Apabila id Software dan Bethesda memberi nafas baharu kepada siri permainan Doom melalui permainan Doom yang dikeluarkan pada 2016, ramai yang menjangkakan ia adalah permulaah untuk sesuatu yang lebih baik bagi siri ini.
Kurang daripada 4 tahun kemudian, pada 20 Mac lepas, mereka akhirnya melancarkan sekuel untuknya, dan saya boleh katakan jangkaan sebelum ini adalah tepat kerana Doom Eternal adalah permainan yang mengambil apa yang baik daripada Doom, meluaskan-nya dan menyertakan pelbagai lagi penambahan untuk menjadikan ia adalah pengalaman terbaik bagi satu permainan Doom.
Cerita
Penceritaan di dalam Doom Eternal, sebagai satu sekuel, ia berlaku beberapa bulan selepas penceritaan permainan pertama. The Slayer ataupun Doomguy seperti yang ramai kenali, kembali ke bumi kerana setan telah menyerang dan hampir 60% warga bumi terbunuh.
Berbanding permainan pertama (Doom, 2016), Doom Eternal memberi lebih fokus kepada penceritaan, terdapat NPC, terdapat lebih banyak lore jika pemain ingin mencarinya. Jika anda seperti saya, inginkan lebih banyak penceritaan di dalam Doom, Doom Eternal menunaikan hajat tersebut. Namun, ia juga mungkin perkara yang tidak terasa “Doom”.
Saya sentiasa menganggap The Slayer sebagai satu watak yang tidak kisah apa yang berlaku dan sekadar membunuh setan, tetapi di dalam Doom Eternal, dia digambarkan sebagai seorang “hero” yang cuba menebus semula kesilapan dia dengan menyelamatkan bumi. Ia sesuatu yang sudah biasa untuk permainan lain, tetapi rasa janggal di dalam permainan siri ini.
Secara keseluruhan, saya boleh katakan penambahan penceritaan di dalam Doom Eternal adalah sesuatu yang baik, ia juga akan lebih menyukarkan filem-filem seterusnya yang ingin dikeluarkan kerana Doom sekarang mempunyai penceritaan tersendiri.
Bentuk Permainan
Doom yang dikeluarkan pada tahun 1993 merupakan antara permainan pertama yang saya mainkan di PC, ia juga permainan pertama yang memperkenalkan saya kepada genre shooter. Walaupun ia bukanlah satu genre kegemaran saya, akan tetapi Doom sentiasa menjadi permainan yang ada “tempat khas” di dalam sejarah.
Melalui Doom yang dikeluarkan pada tahun 2016, mereka berjaya membawa kembali apa yang seronok mengenai permainan Doom, dan melalui Doom Eternal saya boleh katakan mereka berjaya mengembangkan permainan ini kepada sesuatu yang jauh lebih baik, jauh lebih banyak kandungan dan jauh lebih “DOOM”.
Aksi penembakan di dalam Doom Eternal adalah satu perkara yang anda akan terus menyukai walaupun selepas berbelas ataupun berpuluh jam sesi permainan. Ia adalah pantas dan ganas, dan satu matra yang saya boleh katakan mengenainya adalah “Anda berhenti, anda mati”.
Seperti permainan Doom sebelum ini, kemajuan anda di dalam permainan ini terbahagi kepada beberapa kempen. Setiap kempen menyertakan satu kawasan yang luas dan di dalamnya terdapat beberapa bahagian yang memerlukan anda bertempur dengan puluhan setan jika tidak ratus. Selesai satu bahagian, anda bergerak ke bahagian lain. Penggerakan ke bahagian lain di dalam Doom Eternal dikembangkan lagi, tetapi ia akan diterangkan di bahagian pengembaraan.
Bahagian-bahagian yang dipenuhi oleh setan inilah yang menjadi nadi utama permainan ini, seperti saya katakan sebelum ini ia adalah pantas dan ganas, bahkan lebih sukar jika ingin dibandingkan dengan permainan Doom sebelum ini, terutama yang 2016 untuk tahap kesukaran yang sama.
