Sony hari ini melancarkan satu video khas yang memfokuskan di sebalik tabir pembangunan buat permainan The Last Of Us Part II yang mana Neil Druckmann sendiri, iaitu pengarah permainan tersebut berkongsi beberapa informasi lanjut berkenaannya.
Menurut Sony, mereka akan melancarkan beberapa episod berkenaan permainan tersebut yang mana hari ini ia akan bermula dengan kandungan penceritaan permainan tersebut.
Menurut Neil Druckmann, The Last Of Us Part II sememangnya akan mempunyai penceritaan bersambungan daripada permainan pertama di mana kali ini, ia bertempatkan 25 tahun selepas wabak virus di dalam permainan tersebut bermula, iaitu 5 tahun selepas permainan pertama.
Kali ini, ianya akan lebih memfokuskan watak Ellie di mana beliau berada di perkampungan Jackson, Wyoming bersama satu komuniti besar. Di sana, Ellie dan Joel akan bertembung dengan satu perkara yang akan mengubah hidup mereka sekaligus permainan ini meletakkan pemain di dalam jalan “pembalasan dendam”.
Semestinya untuk segala perkongsian tersebut, termasuklah beberapa kenyataan daripada pengarah bersama, Anthony Newman dan ketua naratif Halley Gross, anda boleh tontonnya di video di atas.
Sony menyatakan pada 20 Mei ini mereka akan memperlihatkan video khas di sebalik tabir buat bentuk permainan The Last Of Us Part II, diikuti video khas kandungan terperinci permainan pada 27 Mei diikuti dengan kandungan dunia permainan pada 3 Jun.
The Last Of Us Part II akan dilancarkan secara rasmi pada 19 Jun 2020 ini khas di konsol PlayStation 4. Bagi anda yang ingin melihat senarai edisi permainan yang dilancarkan bersama harga, anda boleh ke pautan di bawah.