Dengan pelbagai masalah yang dihadapi akibat Perintah Kawalan Pergerakan, saya berharap anda yang pra-tempah permainan Final Fantasy VII Remake secara fizikal, mendapatkannya hari ini ataupun esok. Bagi yang membelinya secara digital, oleh kerana pramuat untuknnya sudah lama bermula, saya berharap ia sudah boleh dimainkan.

Saya berpeluang untuk mencuba permainan ini dengan lebih awal (terima kasih kepada SIE dan Square Enix) dan anda boleh membaca ulasan penuh di pautan berikut; Ulasan Final Fantasy VII Remake – Olahan Semula Yang Berjaya. Video ulasan juga saya sertakan di bawah.

Melalui penulisan ini, saya akan berkongsi beberapa Tips dan Panduan yang saya rasakan semasa bermain, ia sangat membantu untuk melepasi pelbagai pertempuran dengan lebih mudah. Jika anda tidak bersedia, seperti yang saya katakan di dalam ulasan, anda akan mempunyai masa yang sukar.

Dapatkan Kesemua Kebolehan Senjata

Di dalam Final Fantasy VII Remake, setiap senjata yang yang anda peroleh akan mempunyai kebolehan (Ability) tersendiri, ia mungkin gaya serangan berbeza, sesuatu untuk menguatkan serangan dan pelbagai lagi. Semasa anda baru sahaja mendapatkan senjata tersebut, ability hanya boleh digunakan apabila anda menggunakan senjata itu.

Jika anda ingin mendapat ability itu secara tetap, anda perlu meningkatkan proficiency kepada 100%. Caranya adalah sangat mudah, anda hanya perlu menggunakan ability tersebut semasa sedang bertempur. Jika ingin lebih cepat, lakukan Proficiency Bonus yang berlainan mengikut ability. Ada yang memerlukan menggunakan ability untuk menyerang lebih daripada seorang penjahat, ataupun menggunakan ability tersebut sebagai gerakan terakhir.

Dengan mendapatkan kesemua ability ini, di pertengahan ataupun akhir permainan anda akan mempunyai pelbagai kebolehan yang boleh digunakan untuk pelbagai keadaan.

Senjata Adalah Penentu “Role”

Setiap senjata juga boleh ditingkatkan kebolehannya menggunakan Skill Points ataupun SP yang diperoleh setiap kali bertempur. Menggunakan SP ini, antara perkara yang anda dapat adalah penambahan kekuatan serangan, ataupun menambah jumlah nyawa dan juga menambah slot materia.

Anda juga boleh menjadikan senjata ini untuk memberikan satu watak lebih banyak role. Contohnya, satu pedang untuk Cloud saya memfokuskan meningkatkan kekuatan serangan magis, manakala satu lagi pedang saya memfokuskan kekuatan serangan fizikal.

Jadi apabila saya berhadapan ataupun memasuki kawasan yang mempunyai kelemahan kepada magis, saya akan gunakan pedang yang pertama, dan pedang kedua jika sebaliknya. Ini akan memberikan anda lebih banyak pilihan, terutama apabila anda bertempur secara berseorangan ataupun rakan sepasukan yang terhad untuk menjadi pelbagai role yang berbeza.

Ether Lebih Baik Daripada Potion

Bagi anda yang pernah bermain mana-mana permainan JRPG terutamanya Final Fantasy, Ether dan Potion sudah menjadi sesuatu yang sudah biasa didengar. Ether digunakan untuk mengisi semula MP yang diperlukan untuk menggunakan magis, manakala Potion untuk HP ataupun nyawa, kedua-dua ini boleh dibeli serta diperoleh dengan mengembara ataupun “mencuri”.

Semasa saya bermain, Gil iaitu mata wang di dalam permainan ini, adalah sangat terhad, mungkin kerana saya tidak melakukan pertempuran ataupun tidak menjual banyak barangan akan tetapi saya tidak dapat membeli Ether ataupun Potion dengan secukupnya.

Oleh kerana itu, sepanjang saya bermain, saya memfokuskan untuk menyediakan Ether yang mencukupi berbanding Potion. Ini adalah kerana menambah HP menggunakan magis seperti Cure, Curaga dan sebagainya adalah lebih berkesan dan berbanding berharap kepada Potion. Saya akan gunakan Potion hanya apabila terdesak, ataupun semasa berada di luar pertempuran, kerana menggunakan barangan tidak memerlukan AP ataupun MP.