Sesuatu kebiasaan untuk permainan Doom, anda akan disertakan dengan pelbagai senjata yang bagi aku mempunyai kekuatan tersendiri yang sangat unik, menjadikan setiap-nya terasa berlainan. Secara keseluruhan terdapat 8 senjata api, 1 gergaji, 1 pedang, 1 penyembur api dan 1 penumbuk. Namun, keseronokan Doom Eternal bukanlah pada sekadar menembak, tetapi ia juga adalah permainan yang menyertakan elemen “resource management”.
Anda mempunyai beberapa perkara yang boleh dilakukan semasa bertempur, untuk mendapatkan peluru, nyawa ataupun perisai. Peluru dan nyawa sudah diperkenalkan di dalam permainan sebelum ini lagi iaitu anda perlu menggunakan gergaji untuk peluru dan melakukan Gory Kill untuk nyawa. Di dalam Doom Eternal mereka memperkenalkan perkara baharu iaitu penyembur api di mana setan yang terbakar, akan mengeluarkan perisai untuk dikutip.
Jadi semasa bertempur, anda bukan sahaja perlu bergerak dengan pantas untuk mengelak daripada serangan, tetapi anda akan sentiasa perlu memikirkan, adakah anda perlukan peluru? ataupun perisai? ataupun nyawa? Sentiasa perlu memikirkan perkara ini menjadikan ia satu pengalaman yang cukup puas, ia bagaikan satu aksi yang tidak berhenti. Tambahan, pemain juga kini boleh bergerak dengan lebih pantas, mempunyai double jump serta dash, yang sangat berguna semasa bertempur.
Ia juga bertambah menarik kerana setiap senjata mempunyai kuasa yang berlainan untuk pemain cuba dan gunakan serta tukar mengikut keadaan. Seperti sebelum ini, setiap senjata tersebut boleh ditambah kuasa dengan mencari modbot.
Doom Eternal juga menyertakan jumlah setan berbeza yang lebih banyak berbanding sebelum ini, setiap daripada setan tersebut juga mempunyai kelemahan tersendiri yang boleh diguna oleh pemain untuk lebih memudahkan pertempuran.
Daripada apa yang disertakan di dalam Doom Eternal, saya boleh katakan ini adalah permainan yang membuktikan Doom masih lagi raja untuk permainan menembak.
Seperti yang saya perkatakan sebelum ini, Doom Eternal adalah satu permainan yang sukar, terutama untuk pemain seperti saya yang permainan menembak (sudut pandang pertama), bukanlah orang kata permainan harian.
Terdapat 4 tahap kesukaran iaitu, I’m Too Young To Die, Hurt Me Plenty, Ultra-Violence dan Nightmare. Selain itu terdapat juga Ultra-Nightmare, ia menggunakan tahap kesukaran Nightmare tetapi pemain yang mati di mana-mana kempen perlu memerlukan kempen tersebut daripada awal. Terdapat juga Extra Life Mode yang anda boleh gunakan dengan mana-mana tahap kesukaran, anda akan diberikan beberapa Extra Lives, apabila ia habis, permainan akan berakhir.
Semasa sesi permainan saya, saya mencuba tiga tahap kesukaran, iaitu I’m Too Young to Die, Hurt Me Plenty dan Ultra-Violance, saya boleh katakan Ultra-Violance adalah tersangat sukar, ia boleh diselesaikan tetapi akan mengambil masa yang lama untuk anda cuba dan cuba. Manakala dua tahap lagi, walaupun ia lebih mudah, tetapi ia masih cabaran yang menyeronokkan dan saya tidak terasa kekurangan yang jelas semasa bermain dengan tahap yang lebih rendah.
