April akan bermula esok, dan Perintah Sekatan Pergerakan masih berpanjangan sehingga 14 April (buat masa ini), namun sesuatu yang pasti, permainan video akan terus dikeluarkan. Mungkin, versi fizikal seperti yang dikongsi oleh Square Enix untuk Final Fantasy VII Remake mengalami masalah untuk penghantaran akan tetapi jika sangat diinginkan, sentiasa ada pilihan digital.
Bulan ini juga sepatutnya pemain sudah dapat mencuba Cyberpunk 2077 sebelum ia ditunda, tetapi ia bukanlah satu perkara yang sangat mengecewakan kerana terdapat pelbagai lagi permainan lain yang hadir pada bulan ini.
Berikut adalah 4 permainan menarik yang akan tiba pada bulan ini, mengikut pilihan kami;
Final Fantasy VII Remake
Walaupun ditunda daripada bulan lepas, tetapi penantian pemain untuk mencuba Final Fantasy VII Remake akhirnya akan berakhir. Diumumkan semasa E3 2015, kurang daripada 5 tahun kemudian, ia akhirnya akan tiba secara rasmi pada 10 April ini untuk PlayStation 4. Sebagai antara permainan terbaik sepanjang zaman, Final Fantasy VII Remake sudah semestinya mempunyai jangkaan yang besar untuk dipenuhi. Berdasarkan demo yang disediakan, kami merasakan ia akan berjaya.
Resident Evil 3
Satu lagi projek olahan semula, tetapi kali ini oleh Capcom untuk permainan Resident Evil 3. Mengolah semula permainan yang dikeluarkan pada tahun 1999, Capcom sudah mempunyai sejarah yang baik untuk permainan olahan semula melalui Resident Evil 2 yang dikeluarkan pada tahun lepas dan menerima penerimaan yang sangat baik. Kami juga merasakan Resident Evil 3 akan mengulangi kejayaan tersebut jika tidak lebih baik. Ia akan tiba pada 3 April 2020 untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.
Predator: Hunting Grounds
“Get to the choppa”… ia mungkin satu ayat yang ikonik di dalam industri filem, tetapi penulisan ini adalah untuk permainan berdasarkan siri filem tersebut iaitu Predator: Hunting Grounds. Ia merupakan permainan multi-pemain 1 lawan 4 pemain iaitu 4 manusia/tentera dan seorang sebagai predator. Ia dibangunkan oleh Illfonic yang juga merupakan pembangun untuk Friday the 13th. Versi beta yang berlangsung beberapa hari lepas, tidak menerima penerimaan yang baik, tetapi ia mungkin ditambah baik sebelum dikeluarkan pada 24 April ini untuk PlayStation 4 dan PC melalui Epic Games Store.
Moving Out
Di dunia ini tidak pernah terlalu banyak permainan yang boleh merosakkan persahabatan, dan Moving Out cuba menjadi permaianan terbaru untuknya. Melalui permainan ini, pemain (sehingga 4 pemain) bersama untuk memindahkan barang ke lori. Ia ringkas bukan? Tetapi memasak mengikut menu yang dinyatakan juga bunyi ringkas tetapi kita tahu apa yang berlaku di dalam Overcooked. Ia dibangunkan oleh SMG Studio dan diterbitkan oleh Team 17 pada 28 April untuk PlayStation 4, Xbox One, Switch dan PC.
Di atas adalah 4 permainan menarik yang dikeluarkan pada bulan April ini, dan kami pasti anda mempunyai pilihan tersendiri. Jadi kongsikan senarai anda, selain itu nantikan ulasan-ulasan kami untuk permainan-permainan yang akan datang.
Untuk senarai permainan lain yang akan dikeluarkan pada bulan April anda boleh rujuk kepada senarai yang kami sertakan di bawah.