Gunakan Penyambungan Materia

Materia adalah perkara yang penting di dalam permainan ini, ia akan memberikan watak pelbagai kebolehan terutama serangan ataupun pertahanan magis. Satu perkara yang sangat penting, apabila anda melihat kepada slot Materia, sesetengah senjata ataupun perisai akan mempunyai slot yang bersambung.

Slot yang bersambung ini boleh digunakan untuk menjadikan satu materia mempunyai kesan yang lebih baik. Contohnya Healing Materia yang akan memberikan watak keupayaan untuk menggunakan magis seperti Cura, jika anda menggunakan secara tersendiri ia akan memberi kesan kepada satu watak sahaja. Namun, jika anda meletakkan materia tersebut di slot materia bersambung, dan di bahagian lain anda meletakkan Magnify Materia contohnya, Cura tadi akan memberi kesan kepada semua watak di dalam pasukan dan bukan lagi seorang sahaja.

Terdapat pelbagai kombinasi berlainan yang boleh dilakukan, jadi pastikan anda memeriksa materia yang ada, dan lihat kombinasi apa yang boleh dilakukan kerana ia akan sangat membantu.

Sentiasa Gunakan Assess Materia

Di awal permainan lagi anda akan diberikan Assess Materia, juga boleh dibeli jika diperlukan kemudian. Dengan menggunakan materia ini, anda akan mempunyai kebolehan untuk “assess” iaitu perkara yang saya rasa sangat berguna di dalam permainan ini.

Menggunakannya terhadap lawan, anda akan diberi pelbagai informasi seperti nyawa lawan tersebut, kelemahan, kekuatan dan juga kadang-kadang tips untuk mengalahkan lawan tersebut. Selepas menggunakan assess untuk satu jenis lawan, apabila anda bertempur dengan lawan tersebut lagi anda hanya perlu menekan pad sesentuh untuk melihat informasi lawan tersebut.

Mengetahui kelemahan lawan adalah kunci untuk menjadikan pertempuran lebih cepat, kerana ia akan membantu anda untuk mencapai peringkat “stagger” dengan lebih cepat.

Mulakan Semula Pertempuran Yang Anda Tidak Bersedia

Seperkara mengenai Final Fantasy VII Remake, ada masa anda tidak menyedari yang anda akan bertempur dengan satu lawan yang kuat ataupun lawan yang anda tidak bersedia. Ini adalah kerana apabila pertempuran bermula anda tidak lagi boleh menukar senjata ataupun menukar materia.

Nasihat yang terbaik adalah sentiasa bersedia untuk pelbagai jenis lawan akan tetapi ada masa ia adalah mustahil. Oleh sebab itu, jangan takut untuk menggunakan fungsi untuk memulakan semula pertempuran yang kebiasaan akan kembalikan anda kepada sebelum pertempuran bermula.

Ia akan memberi anda peluang untuk lebih bersiap sedia dengan lawan. Saya kebiasaan akan memasuki sesuatu pertempuran, gunakan assess, jika pasukan yang saya bawa tidak bersedia untuk melawan dengan efisien, saya akan mulakan semula dengan persediaan yang lebih baik.

Sama ada anda bersedia ataupun tidak untuk melawan sesuatu lawan terutama bos penjahat, ia akan membezakan di antara pertempuran 10 minit ataupun pertempuran yang mengambil masa 30 minit ataupun pertempuran yang anda akan mati berkali-kali.


Tips yang saya sertakan di atas adalah sebahagian kecil sahaja daripada pelbagai perkara yang dapat membantu anda untuk menumpaskan lawan dengan lebih mudah dan cepat. Final Fantasy VII Remake menyertakan bentuk perlawanan yang sangat mendalam dan menarik, memastikan anda memahami segala mengenainya akan memberikan pengalaman bermain yang lebih baik.

Jika anda ada sebarang pertanyaan, kecuali mengenai beberan penceritaan, jangan lupa untuk tinggalkan komen di bawah ataupun di mana-mana media sosial kami. Jika anda adalah pemilik untuk permainan ini, selamat bermain!

Final Fantasy VII Remake sudah-pun dikeluarkan secara eksklusif buat masa terhad untuk PlayStation 4.

Sohor Kini