Niantic hari ini berkongsi satu penulisan mengenai perancangan bagi permainan Pokemon Go sepanjang masalah pandemik Covid-19 ini. Seperti kita sedia maklum, Pokemon Go adalah permainan yang menggalakkan pemain untuk berjalan dan menuju ke sesuatu tempat, dengan permasalahan terkini termasuk juga Perintah Kawalan Pergerakan ini, ia tidak lagi sesuatu yang boleh dilakukan.

Menyelesaikan masalah tersebut, Niantic telah menyertakan beberapa perubahan untuk permainan tersebut agar ia masih boleh dimainkan walaupun anda berada di rumah. Penambahan adalah seperti berikut;

  • Adventure Sync kini menjejak langkah anda walaupun sedang melakukan aktiviti di dalam rumah, berlari di atas treadmill dan sebagainya. Mereka akan terus menambah-baik Adventure Sync agar ia boleh berfungsi dengan lebih baik di dalam rumah.
  • Meningkatkan fungsi perhubungan dengan rakan maya, termasuk juga menyertai Raid Battles bersama walaupun berada di tempat yang berbeza atau di rumah.
  • Mereka juga sedang mencari cara untuk membolehkan pemain melawat ke sesuatu tempat secara maya dan berkongsi memori mengenai tempat tersebut sebelum mereka dapat melawat apabila pandemik ini berakhir.
  • Acara langsung seperti Pokemon GO Fest akan diubah agar pemain boleh bermain daripada rumah. Maklumat lanjut mengenainya akan dikongsi kemudian.
  • Mod permainan GO Battle League kini tidak memerlukan anda berjalan sejauh 3 km sebaliknya ia boleh disertai secara terus.

Penambahan-penambahan sudah semestinya sesuatu yang baik untuk pemain Pokemon GO ketika sedang terpaksa untuk berada di dalam rumah. Mereka juga sebelum ini telah menyertakan pelbagai perkara lain seperti mengurangkan harga untuk insense dan juga telur Pokemon juga kini lebih cepat untuk menetas.

Dengan jumlah pendapatan untuk Pokemon Go terus meningkat walaupun pemain ramai terpaksa berada di rumah, Niantic sudah semestinya akan terus mencari cara untuk membolehkan ia dimainkan.

Sohor Kini