Informasi Permainan Video Terkini
Ulasan Biped – Permainan Platformer “Berkaki Dua” Dengan Konsep Yang Unik

Ulasan Biped – Permainan Platformer “Berkaki Dua” Dengan Konsep Yang Unik

Diterbitkan pada Mei 21, 2020 oleh .

Biped merupakan satu permainan pengembaraan yang memfokuskan pergerakan “Bi-Pedal” iaitu berkaki dua yang dilancarkan di konsol PlayStation 4, Switch dan juga PC sekitar bulan lepas.

Walaupun begitu, kami di Aksiz berpeluang untuk mencuba permainan ini di konsol PlayStation 4 yang mana pada pendapat saya adalah konsol pilihan terbaik untuk permainan ini atas sebab kawalannya yang menggunakan analog di alat kawalan DualShock 4.

Namun adakah ianya masih lagi satu permainan yang menarik? Ini adalah ulasan saya.

Penceritaan Kecil Yang Pendek

Jika ingin saya terangkan penceritaan permainan ini secara terperinci, ianya agak mustahil memandangkan penceritaan permainan ini bukanlah satu bentuk naratif yang mendalam seperti permainan-permainan berkelas AAA.

Walaupun begitu, ini juga tidak bermakna permainan tidak langsung mempunyai kandungan penceritaan atas sebab ia masih lagi mempunyai bentuk naratif di mana anda akan bermain sebagai seorang robot dari angkasa ke bumi untuk mengaktifkan satu tanda isyarat yang terletak di planet tersebut. Dari situ, anda akan temui pelbagai jenis robot sepanjang pengembaraan anda dan pada masa yang sama menyelesaikan beberapa cabaran dan tekaria yang terdapat di dalam permainan ini.

Secara amnya, saya boleh katakan penceritaan permainan ini bukanlah satu aspek utama untuk keseluruhan permainan ini dan jika saya ingin meletakkan markah yang rendah atas sebab naratif yang lemah, saya juga akan tidak berlaku adil atas sebab permainan ini hanyalah satu permainan indie.

Tetapi, apa yang saya hanya boleh katakan adalah Biped sememangnya mempunyai penceritaannya tersendiri dan ia mempunyai beberapa watak-watak penyampaian dari segi naratif kecil. Namun keseluruhan plot yang disampaikan tidaklah begitu penting untuk menggerakkan permainan ini bahkan jika anda bermain tanpa menghiraukan penceritaannya, anda masih lagi boleh menikmati permainan ini.

Visual Dan Audio Permainan Yang Sangat Ringkas

Aspek visual pula, permainan ini tidaklah mempunyai rekaan berkualiti tinggi mahupun sebarang persembahan yang realistik. Apa yang saya boleh katakan adalah ia mempunyai satu rekaan visual yang sangat ringkas dan comel, di mana segala rekaannya tepat dengan kandungan dan penyampaian permainan itu sendiri.

Jika ada pernah bermain permainan platformer indie sebelum ini, mahupun permainan platformer seperti Astro Bot di PlayStation 4, permainan ini mempunyai satu citarasa yang hampir serupa. Ini bukanlah satu perkara negatif, atas sebab saya berasa permainan cukup dari segi visual yang disampaikan.

Saya juga menyukai beberapa aspek rekaan watak dan persekitaran permainan ini atas sebab ia cukup ringkas dan sesuai dengan keadaannya. Terdapat juga beberapa rekaan watak yang saya juga berasa comel, terutamanya watak-watak NPC yang anda temui sepanjang pengembaraan permainan ini.

Dari segi prestasi, sepanjang sesi permainan saya di konsol PlayStation 4 Pro, saya tidak menemui sebarang masalah malah permainan ini dimainkan dengan baik sekali tanpa sebarang kecacatan.

Audio permainan ini pula dihasilkan dengan baik tanpa sebarang perkara yang menakjubkan. Saya berasa ianya sekadar ada, termasuklah dari segi muzik permainan. Dari segi suara latar, saya masih menyukai beberapa aspek bentuk bunyian suara seakan permainan retro. Namun jika anda mencari bentuk suara latar, ianya tidaklah mempunyai sebarang persembahan ataupun lakonan watak.

Manakala, Kesan audio juga adalah cukup baik dan memadai dengan tema comel permainan ini. Sekali lagi saya boleh katakan adalah permainan ini sememangnya satu permainan yang ringkas dan cukup baik dengan apa yang disediakan.

Bentuk Permainan “Berkaki Dua” Yang Unik

Jadi mari bercakap berkenaan perkara utama yang membuatkan permainan ini sangat unik dan berlainan iaitu bentuk dan kawalan permainan ini. Seperti tajuk permainan ini, Biped memfokuskan bentuk pergerakan berkaki dua, di mana robot yang pemain mainkan, mempunyai dua kaki yang dikawal dengan menggunakan butang Analog kiri dan kanan.

Ini bermakna, apabila pemain menolak analog kiri ke hadapan, kaki kiri robot tersebut akan ke hadapan. Jika pemain melepaskannya, ianya kemudian akan terus menapak kakinya di tanah. Perkara yang sama akan dilakukan bagi kaki kanan robot tersebut.

