Secara jujurnya, permainan ini terlepas pandang oleh saya, ia telah dikeluarkan beberapa hari lepas akan tetapi baru hari ini saya menjumpainya di dalam App Store dan mencubanya, setelah beberapa jam bermain, saya boleh katakan ia mungkin akan menjadi permainan yang saya akan mainkan buat sekian lama.

Jadi apa itu Disney Sorcerer’s Arena, ia adalah permainan RPG yang dibangunkan serta diterbitkan oleh Glu Mobile untuk peranti pintar iOS dan juga Android. Anda boleh membina pasukan menggunakan 5 watak, menariknya, watak-watak tersebut adalah watak siri Disney dan juga Pixar.

Ariel, Buzz Lightyear, Gaston?

Setakat ini terdapat 66 watak daripada siri seperti Toy Story, Aladdin, dan juga siri terbaru Onward. Anda perlu mendapatkan token untuk jumlah tertentu bagi mendapatkan watak-watak tersebut ia boleh didapati melalui kotak tikam ataupun dengan bermain.

Setelah mendapatkan watak tersebut, anda boleh terus mengumpul token khusus untuk sesuatu watak bagi menambahkan lagi kebolehannya. Jadi ini adalah elemen “gacha” yang hadir di dalam permainan ini. Saya tidak pasti lagi betapa pemurah ataupun kedekut sistem yang disertakan, mungkin saya akan jelaskan kemudian.

Penggunaan watak-watak daripada Disney dan Pixar ini sangat menarik, terutama mereka dapat menyertakan watak terbaru daripada siri Onward yang baru sahaja ditayangkan. Saya merasakan di masa hadapan permainan ini akan mendapat lebih banyak watak, mungkin Marvel ataupun Star Wars?

Grafik Sesuai Untuk Watak

Perkara ini lebih menarik kerana kualiti grafik yang disertakan. Ia menggunakan gaya seni yang bersesuaian dengan rekaan-rekaan watak Disney dan Pixar, selain itu saya mencubanya di iPhone XR, ia tidak mempunyai sebarang masalah kelancaran.

Kualiti grafik yang baik membuatkan saya lebih berminat untuk mendapatkan watak-watak yang ada di dalam permainan ini, selain daripada mendapat kebolehan yang pelbagai.

Sistem Pertempuran Ringkas Tetapi Menarik

Manakala sistem pertempuran pula adalah seperti JRPG klasik di mana serangan dilakukan mengikut turutan, setiap watak mempunyai kebolehan tersendiri dan anda juga boleh mencari “spell” untuk disertakan. Spell tersebut tidak memerlukan watak yang khusus.

Pertempuran boleh dilakukan secara automatik, tetapi untuk mendapatkan 3 star, iaitu kesemua watak hidup anda mungkin perlu mengawal sendiri daripada semasa ke semasa terutama untuk menambah nyawa watak.

Saya boleh katakan sistem pertempuran adalah ringkas, tetapi cukup baik untuk memerlukan interaksi daripada pemain, terutama apabila melawan kawasan yang lebih kuat berbanding watak pemain.

Pelbagai Mod dan Campaign

Bagi mod permainan pula, saya masih di peringkat awal, dan terdapat banyak mod yang masih dikunci kerana tidak mencapai tahap akaun yang minima, tetapi buat masa ini pemain boleh melakukan Battle untuk Grand Campaign, Heroes Campaign dan Villains Campaign.

Grand Campaign anda boleh melaluinya dengan membina pasukan daripada apa-apa watak, Heroes Campaign anda perlu menggunakan pasukan yang daripada watak protagonis sahaja dan Villains Campaign menggunakan watak antagonis sahaja.

Bagi saya, kepelbagaian Campaign ini akan memastikan saya menggunakan pelbagai watak dan tidak terhad kepada watak-watak tertentu sahaja. Selain itu terdapat juga acara masa terhad yang kebiasaan untuk anda lakukan bagi mendapatkan token untuk watak-watak tertentu, acara ini juga kebanyakan dihadkan kepada tahap watak, jadi saya tidak dapat mencubanya lagi.

Seperkara yang mungkin akan mengurangkan keseronokan bermain adalah sistem Energy, setiap campaign yang dilakukan, akan menggunakan Energy, jadi walaupun anda mempunyai masa terluang akan tetapi mungkin tidak dapat terus bermain kerana Energy sudah habis digunakan, ya anda boleh menonton iklan ataupun membayar untuk mengembalikan Energy tetapi buat masa ini saya tidak merasakan ia berbaloi.

Selamatkan Wang Ringgit Anda

Bercakap mengenai pembelian, permainan ini mempunyai banyak tawaran yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Banyak watak yang mempunyai tawaran tersendiri. Ia juga boleh mencecah sehingga RM299.90, contohnya untuk tawaran bagi watak Onward.

Selain itu terdapat juga Passholder Gold iaitu berfungsi seperti Battle Pass di permainan lain, ia boleh didapati dengan harga RM39.90 ataupun RM79.90 untuk setiap musim yang berlanjutan lebih kurang 40 hari. Pertama kali anda membuka permainan ini, ia akan nampak macam terlampau tetapi setakat ini, saya cuba untuk tidak berbelanja dan bermain secara F2P.


Itu sahajalah pandang pertama ringkas untuk permainan ini, masih ada banyak kandungan yang perlu dicuba, terutama mod-mod yang masih disekat termasuk juga PvP melawan pemain lain. Jika saya meluangkan masa yang lama bermain, saya mungkin akan mengeluarkan ulasan untuknya.

Sebelum itu, silalah mencuba permainan ini, yang boleh dimuat turun secara percuma (pautan disediakan di bawah), tetapi seperti saya katakan sebelum ini, ia mempunyai banyak pembelian di dalam aplikasi dan walaupun menyertakan watak-watak Disney dan Pixar, permainan ini bukanlah untuk kanak-kanak. Setelah mencuba, sila kongsi pendapat anda di bahagian komen.

App Store: Disney Sorcerer’s Arena

Play Store: Disney Sorcerer’s Arena

Sohor Kini