Giliran PUBG Untuk PC Pula Menerima Bot Dan Sistem Ranked Baharu

PUBG Corp melalui pengumuman di Steam berkongsi lanjut mengenai kemaskini 7.2 yang akan tiba tidak lama lagi, ia sudah disertakan di dalam pelayan percubaan.

Antara pembaharuan yang disertakan adalah Survival Title akan ditukar kepada sistem Ranked di mana hanya perlawanan melalui mod Ranked sahaja akan dikira, mod permainan lain tidak akan memberi kesan.

Ia akan menyertakan 6 tahap, iaitu Bronze, Silver, Gold, Platinum, Diamond dan Master. Ganjaran akhir musim akan diberikan berdasarkan tahap anda berada. Setiap tahap mempunyai Ranked Point (RP) tersendiri, apabila pemain mencapai RP tertentu, pemain akan memasuki tahap tersebut.

RP diperoleh dengan bermain dan bergantung kepada prestasi seperti jumlah membunuh, membantu dan kedudukan. Apabila mencapai tahap Diamond, RP pemain akan berkurangnya setiap hari jika pemain tidak aktif.

Penambahan seterusnya, dan mungkin kurang digemari oleh pemain adalah bot juga akan mula disertakan di dalam perlawanan. Seperti sebelum ini mereka mula menyertakan bot untuk versi konsol, alasan sama juga diberikan untuk PC iaitu ramai pemain baharu yang sering bermain tanpa melakukan sebarang serangan dan mati terlalu cepat.

Dengan adanya bot, ia akan memberi peluang pemain baharu untuk meningkatkan kemahiran mereka dan juga memberi mereka keseronokan bermain. PUBG Corp menegaskan yang pemain tidak akan bersama dengan bot di dalam satu kumpulan, dan jumlah bot juga akan berkurangan apabila pemain semakin mahir.

Kemaskini 7.2 ini juga menyertakan pelbagai penambah-baikkan untuk bentuk permainan, maklumat lanjut anda boleh baca di Steam ataupun melalui video di bawah.

Sohor Kini