Informasi Permainan Video Terkini
5 Permainan Xbox Game Pass For PC Yang Boleh Dihabiskan Dalam Masa Sebulan
PC

5 Permainan Xbox Game Pass For PC Yang Boleh Dihabiskan Dalam Masa Sebulan

Diterbitkan pada Apr 13, 2020 oleh .

Sejak dilancarkan pada pertengahan tahun lepas, Xbox Game Pass for PC telah membawa pelbagai permainan ke dalam perkhidmatan tersebut. Bagi anda yang tidak mengetahui mengenai perkhidmatan ini, kami ada keluarkan satu artikel untuknya; 5 Tip Penggunaan Xbox Game Pass for PC.

Dengan kata mudah, ia adalah Netflix untuk permainan di PC. Ia juga disertakan untuk Xbox One, akan tetapi saya ingin memfokuskan kepada PC sahaja kerana merasakan ia mempunyai lebih ramai pengguna yang dapat mencuba perkhidmatan ini.

Melalui artikel ini, saya akan senaraikan 5 permainan yang anda boleh habiskan dalam masa sebulan, bukan satu, tetapi kelima-lima permainan dalam masa sebulan.

Mengapa sebulan?

Sebab langganan untuk perkhidmatan ini adalah setiap bulan, jadi jika anda dapat bermain kesemua permainan menarik dalam masa sebulan, anda tidak semestinya perlu meneruskan langganan anda untuk bulan depan. Tambahan, bagi pelanggan baru, Microsoft menawarkan harga langganan untuk sebulan pertama sekadar $1.00 (RM4.32), jadi 5 permainan ini anda boleh main sehingga habis dengan membayar kurang daripada RM5.

Bagaimana kami membuat pilihan?

Kami menyenaraikan terlebih dahulu permainan terbaik yang disediakan, dan menyertakan purata masa diperlukan untuk menghabiskannya. Kemudian kami memilih 5 permainan yang boleh dihabiskan dalam masa sebulan. Kami mengambil kira, anda akan bermain 4 jam sehari, selama 5 hari seminggu untuk sebulan. Dengan kata lain, anda mempunyai 80 jam untuk bermain.

Jadi berikut adalah 5 permainan yang anda boleh habiskan dalam masa sebulan;

The Outer Worlds – 16 Jam

Jika anda rindukan permainan seperti Fallout: New Vegas ataupun Fallout 4, The Outer Worlds adalah permainan yang dapat mengurangkan rindu anda tersebut.

Hadir daripada pembangun, Fallout: New Vegas, ia adalah permainan yang boleh dikatakan pendek untuk genre ini akan tetapi masih menyertakan pengembaraan yang sangat mengasyikkan dengan perwatakan serta rekaan dunia.

Mengambil masa secara purata hanya 16 jam sahaja, lebih cepat jika anda mengurangkan misi sampingan, ia adalah permainan yang wajib dicuba di dalam Xbox Games Pass for PC.

Metro Exodus – 20 Jam

Metro Exodus merupakan permainan terbaru bagi siri Metro oleh 4A Games, berbanding dengan permainan Metro sebelum ini, mereka menjanjikan pengalaman pengembaraan yang lebih meluas untuknya. Namun, ia masih lagi permainan yang boleh dihabiskan dengan cepat.

Secara purata, anda boleh habiskan kurang daripada 20 jam, namun bagi kami 20 jam adalah masa yang baik untuk menghabiskan penceritaan utama bersama dengan melakukan pelbagai kandungan lain.

Ori and the Blind Forest / Ori and the Will of the Wisps – 21 Jam

Secara teknikalnya ia adalah dua permainan akan tetapi kami merasakan kedua-dua permainan menyertakan pengalaman bermain yang sama, serta kedua-duanya boleh dihabiskan dengan masa yang cepat, jadi kami meletaknya sebagai satu permainan.

Ia adalah Ori and the Blind Forest yang dikeluarkan pada tahun pada tahun 2015 dan permainan terbaru Ori and the Will of the Wisps yang dikeluarkan pada Februari lepas, ulasan anda boleh bacanya di pautan ini – Ulasan Ori and the Will of the Wisps – Permainan Terbaik Setakat Ini.

Bagi kami kedua-dua permainan menyertakan pengalaman penceritaan dan grafik yang sangat baik dan kedua-duanya boleh dihabiskan dalam masa kurang 21 jam, di mana Ori and the Will of the Wisps akan memerlukan masa yang lebih panjang mungkin dua hingga 3 jam lebih lama.

A Plague Tale: Innocence – 10 Jam

Jika anda meminati permainan aksi pengembaraan seram, A Plague Tale: Innocence adalah permainan menarik yang mungkin anda terlepas pandang. Walaupun anda tidak meminati genre seram, terdapat pelbagai elemen lain di dalam permainan ini yang mungkin anda suka, terutama penceritaan.

Permainan ini boleh dihabiskan dalam masa kurang 10 jam, akan tetapi untuk sesi permainan secara kasual, kami merasakan 10 jam adalah jumlah masa yang lebih tepat.

Gears 5 – 12 Jam

Permainan terbaru untuk siri yang dikenali ramai ini, membawa pemain ke dunia yang sudah dikenali oleh pemain. Ia merupakan permainan yang memfokuskan mod multi-pemain, akan tetapi kami merasakan kempen penceritaan yang disertakan agak menarik untuk anda cuba dan ia boleh dihabiskan dengan masa 12 jam sahaja.

Jika anda mempunyai masa yang lebih, anda juga boleh mencuba sesi multi-pemain yang disertakan. Ia menyertakan lebih banyak kandungan terbaru.


Permainan yang kami sertakan di atas, sudah semestinya sebahagian kecil sahaja daripada permainan yang ditawarkan melalui perkhidmatan ini. Jika anda menghabiskan mana-mana permainan dengan lebih cepat, ataupun anda bermain setiap hari ataupun anda meluangkan masa lebih daripada 4 jam sehari, terdapat pelbagai permainan yang boleh diisi.

Bahkan, dengan pelbagai permainan baharu disertakan setiap bulan, mungkin andan akan melanggan lebih daripada sekadar sebulan sahaja.


TIPS & ULASAN