Informasi Permainan Video Terkini
Kejohanan Street Fighter V Dan Tekken 7 Yoodo FV Major 2020 Diumumkan Bakal Berlangsung Minggu Ini

Kejohanan Street Fighter V Dan Tekken 7 Yoodo FV Major 2020 Diumumkan Bakal Berlangsung Minggu Ini

Diterbitkan pada Apr 25, 2020 oleh .

Yoodo hari ini mengumumkan kejohanan bagi permainan perlawanan Street Fighter V dan Tekken 7 akan diadakan bermula minggu ini.

Dengan nama Yoodo FV Major Cup 2020, kejohanan tersebut akan membuka peluang kepada pemain untuk mewakili kejohanan permainan perlawanan terbesar, iaitu kejohanan EVO 2021 yang akan berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat tahun hadapan.

Yoodo FV Major akan berlangsung bermula hari ini dengan pusingan kelayakan pertama dan kedua yang akan diadakan secara atas-talian. Pusingan kelayakan tersebut, seperti tertera di imej di atas akan berlangsung pada 25 dan 26 April ini, kemudian ianya akan diteruskan pada 30 dan 31 Mei ini.

Selain itu, Yoodo turut umum pusingan kelayakan turut akan diadakan secara luar talian pada 27 Jun ini di Geek Empire, Kuala Lumpur diikuti dengan pusingan kelayakan keempat pada 25 Julai dan pusingan kelayakan kelima pada 22 Ogos ini di Epicenter, Sungai Buloh, Selangor.

Manakala pusingan akhir pula antara 8 pemain terbaik pula akan diadakan pada 19 dan 20 September 2020 ini di Quill City Mall, Kuala Lumpur. Meskipun begitu, Yoodo menyatakan yang mana tarikh tersebut mungkin akan berubah jika berlakunya perubahan tarikh berkenaan wabak koronavirus (Covid-19) ini.

Menurut Yoodo, kejohanan ini semestinya adalah hasil kerjasama mereka bersama Flash Vision, iaitu organisasi permainan esukan perlawanan yang kami laporkan sebelum ini.

Menurut Chow Tuck Mun, ketua Yoodo, beliau menyatakan yang mana melalui kejohanan ini mereka percaya ia dapat memberi peluang untuk mencari bakat baru di kalangan pemain dan walaupun kita berada di dalam perintah kawalan pergerakan (PKP), kejohanan ini pasti akan berhubung antara peminat dan hiburan buat rakyat Malaysia di samping merapatkan pemain dengan minat dan semangat yang sama.

Walaupun pendaftarannya sudah pun ditutup, anda masih lagi boleh memberi sokongan buat pemain-pemain kesukaan anda dan untuk informasi lanjut, anda boleh ke laman rasmi Yoodo.


TIPS & ULASAN