Februari lepas, Allods Team melancarkan permainan peperangan penembak pandang pertama Warface secara percuma di konsol Switch. Melaluinya, permainan tersebut memfokuskan bentuk multi-pemain di mana sebelum ini ianya telah pun dilancarkan di konsol PlayStation 4 dan Xbox One.
Terkini, pembangun permainan tersebut akhirnya mengumumkan yang mana mod pertempuran royale akhirnya dilancarkan secara rasmi di mana ianya tiba secara percuma sebagai kemaskini permainan.
Melaluinya, mod tersebut memfokuskan sebanyak 32 pemain untuk berada di dalam satu lokasi yang luas di mana pemain akan bertembung sesama sendiri, sehingga menjadi pemain terakhir yang masih hidup di sesi permainan tersebut. Buat masa ini, mod yang tiba hanyalah pertempuran secara solo sahaja dan ianya tidak menyertakan mod berpasukan.
Semestinya mod ini adalah sama sahaja dengan permainan pertempuran royale lain, namun memandangkan permainan ini memfokuskan elemen peperangan seakan dunia nyata, semestinya ianya adalah satu kelainan buat konsol Switch tersebut.
Bagi anda yang berminat untuk mencuba Warface, ianya boleh dimuat-turun secara percuma melalui Nintendo eShop.