Skip to main content

Nintendo hari ini berkongsi video Nintendo Direct baharu akan tetapi oleh kerana ia adalah Direct Mini, ia tidak diumumkan sebaliknya terus dipertontonkan. Jika anda ingin tonton sendiri, video tersebut kami sediakan di bawah.

Terdapat pelbagai pengumuman yang dilakukan, permainan yang baharu dan juga permainan yang sudah diumumkan sebelum ini. Selain itu ia juga memperlihatkan tarikh pelancaran untuk beberapa permainan. Menurut Nintendo, oleh kerana pandemik Covid-19 menjadikan pasaran tidak tentu, tarikh pengeluaran mungkin berubah di masa hadapan.

Berikut adalah segala pengumuman yang dilakukan ketika Nintendo Direct Mini;

Xenoblade Chronicles Definitive Edition

Nintendo akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran untuk permainan Xenoblade Chronicles Definitive Edition iaitu versi olahan semula daripada permainan yang dikeluarkan untuk Wii pada tahun 2011. Permainan ini akan dikeluarkan pada 29 Mei 2020. Video tersebut juga memperlihatkan pelbagai penambah-baikkan yang disertakan di dalam edisi ini.

Permainan 2K

Tiga permainan yang diterbitkan oleh 2K diumumkan untuk Switch iaitu Bioshock The Collection yang menyertakan ketiga-tiga permainan Bioshock. Seterusnya adalah Borderlands Legendary Collection yang akan menyertakan Borderlands: GOTY Edition, Borderlands 2 dan Borderlands: The Prequel. Akhir sekali ada XCOM 2 Collection yang akan menyertakan XCOM 2 dan XCOM 2 War of the Chosen. Kesemua koleksi permainan ini akan tiba pada 29 Mei 2020.

MARVEL ULTIMATE ALLIANCE 3: The Black Order

Video acah baharu untuk Shadow of Doom iaitu penambahan terbaru bagi permainan Marvel Ultimate Alliance 3: The Black Order diperlihatkan. Ia hadir bermula pada hari ini melalui pek DLC.

Shinsekai: Into The Depths

Shinsekai: Into the Depths merupakan permainan pengembaraan di dalam laut. Ia sebelum ini dikeluarkan secara eksklusif untuk Apple Arcade. Ia kini tiba untuk Switch bermula hari ini.

Animal Crossing: New Horizons

Nintendo telah mengumumkan acara pertama untuk Animal Crossing: New Horizons iaitu Bunny Day yang akan berlangsung bermula pada 1 hingga 12 April. Pada tarikh tersebut, Zipper iaitu seekor Arnab akan melawat tempat anda dan memberi tugasan untuk mencari telur-telur yang disorok. Menggunakannya anda boleh menghasilkan pelbagai barangan khas.

Good Job

Permainan Good Job turut diumumkan, ia adalah permainan tekaria, yang menjadikan pemain sebagai pekerja am dan perlu melakukan pelbagai tugasan. Pemain boleh mengikut cara tersendiri untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Ia sudah tiba bermula hari ini.

Catherine:Full Body

Nintendo akhirnya mengesahkan ura-ura sebelum ini yang Catherine: Full Body akan tiba untuk Switch dan ia akan tiba pada 7 Julai 2020. Full Body merupakan versi baharu yang menyertakan pelbagai penambahan kandungan untuk permainan pengembaraan/tekaria Catherine. Anda boleh membaca ulasan kami melalui pautan ini; Ulasan Catherine: Full Body – Permainan Tekaria Yang Berulangan Dengan Tema “Dewasa” .

Ring Fit Adventure

Bermain sambil bersenam, Ring Fit Adventure boleh dikatakan sebagai permainan yang paling diinginkan buat masa sekarang. Nintendo hari ini mengumumkan kemaskini baharu yang menyertakan mod permainan irama yang menyertakan 17 lagu berbeza daripada muzik-muzik Nintendo seperti Super Mario Odyssey dan Splatoon. Selain itu ia juga menyertakan penambahan seperti suara dan juga bahasa. Kemaskini ini hadir pada hari ini.

King’s Bounty II

King’s Bounty II adalah permainan strategi mengikut turutan yang dibangunkan oleh 1C Entertainment, ia disahkan akan tiba di Switch. Ia juga sebelum ini diumumkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC. Akan tiba sekitar tahun ini.

Super Smash Bros Ultimate

Nintendo akhirnya mengumumkan yang watak pertama yang akan tiba sebagai DLC untuk Figther Pass 2 adalah watak daripada permainan Arms. Namun buat masa ini, mereka belum bersedia untuk mengumumkannya, seperti yang dilaporkan sebelum ini. Sebaliknya maklumat lanjut, dan juga bila ia dilancarkan adalah pada bulan Jun ini.