Walaupun sukar, saya tidak merasakan yang ia tidak adil. Selepas mati saya tidak akan merasa geram, ataupun terasa “ditipu” sebaliknya saya akan sedari mana salah, dan cuba menyelesaikannya pada percubaan seterusnya. Satu yang mungkin menjadi perkara yang menjengkelkan adalah rekaan kawasan di bahagian terakhir permainan sedikit mengecewakan, dengan setan-setan yang besar saya sering terperangkap.
Saya juga tidak suka dengan konsep Marauder, iaitu setan jenis baharu yang tiba di dalam Doom Eternal. Ia adalah sukar, sepertimana setan-setan lain, tetapi kesukaran Marauder tidak terasa adil. Saya juga merasakan yang ia bertentangan dengan apa yang membuatkan Doom Eternal seronok.
Bagi menyerang Marauder pemain tidak boleh terlalu jauh, atau terlalu dekat, dan hanya boleh menembak atau menyerang apabila mata bersinar hijau. Dengan kata lain, berbanding bergerak dengan pantas, pemain perlu menunggu. Bagi saya ia adalah perkara yang tidak sesuai dengan bentuk permainan Doom.
Bagi menghabiskan kempen, saya mengambil lebih 20 jam, dan banyak collectible, serta mod permainan lain yang saya tidak lakukan sepenuhnya seperti Secret Encounter dan Slayer Gate. Jika anda merancang untuk melakukannya, di tahap kesukaran yang biasa pun, ia mungkin akan mengambil masa sehingga 30 jam, yang bagi saya satu kandungan yang cukup banyak.
Doom Eternal juga menyertakan mod multi-pemain 3 pemain secara dalam talian, di mana 1 pemain akan menjadi Slayer dan 2 lagi akan menjadi setan (pemain boleh pilih daripada beberapa pilihan). Pusingan akan berakhir apabila Slayer ataupun setan terbunuh. Jika seorang pemain sebagai setan mati, ia masih boleh hidup semula dengan nyawa yang kurang selagi seorang lagi pemain masih hidup.
Semasa saya mencubanya, ia adalah menarik tetapi saya merasakan ia mempunyai kandungan yang kurang. Saya tidak tahu perancangan mereka untuk mod ini, tetapi buat masa ini, ia sekadar ada sahaja tidak menambah apa-apa nilai kepada Doom Eternal yang sudah cukup baik untuk mod solonya.
Pengembaraan
Selain pertempuran, seperkara lagi yang dikembangkan di dalam Doom Eternal adalah pengembaraan, kawasan yang lebih luas, dan lebih banyak collectible untuk pemain cari. Ia adalah satu penambahan yang positif tetapi ada juga yang kurang baik.
Pergerakan daripada satu bahagian ke bahagaian yang seterusnya, akan memerlukan pemain untuk mengembara. Oleh kerana ia menyertakan satu kawasan yang luas, pengembaraan ini kebiasaan memerlukan pelbagai platforming yang akan mengguna pakai kebolehan pemain untuk double jump dan dash. Ia adalah perkara yang menyeronokkan untuk digunakan semasa bertempur, tetapi terasa membosankan untuk mengembara.
Platforming yang disediakan adalah baik, tetapi saya merasakan ia tidak sesuai dengan kadar kelajuan permainan ini. Benar, pemain perlu satu ruangan untuk “berehat” di antara dua bahagian, tetapi Doom Eternal mungkin melakukannya terlalu banyak yang menyebabkan pacing sedikit terjejas.
Saya merasakan platforming hanya perlu disertakan jika pemain ingin mencari barangan collectible ataupun mencari perkara-perkara yang “optional” tetapi untuk bergerak daripada satu bahagian ke bahagian yang lain, ia seharusnya lebih straight forward agar tidak menjejaskan kelancaran.
Bercakap mengenai Collectible, Doom Eternal mempunyai banyak barangan yang boleh di cari, ataupun yang boleh terlepas pandang. Jika anda menggemari perkara ini, saya merasakan ia adalah satu yang akan dihargai oleh anda. Anda boleh mencari Toys, piring hitam lagu, Hidden Lore, dan barangan-barangan untuk meningkatkan keupayaan pemain.
