Sebelum ini, kami pernah melaporkan permainan MekaRoyale Online iaitu permua (Permainan Mudah-Alih) yang dibangunkan oleh seorang pembangun tempatan sahaja, iaitu Amarul Natenan di bawah Illogical Games dilancarkan.

Terkini, setelah beberapa perubahan pembangunan dan bentuk permainan, Illogical Games kini mengumumkan yang mana permua ini dilancarkan semula dengan versi baharu dengan nama Meka Hunters.

Seperti versi awal permua ini, Meka Hunters sekali lagi memfokuskan bentuk permainan penembak, namun kali ini dari segi bentuk kamera ianya berubah kepada bentuk penembak pandang ketiga berbanding bentuk atas bawah sebelum ini.

Meka Hunters akan meletakkan pemain di dalam satu kawasan yang luas dan bertempur sesama pemain lain secara atas-talian. Dengan sejumlah 12 pemain serentak untuk satu kawasan, pemain perlu berebut untuk dapat tempat pertama dengan markah tertinggi berdasarkan jumlah pemain lain yang mereka tumpaskan.

Menariknya, permua ini tidak mempunyai bentuk pertempuran seperti permainan pertempuran royale lain kerana apabila pemain tewas, pemain lain akan masuk ke lokasi yang sama dan terus sambung bertempur di lokasi tersebut.

Untuk mengekalkan keseimbangan permainan, Illogical Games juga menyertakan beberapa watak Komputer di dalam satu lokasi permua tersebut untuk memudahkan pemain mengumpul mata.

Versi baharu permua ini juga memfokus bentuk penembak secara robot Meka dan ianya tidak lagi memfokuskan bentuk pemandu sebelum ini. Menariknya juga, permua ini juga menyertakan beberapa bentuk pernaik-tarafan robot Meka yang mana pemain berupaya untuk tingkatkan kuasa mereka ketika bertempur.

Dari segi kawalan sasaran pula, kali ini Illogical Games mengubahkan bentuk penembak yang tidak lagi mempunyai kawalan sasaran paksi menegak, sekaligus ianya lebih sesuai untuk dimainkan buat pemain kasual atas sebab sasaran lebih mudah untuk dilakukan.

Dari segi kandungan mikro-transaksi, Illogical Games mengesahkan segala kandungan yang dibeli hanyalah terhad terhadap bentuk kosmetik sahaja dan segala pernaik-tarafan adalah seimbang buat semua pemain.

Selain itu, permua Meka Hunters juga hari ini dipaparkan sebagai salah satu permua baharu yang menarik di Google Play Store di bawah kategori permainan baharu, koleksi permua baharu dan bahagian Indie Corner.

Meka Hunters dibangunkan oleh seorang pembangunan sahaja dan ia adalah finalis untuk anugerah acara Level UP KL SEA Games Awards bagi tahun 2018 dan 2019. Illogical Games juga merupakan salah satu pembangun yang berjaya mendapat tempat pertama untuk anugerah IPCC 2018 seperti yang dilaporkan oleh kami sebelum ini.

Tambahan itu, Amarul Natenan iaitu pembangun permua ini sendiri juga menyatakan buat jurustrim di luar sana yang ingin berkongsi sesi permainan Meka Hunters ini boleh terus menghubungi beliau di [email protected] untuk mendapat set penuh kostum Meka secara percuma seperti video di atas.

Jadi bagi anda yang berminat untuk mencuba permua ini dan menyokong Illogical Games, anda boleh ke pautan di bawah untuk memuat-turun dan mencubanya.

Muat-Turun iOS: Meka Hunters

Muat-Turun Android: Meka Hunters

Sohor Kini