20 April 2018 semestinya merupakan salah satu tarikh yang saya sendiri akan sentiasa ingat atas sebab ianya adalah tarikh pelancaran permainan God Of War yang kami memberi markah yang sempurna bukan sahaja atas sebab bentuk permainannya yang menarik malah penceritaannya yang epik.
Terkini, bersempena dengan ulang tahun kedua buat permainan tersebut, Sony Interactive Entertainment bersama pembangun permainan tersebut berkongsi beberapa kemaskini dan pengumuman baharu buat permainan tersebut yang mana salah satunya adalah figura khas bersaiz sebenar buat watak Kratos.
Dengan saiz tinggi sebanyak 66cm, panjang 38cm dan lebar 48cm, figura tersebut memaparkan rupa bahagian dada Kratos dengan sangat terperinci sekali.
Menurut Sony, figura ini akan dijual melalui Gaming Heads dengan harga $799(~RM3,489) dan ianya adalah terhad untuk 500 unit sahaja. Namun dari segi tarikh pelancaran, ianya masih belum diumumkan.
Selain itu, bersempena dengan pengumuman ini, Sony juga umum kolaborasi bersama Rubber Road yang mana mereka akan melancarkan patung itik Kratos dan Atreus Tubbz Ducks yang anda boleh dapatkan di laman Numskull.
Dari segi harga, ianya akan dijual dengan harga sekitar £12.99(~RM70) untuk setiap satu dan bagi anda yang berminat, ia boleh dipra-tempah sekarang.
Selain itu, buku kisah penceritaan God Of War iaitu “God of War: Lore and Legends” juga diumumkan yang mana ianya akan dilancarkan oleh Dark Horse Comic sekitar bulan September ini. Melaluinya, buku ini akan menyertakan beberapa pengembaraan dan penceritaan permainan tersebut disamping pelbagai lagi kisah dan dunia “Nine Realms” dengan lebih terperinci.
Jadi bagi anda yang meminati siri God Of War ini, anda boleh dapatkan barangan-barangan yang diumumkan melalui pautan yang kami sediakan.
Bagi permainan God Of War, ianya telah pun dilancarkan secara eksklusif di konsol PlayStation 4 dan menariknya, ianya juga tersenarai sebagai permainan PlayStation Hits, sekaligus ianya boleh dibeli dengan harga serendah RM79 sahaja.