Tidak cukup dengan itu, pemain juga kini mempunyai kapal yang dipanggil sebagai Fortress of Doom yang pemain boleh “beristirahat” sambil melihat koleksi-koleksi yang dikumpul. Kapal ini juga mempunyai pelbagai pintu berkunci yang mengandungi barangan seperti kostum dan barangan meningkatkan kebolehan pemain. Anda perlu mencari Sentinel Battery, seperkara lagi benda yang pemain boleh kumpul.
Jadi, walaupun saya merasakan konsep pengembaraan yang mungkin sesuai untuk permainan lain, tetapi tidak bagi permainan Doom, ia masih lagi satu penambahan yang baik dan berjaya mengembangkan lagi permainan ini.
Grafik
Bagi kualiti grafik pula, saya sangat-sangat respek Id Software dan Bethesda kerana menghasilkan satu permainan yang sangat dioptimumkan terutama untuk PC. Walupun PC saya mempunyai spesifikasi sederhana, ia masih boleh menggunakan tetapan yang mencukupi untuk menghasilkan kualiti grafik yang baik dengan kelancaran yang boleh dikatakan tidak pernah terganggu.
Dengan bentuk pertempuran yang pantas dan tanpa henti, kelancaran permainan adalah sangat penting dan Doom Eternal tidak mengecewakan. Tidak kira betapa banyak setan, ataupun letupan, ia masih lancar. Ini walaupun rekaan dunia yang lebih kaya. Rekaan-rekaan persekitaran adalah perkara yang sangat dikagumi.
Ia bagaikan anda bermain satu permainan RPG yang memfokuskan world building, melihat pelbagai kawasan di dalam Doom Eternal mengingantkan saya kepada rekaan yang pelbagai di dalam permainan Skyrim. Beberapa kali apabila saya memasuki kawasan baharu, dan saya berhenti untuk melihat persekitaran.
Rekaan setan juga diubah, saya merasakan jika dibandingkan dengan rekaan Doom 2016, rekaan kali ini lebih nampak seperti alien berbanding setan daripada neraka, namun ada juga watak yang sebaliknya. Satu yang pasti, ia adalah setan yang anda ingat dan kenal jika biasa bermain siri permainan ini.
Perkara kecil yang saya kurang gemar di dalam Doom Eternal, collectible kini menjadi satu simbol tanda tanya kuning yang besar berbanding di dalam Doom 2016 anda tahu apa yang anda jumpa. Ia lebih memudahkan untuk pemain jumpa, tetapi dengan ia juga dipaparkan pada peta, rasa cara sebelum ini adalah lebih baik dan tidak terasa pelik berbanding dengan keseluruhan rekaan dunia.
Kesimpulan
Akhir kata, melalui Doom Eternal, Id Software dan Bethesda meneruskan dominasi mereka di dalam permainan menembak pandangan diri pertama, ia masih lagi satu permainan yang mempunyai segala yang membuatkan genre ini digemari ramai. Kelajuan, serta pengurusan barangan menjadi titik fokus di dalam pertempuran yang memastikan pemain sentiasa terasa cemas.
Ini dibantu lagi dengan kualiti grafik permainan yang sangat baik, bukan sahaja daripada segi bagaimana ia dipersembahkan tetapi juga bagaimana ia dimainkan di PC yang mempunyai spesifikasi biasa sahaja. Penambahan fokus kepada penceritaan dan pengembaraan mungkin tidak terlalu sesuai ataupun serasi dengan siri permainan Doom tetapi ia penambahan yang digalakkan.
Doom Eternal adalah satu permainan yang mudah untuk saya syorkan, sama ada anda meminati genre ini ataupun tidak, sama ada anda pernah mencuba Doom ataupun tidak kerana ia adalah permainan yang akan menjadi menjadikan anda penat selepas bermain tetapi secara positif.
Doom Eternal sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC.
Penafian: Kod Ulasan Doom Eternal disediakan oleh Bethesda