Dengan Xbox Game Studios bersedia untuk melancarkan permainan strategi mereka iaitu Gears Tactics, 2K hari ini membuat kejutan apabila melancarkan permainan terbaru untuk siri XCOM, iaitu XCOM: Chimera Squad.

Ia akan dikeluarkan pada 24 April 2020 untuk PC, video acah boleh ditonton di bawah.

Ia adalah permainan sampingan di mana ia berlaku 5 tahun selepas kejadian di dalam XCOM 2. Pada waktu ini, selepas peperangan besar di dalam XCOM 2, manusia, makhluk asing dan manusia hibrid hidup bersama dengan keamanan yang masih rapuh.

Di dalam permainan ini, pemain akan mengetuai pasukan Chimera Squad iaitu pasukan XCOM yang terdiri daripada kesemua spesis, dan perlu melawan musuh yang cuba merosakkan keamanan antara spesis tersebut.

Maklumat lanjut mengenai bentuk permainan diperlihatkan melalui video yang kami sertakan di bawah.

Ia masih lagi satu permainan XCOM tetapi disertakan dengan pelbagai perubahan. Antaranya, serangan kini adalah mengikut susunan di antara XCOM dan lawan, di mana serangan seterusnya tidak semestinya rakan sepasukan tetapi ia mungkin juga lawan.

Pemain juga kini boleh menentukan cara untuk menyerang dan juga kedudukan pasukan sebelum memulakan serangan. Permainan ini juga tidak akan menyertakan kematian, sebaliknya jika seorang watak mati, permainan akan terus berakhir dan perlu memulakan misi tersebut semula.

Watak juga tidak akan disertakan secara rawak akan tetapi ia akan mempunyai skuad terbina. Tujuan Chimera Squad adalah untuk memastikan keadaan bandar aman, jika sesuatu bandar mengalami pergolakan, kesemua tempat akan menjadi bergolak dan permainan akan berakhir.

Bagi mengelak daripada setiap bandar tersebut bergolak, pemain perlu melakukan pelbagai misi. Oleh kerana ia adalah permainan sampingan sahaja, kami menjangkakan ia tidaklah selama permainan utama XCOM.

XCOM: Chimera Squad kini boleh mula di pra-tempah dengan harga promosi iaitu potongan sebanyak 50% sehingga 2 Mei dengan harga RM29.50 sahaja di Steam.

Sohor Kini