Seperti yang kami laporkan sebelum ini, 2K akhirnya mengesahkan yang siri permainan simulasi gusti iaitu WWE 2K tidak akan menerima permainan baharu pada tahun ini (iaitu WWE 2K21).

Menurut mereka, ia adalah untuk memberi Visual Concept lebih masa untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik berbanding WWE 2K20. Visual Concept mengambil alih pembangunan WWE 2K daripada Yuke’s yang sudah membangunkan permainan simulasi gusti lebih pada 18 tahun.

Namun, ia tidak bermaksud yang pemain tidak akan menerima sebarang permainan WWE 2K pada tahun ini, sebaliknya, mereka mengumumkan siri permainan baharu iaitu WWE 2K Battlegrounds.

Ia adalah permainan gusti yang lebih kasual dan arked. Dibangunkan oleh Saber Interactive iaitu pembangun kepada NBA Playgrounds 2, iaitu satu siri di mana 2K menjadi penerbit dan menjadikannya NBA 2K Playgrounds pada tahun 2018.

WWE 2K Battlegrounds diumumkan akan tiba pada suku akhir tahun ini. Buat masa ini tidak disahkan lagi platform. Anda boleh tonton video pengumuman di bawah.

Bagi WWE 2K20 pula, 2K mengatakan mereka akan terus menyokong permainan tersebut, dan pelayan WWE 2K19 juga akan terus dibuka buat masa ini.

Manakala untuk permainan mudah alih mereka iaitu WWE Supercard, mereka mengumumkan yang ia telah dimuat turun sebanyak 20 juta kali dan mempunyai berjuta pemain aktif.

Sohor Kini