Cicak-Man adalah antara filem adiwira di Malaysia yang boleh dikatakan unik. Walaupun bukan yang terbaik, tetapi ia tetap menghiburkan. Filem-filem Cicak-Man dihasilkan oleh KRU dan dua filem asal Saiful Apek memainkan watak Cicak-Man itu sendiri. Musuh utama dalam filem ini adalah Profesor Klon, iaitu lakonan oleh Aznil Hj. Nawawi. Terkini, kedua-dua filem ini iaitu Cicak-Man dan Cicakman 2 – Planet Hitam akan disiarkan di Netflix bermula 15 Mei.

Cicak-Man

Mula ditayangkan di pawagam pada 7 Disember 2006, filem ini membawakan pelakon-pelakon seperti Saiful Apek, Fasha Sandha, Yusry, Aznil Hj Nawawi, AC Mizal dan Adlin Aman Ramlie. Konsep filem ini agak lucu, kerana cara Saiful Apek menjadi Cicak-Man adalah dengan tertelan cicak yang termasuk dalam minumannya. Filem ini bertempatkan di bandar Metrofulus, iaitu bandar ciptaan dalam dunia sendiri. Fokus filem ini adalah untuk menghentikan kejahatan dari Profesor Klon yang telah menyebarkan sejenis Virus dan turut mengklonkan beberapa ahli politik bagi mempunyai sokongan. Halangan Cicak-Man bukan sahaja Profesor Klon tetapi turut perlu berdepan dengan Ginger Boys iaitu pasangan klon jahat lakonan AC Mizal dan Adlin Aman Ramlie.

Cicakman 2 – Planet Hitam

Filem kedua ini masih membawakan beberapa pelakon yang sama. Tetapi KRU turut memperkenalkan watak baharu iaitu penjahat yang digelar sebagai Rrama lakonan Tamara Bleszynski. Rrama adalah pembunuh upahan yang diupah oleh Profesor Klon. Ya, Profesor Klon telah kembali dan kini telah menjadi presiden bandar Metrofulus. Mempunyai rancangan jahat menjadikan planet bumi penuh dengan air berwarna hitam. Ginger Boys turut kembali menjadi lebih berkuasa dan kini digelar sebagai Ginger Ghosts. Dalam filem ini Cicakman turut dibantu oleh seorang pakar feng shui Ms. Chee.

Filem ini jelas sekali menggunakan konsep Spider-Man dan juga sedikit Superman, namun dengan beberapa identiti tersendiri. Filem pertama adalah yang paling laris dengan kutipan melebihi RM6.7 juta daripada bajet RM1.7 juta. Filem kedua walau bagaimanapun mempunyai kutipan yang tidak seberapa, iaitu hanya RM2.85 juta daripada bajet RM2.5 juta.

KRU turut tidak mengalah dengan francais Cicakman ini, pada tahun 2015 mereka hadir dengan filem Cicakman 3. Filem ini boleh dikatakan adalah soft reboot yang mana Zizan Razak memegang watak Cicakman dan perlu berdepan dengan beberapa musuh baru. Masih bertempatkan di Metrofulus, tetapi kini filem ini lebih kepada filem aksi komedi.

Bagi mereka yang berminat, nantikan kedua-dua filem ini disiarkan di Netflix 15 Mei ini. Untuk Cicakman 3, masih tiada berita jika ia akan disiarkan di Netflix ataupun tidak.

Sohor Kini