Gearbox Software hari ini mengumumkan Borderlands Science iaitu permainan mini yang disertakan di dalam Borderlands 3 secara percuma. Dengan bermain permainan mini tersebut pemain akan peroleh pelbagai barangan di dalam permainan.
Namun, ia bukan setakat itu sahaja, dengan bermain permainan ini, pemain dapat membantu untuk menyediakan data kepada saintis yang sedang mengkaji mengenai mikrob yang terdapat di dalam badan manusia.
Jika anda ingin mengetahui lanjut mengenai perkara ini, mereka juga menyediakan satu video yang di-hoskan oleh Mayim Bialik yang mungkin anda kenali sebagai Amy Fowler daripada siri The Big Bang Theory. Kami sertakan video tersebut di bawah.
Secara ringkasnya, di dalam badan manusia terdapat pelbagai mikroorganisma yang tidak kesemuanya berasal daripada badan manusia, bahkan hanya 40% sahaja adalah berasal daripada manusia sendiri selebihnya dianggap sebagai “alien”. Mereka digelar sebagai mikrob.
Mikrob ini membantu badan manusia untuk melakukan pelbagai tugasan seperti imuniti badan dan juga mengawal kadar hormon di dalam badan. Antara kajian utama di yang dilakukan oleh Saintis sekarang adalah mengklasifikasikan setiap mikrob tersebut kepada keluarga tersendiri berdasarkan DNA.
Dengan melakukannya, ia akan membantu saintis untuk lebih mengenali mikrob yang baik dan juga mikrob yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.
Komputer dapat melakukan tugasan tersebut tetapi tidak efektif kerana mereka mempunyai masalah untuk betul-betul mengenali kesamaan dan perbezaan setiap DNA mikrob. Perkara inilah yang pemain dapat membantu saintis dunia dengan bermain permainan-mini ini.
Pelbagai data DNA daripada mikrob tadi telah diubah kepada kotak di dalam permainan-mini ini, jadi pemain perlu menyusun kotak-kotak tersebut agar satu barisan mempunyai kotak yang sama. Setiap pergerakan yang dilakukan oleh pemain tersebut akan membantu untuk saintis menghasilkan algoritma yang lebih berkesan bagi membantu untuk komputer mengklasifikasikan mikrob dengan lebih efektif.
Oleh kerana data ini adalah untuk umum, kesemua saintis di seluruh dunia dapat menggunakannya.
Setakat ini, Gearbox telah mengumumkan lebih 1 juta tekaria telah diselesaikan.
Kemaskini untuk menyertakan permainan-mini ini akan mula hadir kepada semua pemilik Borderlands 3, jadi selamat bermain dan membantu untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik.
Borderlands 3 sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.