Setelah melancarkan permainan Bubble Bobble 4 Friends di konsol Switch pada tahun lepas, ININ Games dan Taito hari ini mengumumkan yang mana mereka akan membawa permainan tersebut ke konsol PlayStation 4 pada suku keempat tahun ini.
Siri Bubble Bobble semestinya sangat terkenal sebagai salah satu permainan retro lebih dari 30 tahun lepas yang mana ianya direka oleh Fukio Mitsuji. Melalui versi PlayStation 4, pembangun menjanjikan pelbagai kandungan baharu akan disertakan secara bersama yang mana kandungan tersebut sebelum ini telah pun dilancarkan di versi Switch.
Bubble Bobble 4 Friends merupakan permainan berdasarkan siri arked Bubble Bobble yang sangat terkenal lebih dari 30 tahun lalu dan ia memfokuskan bentuk platformer secara berperingkat. Permainan ini juga boleh dimainkan secara solo ataupun secara multi-pemain sehingga 4 pemain serentak.
Selain itu, bersempena dengan pengumuman ini, ININ Games dan Taito juga turut mengumumkan pertandingan melakarkan karya khas buat siri Bubble Bobble ini di mana anda berpeluang untuk memenangi permainan tersebut di samping karya anda akan disertakan di dalam kredit permainan tersebut. Untuk informasi lanjut anda boleh ke pautan ini.