Frozen adalah filem animasi dari Disney yang penuh dengan magis, fantasi dan muzik. Filem pertama yang ditayangkan pada tahun 2013 meraih populariti yang sangat hebat, sehinggakan hari ini lirik lagu “Let It Go” Terngiang-ngiang di dalam minda. Pada tahun lepas, filem Frozen 2 pula telah ditayangkan – walau bagaimanapun elemen muzikalnya tidak sehebat filem pertama. Ini kerana ia lebih memfokuskan kepada muzik yang lebih matang.

Ini tidak bermakna muzik dalam filem ini boleh terus dilupakan. Kerana, lagu “Into The Unknown” adalah lagu yang membuatkan saya sendiri teringat jalan cerita filem ini, bagaimana Elsa dan Anna berpisah untuk merungkai misteri di sebalik kematian ibu bapa mereka dan juga bunyi misteri yang mengganggu Elsa.

Terkini, Disney+ telah mengumumkan tarikh siaran bagi siri dokumentari untuk Frozen 2. Siri dokumentari ini sebenarnya sudah kedengaran sejak tahun lepas lagi. Ia adalah sebuah siri menceritakan bagaimana filem ini dihasilkan dan penonton akan dapat lihat di sebalik tabir filem ini. Judul siri ini menggunakan nama lagu tema mereka yang dihasilkan oleh Panic! At The Disco, Into The Unknown: Making Frozen 2.

Ini bukannya siri dokumentari pertama yang Disney akan siarkan di Disney+. Sebelum ini kami pernah melaporkan mengenai siri dokumentari di sebalik tabir siri TV The Mandalorian. Bagi yang berminat dengan Frozen 2 dan ingin saksikan bagaimana ia dihasilkan, boleh tonton di Disney+. Tetapi, ia sukar untuk ditonton di Malaysia – kerana hanya negara terpilih sahaja dapat melanggan. Pengguna di Malaysia jika ingin mencuba, boleh langgan mana-mana pakej VPN berbayar untuk melanggan Disney+. Harus diingatkan yang sudah banyak pelayan disekat untuk dihalang akses di Malaysia. Jadi ia adalah risiko diri sendiri.

Sohor Kini