Konsep ini atas kertas berasa agak ringkas dan mungkin bosan untuk anda, tetapi jika anda bermainnya sendiri, anda akan mengetahui yang mana kawalan untuk bergerak di dalam permainan ini berasa sangat sukar dan pada masa yang sama sangat unik. Konsep ini pada pendapat saya adalah mengapa membuatkan permainan ini begitu menarik sekali dan berlainan berbanding permainan pengembaraan platformer lain.

Selain itu, pemain juga boleh meluncur dengan menolak kedua-dua belah butang Analog tersebut. Namun fungsi ini hanya boleh dilakukan di permukaan yang rata dan licin sahaja.

Akan tetapi, konsep ini juga berasa agak menyusahkan memandangkan jika robot pemain berubah arah, pemain akan menghadapi masalah untuk mengetahui mana satu arah kaki kiri dan kanan robot tersebut. Walaupun anda boleh lihat melalui arah pandang robot tersebut, jika anda ingin bergerak dengan cepat ianya sedikit sebanyak masih lagi memeningkan.

Dari segi aspek rekaan peringkat dan tekaria, saya boleh katakan permainan ini turut berjaya membawa beberapa rekaan yang sangat tepat dengan gaya dan bentuk kawalan permainan ini. Atas sebab kawalannya yang menggunakan butang Analog tersebut, ia bukan sahaja membuatkan keseluruhan permainan ini berasa sangat mencabar, malah ia menukar bentuk tekaria yang ringkas, menjadi lebih menarik.

Ianya menjadi lebih menyeronokkan jika dimainkan secara koperasi di mana terdapat beberapa aspek tekaria yang perlu diselesaikan oleh dua pemain, sekaligus membuatkan pengalaman permainan ini menjadi lebih seronok.

Selain daripada itu, pemain juga berupaya untuk mengubah-suai ataupun menghias robot pemain dengan beberapa kandungan kosmetik yang tersedia dengan membelinya dengan koin yang pemain kumpul sepanjang sesi permainan ini. Namun pilihan rekaan yang disediakan agak terhad dan sedikit sahaja.

Kandungan Yang Bosan Tanpa Teman

Asasnya, Biped hanyalah mempunyai dua mod utama iaitu sesi permainan secara solo ataupun secara koperasi sebanyak dua pemain. Dari segi peringkat permainan, ianya menyertakan lapan keseluruhan peringkat termasuk peringkat percubaan yang mana setiap satunya mempunyai rekaan persekitaran dan cabaran yang berbeza.

Apa yang pasti, permainan ini lebih seronok dimainkan jika pemain mempunyai teman atau pemain kedua. Ini kerana jika dimainkan secara solo, permainan ini tidaklah mempunyai satu bentuk yang begitu seronok atas sebab kebanyakkan tekaria permainan ini menjadi lebih ringkas. Tambahan itu, ianya juga membuatkan segala sesi permainan berasa agak sunyi dan janggal.

Ketika mengulas permainan ini, sesi permainan saya bersama kedua berasa lebih seronok atas sebab gelak ketawa kawalan permainan ini yang agak pelik daripada biasa. Namun, sepanjang sesi permainan solo saya pula berasa bosan bahkan ianya boleh dihabiskan dengan beberapa jam sahaja.

Untuk membuatkan ia lagi kecewa, permainan ini tidak menyokong sebarang sesi permainan koperasi secara atas-talian di konsol PlayStation 4. Sekaligus jika anda tiada teman di rumah untuk bermainnya, anda hanya boleh bermain mod solo sahaja. Berdasarkan kenyataan Next Studios, fungsi koperasi atas-talian buat masa ini hanya disokong di versi PC sahaja.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh simpulkan berkenaan Biped adalah ia sememangnya adalah satu permainan pengembaraan yang sangat seronok untuk dimainkan sama ada solo mahupun secara koperasi bersama dua pemain. Dengan konsep permainan yang sangat unik dicampur dengan rekaan pentas permainan yang menarik, semestinya permainan ini memberi kelainan buat mereka yang mencari permainan koperasi.

Walaupun begitu, saya masih berasa sesi permainan secara koperasi adalah lebih baik buat permainan ini, atas sebab ia menawarkan bentuk permainan yang lebih seronok dengan rekaan tekaria yang lebih kreatif dan mencabar.

Memandangkan permainan ini adalah satu permainan berkelaskan Indie, ianya juga sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kandungan dan juga keseluruhan gaya penyampaian permainan yang saya rasa ia masih boleh dikembangkan dengan baik lagi.

Walaupun begitu, atas sebab yang sama, saya sendiri berasa Next Studios masih lagi menghasilkan satu permainan parti yang sangat baik untuk dimainkan bersama rakan ataupun keluarga dan saya berharap agar permainan seterusnya oleh mereka mempunyai idea unik seperti permainan ini.

Penafian: Kod ulasan Biped disediakan oleh PlayStation Asia.


TIPS & ULASAN