Siri animasi Fly With Yaya adalah siri rancangan TV melancong yang dihoskan oleh Yaya. Yaya adalah antara watak utama dalam siri animasi dan filem BoBoiBoy. Sehingga hari ini, terdapat 29 video di saluran rasmi YouTube Monsta. Kesemua video melancong ini bertempatkan di Jepun dan ia adalah benar-benar di Jepun. Hanya hosnya sahaja watak kartun 3D.
Setiap video Fly With Yaya juga penuh dengan informasi, fakta dan sejarah menarik mengenai Jepun. Bukan itu sahaja, siri ini juga adalah siri pelancongan mesra muslim. Terkini, siri animasi Fly With Yaya: Tohoku telah dicalonkan untuk anugerah “The Newcomer Award” di Licensing International Excellence Awards 2020. Anugerah ini adalah untuk industri perlesenan jenama sedunia. Pemberian anugerah ini juga sudah bermula sejak 35 tahun lalu. Dengan pencapaian Monsta yang baru ini, ia menjadi kebanggaan bagi mereka dan negara.
Anugerah ini sebelum ini pernah dimenangi oleh Fortnite pada tahun 2019. Fly With Yaya bersaing dengan 600 penyertaan termasuk The Coca-Cola Company, Puma, Shiseido, Mattel, Hasbro, Bandai, The Hershey Company dan banyak lagi – mewakili dari 22 negara berbeza.
Monsta mengambil masa selama dua tahun untuk mengembangkan watak Yaya melalui siri ini. Mereka turut bekerjasama dengan Creative Minds LLC dari Tokyo, Yamagata Broadcast dan Tohoku Inbound Associations. Siri ini dalam masa 13 bulan sahaja, sudah menerima 21 juta penonton melalui YouTube. Bulan Januari lalu, jumlah tontonan siri ini mencapai 27 juta dan masih meningkat sehingga hari ini.
Dengan pencapaian ini juga, Monsta turut merancang untuk menaikkan semula industri pelancongan selepas terkesan dengan wabak Covid-19. Bagi yang berminat, boleh tonton siri ini melalui pautan di bawah.