PUBG Untuk Konsol Mula Menyertakan Bot

Pengenalan bot di dalam permainan pertempuran royale bukanlah sesuatu yang baharu, ada beberapa sebab pembangun menyertakannya, pertama adalah untuk mencepatkan penantian sesi permainan dan kedua adalah untuk memberi peluang kepada pemain baharu mendapat “aksi” dan tidak terkorban terlalu cepat.

PUBG Corp minggu ini mengumumkan yang mereka akan mula menyertakan bot untuk PUBG versi PlayStation 4 dan Xbox One. Menurut pembangun, mereka menyedari yang ramai pemain baharu sering mati awal, tidak membunuh mana-mana watak bahkan tidak melakukan serangan langsung.

Bot disertakan untuk menolong pemain tersebut meningkatkan kebolehan mereka dan pada masa sama memberi mereka lebih keseronokan bermain.

Dalam menghasilkan bot, berikut adalah tiga perkara penting yang ditekankan; memastikan bot tidak membunuh diri dengan melompat tempat yang berbahaya seperti tebing, memastikan pemain masih dapat mengelak daripada serangan bot dan memastikan bot cuba untuk mendapatkan barangan terbaik.

PUBG sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC. PUBG Mobile juga dikeluarkan untuk iOS dan Android.

Sohor Kini