Sebelum ini kami berkongsi berkenaan sesi beta terbuka buat permainan Legends Of Runeterra yang mana ianya adalah permainan kad digital berdasarkan League Of Legends di mana ianya berlangsung pada awal Januari lepas.

Terkini Riot Games akhirnya mengumumkan yang mana permainan tersebut akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Mei 2020 di PC dan juga di telefon pintar secara percuma. Menariknya, permainan ini juga disahkan akan menyokong sokongan rentas-platform.

Seperti yang kami laporkan, Legends Of Runeterra merupakan permainan kad berdasarkan dunia League Of Legends di mana ianya memfokuskan bentuk permainan kad digital dengan pelbagai watak dari siri tersebut. Melalui permainan ini, pemain berupaya untuk bertempur secara strategi dengan mendapatkan pelbagai jenis kad sama ada dari segi terus bermain ataupun membelinya di dalam kedai permainan tersebut.

Menariknya, Riot Games juga mengumumkan buat mereka yang mencuba sesi beta terbuka sebelum ini akan diberi akses lebih awal beberapa hari sekitar 28 April kelak. Manakala buat mereka yang log masuk sebelum 7 Mei, Riot Games juga akan menyertakan kad Moonstruck Poro Guardian khas.

Jadi bagi anda yang berminat dengan permainan ini, pastikan anda menandanya di kalendar anda menjelang 1 Mei ini.

Sohor Kini