monsta, setiap bulan mereka menerima lebih dari 30 juta pengunjung di saluran Monsta YouTube Network untuk menonton pelbagai siri daripada yang mana setakat ini, ia merangkumi jumlah tontonan terkumpul sehingga 5 bilion.
Dengan kejayaan ini, Monsta Youtube Network juga kini lebih komited untuk menyiarkan pelbagai lagi kandungan yang berkualiti buat tontonan peminat dan menjanjikan pelbagai lebih rancangan menarik seperti siri animasi Mechamato, iaitu sebahagian daripada Power Sphera Universe (PSU) oleh mereka.
Kami di Aksiz juga ingin mengucapkan tahniah buat Monsta atas kejayaan ini dan bagi peminat di luar sana, pastikan anda terus menyokong Monsta dengan mengikuti mereka di pelbagai saluran rasmi mereka di Youtube, laman rasmi dan sebagainya.