Hari ini, ataupun esok di luar negara, pengikut dan peminat Star Wars akan menyambut Hari Star Wars iaitu pada 4 Mei setiap tahun. Bersempena dengannya, saya ingin berkongsi mengapa bagi saya, Star Wars: The Force Awakens adalah filem Star Wars paling penting.

Star Wars: The Force Awakens dikeluarkan pada tahun 2015 iaitu lebih 10 tahun selepas filem terakhir Star Wars iaitu Revenge of the Sith dikeluarkan. Ia juga merupakan filem pertama Star Wars selepas francais tersebut di ambil alih oleh Disney selepas George Lucas menjual syarikat produksi beliau. Ia adalah filem pertama untuk trilogi baharu, yang baik ataupun tidak ramai memanggilnya sebagai “Disney’s Trilogy”.

Semasa ia dikeluarkan, saya masih ingat perasaan teruja dan juga cemas kerana tidak mengetahui sama ada ia adalah filem yang baik. Saya ingat yang saya mengambil tayangan pertama bagi filem ini iaitu pada tengah malam. Oleh kerana saya baru pulang daripada satu perjalanan luar negeri, dan sampai ke rumah tepat pukul 12 tengah malam, saya terpaksa berkejaran untuk pergi ke wayang.

Selepas filem berakhir, ia membawa satu perasaan yang pertama kali saya rasa selepas menonton filem Star Wars. Sejak dari hari itu, ia mula menjadi satu filem yang istimewa untuk saya.

Filem ini, secara sendiri menerima penerimaan yang positif walaupun tidaklah sebaik filem-filem sebelum ini, namun dengan pengeluaran filem seterusnya iaitu The Last Jedi dan The Rise of Skywalker, bagi peminat Star Wars, boleh dikatakan ia adalah satu trilogi yang gagal.

Namun, saya masih berpendapat yang Star Wars: The Force Awaken adalah satu filem Star Wars yang paling penting, lebih penting daripada filem-filem Star Wars yang lain. Ia mungkin satu kenyataan yang ramai tidak akan bersetuju tetapi berikut adalah mengapa;

Sebagai Filem “Pertama”

Star Wars: Force Awaken boleh dikatakan penting sebagai filem Star Wars pertama untuk saya dan juga ramai penonton lain. Walaupun sebelum menonton Force Awaken, saya sudah menonton kesemua 6 filem Star Wars yang sebelum ini, akan tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai filem Star Wars saya.

Ia adalah kerana kebanyakan adegan ataupun bahagian penting di dalam filem tersebut saya sudah mengetahuinya sebelum saya menonton filem tersebut sendiri. Apabila saya menontonnya, sebarang kejutan ataupun menarik tidak memberikan perasaan yang sama berbanding jika saya pertama kali mengetahuinya.

Berbeza dengan The Force Awakens, walaupun pada asasnya, ia membawa plot yang sama seperti A New Hope, tetapi apabila saya menontonnya, ia membawa satu pengalaman baharu, oleh kerana itu, ia sentiasa akan menjadi filem Star Wars pertama saya, dan filem yang membuatkan saya lebih tertarik untuk mengetahui kandungan-kandungan lain di dalam dunia ini.

Memperkenalkan Watak Baharu

The Force Awakens juga penting sebagai pengenalan kepada pelbagai watak-watak baharu dan seperti perkara pertama yang saya nyatakan, saya juga boleh katakan yang watak-watak daripada filem sebelum ini, Luke Skywalker, Leia Skywalker, Han Solo, dan Darth Vader sendiri merupakan watak yang ikonik bukan sahaja di-kalangan peminat Star Wars tetapi juga untuk industri hiburan. Namun, saya merasakan mereka bukan watak yang saya ikut, ia bukan watak yang saya “membesar” mengenali mereka, sebaliknya mereka adalah watak generasi lain.

Apabila filem The Force Awaken memperkenalkan beberapa watak baharu seperti Rey, Finn Poe dan Kylo Ren mereka menjadi watak-watak yang penting untuk saya, bahkan merekalah watak Star Wars bagi saya. Tidak bermaksud yang watak-watak lain adalah tidak penting, akan tetapi saya mempunyai perhubungan yang lebih dengan watak-watak tersebut berbanding dengan watak-watak sebelum ini walaupun mereka adalah watak yang penting untuk siri ini secara keseluruhan.

Perkembangan watak mereka, mungkin kita berdebat dan saya sendiri dapat mengeluarkan beberapa sebab mengapa mereka bukan satu watak yang baik, akan tetapi saya tetap merasakan mereka adalah watak yang penting untuk saya apabila bercakap mengenai Star Wars.

Generasi Pengikut Baharu

Dengan menjadi perkara yang penting untuk menjadi filem Star Wars yang pertama dan juga penting untuk memperkenalkan watak baharu, secara langsung, The Force Awakens juga penting untuk mendapatkan generasi pengikut yang baharu.

Star Wars mempunyai jutaan pengikut, sebelum Disney memilikinya lagi. Disney juga berkemungkinan besar ingin memiliki IP Star Wars ini kerana pengikut yang hadir bersama dengan pemilikan tersebut. Namun, sebagai satu perniagaan, ia juga penting untuk mempunyai pengikut ataupun peminat daripada kalangan generasi baharu.

The Force Awakens lah bagi saya menjadi permulaan kepada Disney untuk mendapatkan generasi pengikut baharu. Saya sendiri, seperti mana saya terangkan di atas, selepas filem inilah, saya benar-benar menjadi “pengikut” untuk siri ini. Saya makin berminat untuk mengetahui lanjut mengenainya, tanpanya, Star Wars tidak menjadi satu siri yang penting bagi saya.

Mungkin ada pengikut lama yang tidak menyukai filem-filem baharu ini dan mula kurang berminat dengan siri ini, namun bagi penonton seperti saya, kisah antara saya dan Star Wars baru sahaja bermula dan sudah semestinya tidak sabar untuk menantikan apa seterusnya perancangan Disney untuknya tidak kira secara siri TV mahupun filem.

Baik ataupun tidak permulaan untuk Disney dan Star Wars ini, mungkin boleh dibincangkan dan setiap pihak akan mempunyai pendapat tersendiri, tetapi bagi saya satu perkara yang kita tidak boleh pertikaikan adalah ia adalah permulaan yang penting, terutama The Force Awakens yang memulakan segalanya.


Ini sudah semestinya satu pendapat saya sahaja, bagi peminat serta pengikut Star Wars yang lain, mungkin mereka akan mempunyai filem-filem yang lain yang lebih penting. Mungkin kerana perhubungan emosi, dan juga mungkin kerana ia adalah filem yang terbaik.

Jika anda adalah orangnya, sila kongsi mengenai kisah anda dan Star Wars, dan filem apa yang paling penting ataupun yang terbaik bagi anda. Kongsi-kan juga jika anda bersetuju ataupun tidak yang The Force Awakens adalah satu filem yang penting jika bukan paling penting untuk siri filem Star Wars.

Sohor Kini