Setelah melancarkan musim ke-2 buat permainan Call Of Duty: Modern Warfare pada Februari lepas, hari ini Activision mengacahkan yang mana musim ke-3 buat permainan tersebut akan dilancarkan minggu hadapan.
Berdasarkannya imej acah melalui akaun Twitter rasmi permainan Call Of Duty, Activision tampaknya akan melancarkan musim ke-3 buat kedua-dua permainan Call Of Duty Modern Warfare dan Call Of Duty Warzone bermula 8 April 2020 ini.
Semestinya dengan pelancaran musim ke-3 ini, ianya akan menyertakan set langganan Battle Pass baharu dengan pelbagai ganjaran yang pemain boleh dapatkan dengan melengkapkan cabaran dan sebagainya. Ini juga bermakna, minggu ini adalah minggu terakhir buat anda yang masih melengkapkan lagi Battle Pass musim ke-2 sebelum ianya tamat.
Seperti biasa, kami juga akan mengemaskini informasi lanjut musim ke-3 ini setelah ianya diumumkan secara rasmi kelak.
Call Of Duty: Modern Warfare telah pun dilancarkan tahun lepas di konsol PlayStation 4, Xbox One dan PC. Bulan lepas, Activision juga melancarkan permainan pertempuran percuma Call Of Duty: Warzone yang mana juga tiba di platform yang sama.