Bethesda hari ini mengumumkan yang mana mereka akan mengadakan sesi percubaan khas buat permainan Fallout 76 di mana melaluinya pemain berupaya untuk bermain permainan tersebut secara percuma.
Sesi tersebut akan bermula hari ini sehingga 18 Mei ini di konsol PlayStation 4, Xbox One dan juga di PC melalui Steam dan Bethesda.net. Menariknya, jika pemain berminat untuk terus bermain permainan tersebut kelak, Bethesda juga mengumumkan tawaran diskaun khas buat permainan tersebut sehingga 25%.
Tambahan itu, dengan pelancaran kandungan Wastelanders pada April lepas, Bethesda Softworks kini tampaknya terus nekad untuk menyertakan pelbagai lagi kandungan buat permainan Fallout 76 di mana hari ini mereka juga berkongsi beberapa senarai perancangan buat permainan tersebut.
Antara kandungan yang diumumkan adalah Seasons di mana ianya adalah satu perubahan buat sistem cabaran sekarang ini yang mana pemain boleh menggunakan sistem tersebut untuk mendapatkan pelbagai jenis ganjaran secara berperingkat.
Selain itu mereka juga menjanjikan pelbagai lagi kandungan yang akan dilancarkan sepanjang tahun ini seperti kandungan Brotherhood Of Steel yang akan meneruskan penceritaan permainan tersebut dengan pelbagai watak NPC dan sebagainya.
Fallout 76 telah pun dilancarkan pada 2018 lepas di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC.