Skip to main content

Sold Out dan Metronomik hari ini mengumumkan yang mana permainan No Straight Roads turut akan dilancarkan di konsol Xbox One dan Switch.

Permainan ini sebelum ini diumumkan akan tiba di konsol PlayStation 4 dan PC di mana kini, ianya disahkan akan tiba di kesemua konsol generasi kini pada tarikh yang sama iaitu 30 Jun 2020.

Bersempena dengan pengumuman ini, Metronomik juga berkongsi satu video acah baharu yang memfokuskan bentuk permainannya dengan ketua musuh DJ Subtomic SuperNova dan pelbagai lagi bentuk permainan lain yang mana ianya semestinya kelihatan sangat menarik sekali.

Seperti yang kami kongsikan sebelum ini, No Straight Roads merupakan permainan sulung oleh Metronomik, iaitu studio pembangun permainan di bawah Wan Hazmer, bekas pereka permainan Final Fantasy XV dan Daim Dziauddin, bekas konsep artis untuk Street Fighter V.

Melalui permainan ini, ianya memfokuskan bentuk permainan secara aksi pengembaraan dengan tema muzik di mana pemain akan bermain sebagai MayDay dan Zuke untuk bertempur dengan empayar EDM dengan muzik Rock.

Menariknya, versi Switch buat permainan ini turut akan menyertakan mod koperasi sebanyak 3 pemain khas yang mana pemain berupayaa untuk bermain sebagai Zuke, MayDay dan Elliegator iaitu watak pembantu yang akan menolong pemain mengutip barangan dan sebagainya.

Selain itu, versi Switch juga akan menyokong alat kawalan JoyCon secara kendiri dan juga sokongan skrin sesentuh konsol tersebut.

Selain itu, Metronomik juga mengesahkan yang mana edisi terhad yang diumumkan sebelum ini juga turut akan dilancarkan di konsol PlayStation 4, Xbox One dan juga Switch.

Bagi anda yang berminat, pastikan anda dapatkan permainan ini menjelang Jun ini di platform pilihan anda.

Leave a Reply