Setelah tertiris beberapa kali, hari ini Tony Hawk akhirnya mengumumkan secara rasmi yang mana mereka akan membawa kembali permainan Tony Hawk’s Pro Skater 1 dan 2 sebagai permainan olahan semula iaitu Tony Hawk’s Pro Skater 1+2. Pengumuman ini dilakukan ketika acara Summer Game Fest bersama Geoff Keighley yang distrimkan secara langsung di Youtube.

Menurut beliau, permainan tersebut akan dilancarkan pada 4 September 2020 ini di konsol PlayStation 4, Xbox One dan juga di PC melalui Epic Games Store. Permainan ini dibangunkan oleh Vicarious Visions, iaitu studio yang terlibat dengan pembangunan Crash Bandicoot N.Sane Trilogy sebelum ini.

Berdasarkan video acah di atas, permainan tersebut kelihatan akan menyertakan mod multi-pemain dengan pelbagai watak terdiri daripada beberapa Skater profesional seperti Tony Hawk sendiri bersama Steve Caballero, Geoff Rowley, Chad Muska dan sebagainya.

Menariknya, memandangkan permainan ini adalah permainan olahan semula untuk siri Tony Hawk’s Pro Skater pertama dan kedua, sekaligus lokasi-lokasi daripada permainan tersebut seperti Warehouse dan juga Bullring disahkan akan kembali sebagai salah satu lokasi yang bakal tiba buat permainan tersebut.

Selain itu, Vicarious Vision juga mengesahkan yang mana mod Create-A-Skater dan Create-A-Park juga turut akan kembali di mana pemain berupaya untuk menghasilkan watak sendiri dan juga lokasi papan luncur sendiri dengan pelbagai jenis tetapan. Pemain juga boleh kongsikan karya pemain tersebut secara atas-talian bersama pemain lain.

Menariknya, buat mereka yang membuat pra-tempahan permainan ini sekarang, pemain akan berpeluang untuk mencuba demo bagi lokasi Warehouse lebih awal.

Sohor Kini