Selain itu, Nintendo juga mengumumkan yang pelanggan Nintendo Switch Online dapat mencuba permainan Arms secara percuma bermula 26 Mac sehingga 6 April 2020.

Bravely Default II

Maklumat lanjut untuk Bravely Default II dikongsikan iaitu permainan sambungan kepada Bravely Default untuk 3DS yang akan dikeluarkan secara esklusif untuk Switch. Pemain akan menjadi Seth iaitu seorang pelayar yang karam dan terdampar di satu kawasan. Di sanalah dia berjumpa dengan Gloria seorang puteri raja di dalam pelarian, Elvis dan Adelle iaitu pengembara.

Ia juga berkongsi lanjut mengenai bentuk permainan seperti pertempuran dan penggunaan Brave Point. Buat masa ini, tarikh pelancaran masih sekitar tahun 2020, tetapi demo untuk permainan ini boleh dimuat turun sekarang.

Clubhouse Game: 51 Worldwide Games

Jika anda meminati permainan papa, Clubhouse Game: 51 Worldwide Games sudah semestinya harus dimiliki, ia menyertakan 51 permainan papan yang boleh dimainkan secara berseorangan ataupun multi-pemain secara setempat dan juga dalam talian. Ia akan tiba pada 4 Jun 2020.

Ninjala

Ninjala merupakan permainan pertempuran yang dibangunkan oleh GungHo Online secara eksklusif untuk Switch. Ia mendapat perhatian ramai kerana mempunyai gaya rekaan sama dengan Splatoon. Di dalam video terbaru ini, bentuk pertempuran diperlihatkan dengan lebih mendalam. Sebelum ini ia diumumkan ditunda daripada tahun 2019 ke tahun 2020, dan kini ia diumumkan akan tiba pada 27 Mei 2020 sebagai permainan percuma untuk dimainkan.

Star Wars Jedi Knight: Jedi Academy

Seperti yang diumumkan oleh Aspyr Media sebelum ini, mereka akhirnya melancarakan Star Wars Jedi Knight: Jedi Academy versi olahan untuk Switch pada hari ini. Ia juga akan tiba untuk PlayStation 4. Star Wars Racer juga diumumkan akan tiba tidak lama lagi.

Panzer Dragoon: Remake

Panzer Dragoon: Remake adalah permainan “rail-shooter” olahan semula untuk permainan Panzer Dragoon yang dikeluarkan pada tahun 1995. Di dalam permainan ini, pemain akan menunggan seekor naga untuk melalui pelbagai kawasan. Ia tiba hari secara esklusif buat masa terhad di Switch.

Pokemon Sword & Shield

Nintendo juga berkongsi lanjut mengenai bahagian pertama untuk penambahan bagi permainan Pokemon Sword dan Shield iaitu The Isle of Armor yang akan tiba pada akhir Jun ini. Melaluinya, permain dapat menghadiri kelas pertahanan diri di satu Dojo. Menyelesaiknya, pemain akan mendapat legendary Pokemon iaitu Kubfu.

Bersama dengan Kubfu pemain dapat mencabar satu menara di mana pemain perlu memilih Tower of Water ataupun Tower of Darkness. Menyelesaikannya, Kubfu akan berubah menjadi Urshifu. Jika memilih Tower of Darkness, Urshifu akan memperoleh kuasa Single Strike Style manakala jika memilih Tower of Water, Urshifu akan mendapat kuasa Rapid Strike Style. Dengan menyelesaikan penambahan ini, beberapa Pokemon tersedia juga akan mendapat bentuk Gigantamax.

Permainan-permainan Lain

  • Trials of Mana – 24 April 2020
  • Fuser – Suku Terakhir 2020
  • The Elder Scrolls: Blades – Suku Kedua 2020
  • Warhammer 40,000: Mechanius – Mei 2020
  • Vigor – Beta Tertutup (9 April 2020)
  • Burnout Paradise: Remastered – Sekitar 2020
  • Saints Row IV: Re-Elected – 27 Mac 2020
  • The Legend of Heroes: Trails of Cold Steel III – 30 Jun 2020
  • Mr. Driller DrillLand – 25 Jun 2020
  • Minecraft Dungeons – Suku Kedua 2020

Bagi pengikut Nintendo yang ternanti-nanti Nintendo Direct mungkin inilah yang terbaik untuk waktu ini, walaupun sekadar “Direct mini” akan tetapi teradapat banyak pengumuman yang dilakukan.

Leave a Reply