Pada Februari lepas, telah diumumkan yang permainan terbaru buat siri Cooking Mama iaitu Cooking Mama: Cookstar akan dilancarkan pada bulan Mac lepas, di mana ia ditawarkan buat sementara waktu di Nintendo eShop sebelum penyenaraian dibuang.
Minggu ini Office Create iaitu pemilik untuk IP Cooking Mama mengatakan yang Planet Digital Partners telah mengeluarkan permainan tersebut tanpa kebenaran mereka.
Tambah mereka lagi, kebenaran untuk menggunakan IP tersebut telah diberikan kepada Planet Digital pada tahun 2018, akan tetapi oleh kerana kualiti permainan yang dihasilkan tidak mencapai kualiti yang diinginkan oleh mereka, permainan tersebut tidak dibenarkan untuk dilancarkan.
Namun, Planet Digital Partners dikatakan telah melancarkan permainan tersebut tanpa meningkatkan kualiti permainan dan pada Mac lepas, Office Create telah membatalkan kebenaran penggunaan IP Cooking Mama oleh Planet Digital.
Office Create menegaskan yang mereka akan mengambil tindakan undang-undang, dan permainan Cooking Mama: Cookstar mungkin tidak akan lagi dikeluarkan.