Skip to main content

Brawlout merupakan permainan perlawanan “smash”, ia dibangunkan oleh Angry Mob Games. Ia sudah dikeluarkan sejak tahun 2017 untuk PC dan Switch sebelum turut tiba untuk PlayStation 4 dan Xbox One setahun kemudian.

Namun, untuk pasaran tempatan, terutama versi fizikal ia tidak dikeluarkan secara rasmi, sehinggalah pada bulan lepas, SCRYsoft mengumumkan yang mereka akan mengedarkan Brawlout Edisi Deluxe secara digital dan fizikal untuk pasaran tempatan.

Mereka telah memberikan kami satu unit untuk dicuba, dan selepas mencubanya, berikut adalah ulasan kami untuk Brawlout.

Kawalan Permainan

Sebagai satu permainan perlawanan, kawalan permainan adalah aspek paling penting untuknya. Oleh itu saya mulakan ulasan dengan perkara ini. Seperti permainan “smash” yang lain, tidak kira Super Smash Bros ataupun klon-klon yang ada di pasaran, mereka menggunakan sistem kawalan yang lebih ringkas, begitu juga dengan Brawlout.

Oleh kerana saya bermain permainan ini di PlayStation 4, contoh-contoh yang disertakan adalah berdasarkan DualShock 4.

Brawlout mempunyai tiga jenis serangan iaitu Attack, Special dan Charge, setiapnya mempunyai butang tersendiri, secara asasnya ia adalah Empat Segi, Tiga Segi dan Bulat. Selain itu butang L1,L2,R1,R2 digunakan untuk mengelak dan juga Rage (saya akan terangkan kemudian) dan satu butang untuk melompat iaitu X secara asas.

Setiap-nya boleh diubah mengikut tetapan pemain, tetapi anehnya, anda boleh menetapkan kesemua menjadi satu butang berbanding ia akan menggantikannya. Saya tidak pasti jika ia adalah perkara biasa di dalam permainan pertempuran, tetapi bagi saya ia agak pelik.

Manakala Skills pula boleh dilakukan dengan menggunakan serangan Attack ataupun Special bersama dengan arah. Kebanyakan watak mempunyai 4 ataupun 5 kombinasi berbeza tetapi kebanyakannya adalah Atas + Special, Bawah + Special dan Kiri/Kanan + Special.

Saya boleh katakan untuk “menghafal” ataupun memahami setiap Skills yang ada daripada watak adalah senang kerana ia ringkas, walau bagaimana pun anda masih perlu mencuba berulang kali untuk menjadi mahir. Ada beberapa pergerakan yang boleh dikatakan sebagai “combo” tetapi ia tidak sangat diketengahkan, dan bukan perkara yang besar di dalam permainan ini.

Sepanjang saya bermain, saya boleh katakan kualiti kawalan adalah sederhana sahaja, ia ringkas dan mudah untuk dilakukan tetapi merasakan yang ia kurang responsif. Ada masa saya ingin menyerang, dan bertahan dengan cepat tetapi tidak pasti mungkin kerana animasi yang disertakan ia tidak selalu dapat dilakukan.

Saya juga merasakan satu benda yang kecil yang tidak disertakan tetapi sangat berguna pada awal permainan, iaitu kebolehan untuk melihat senarai Skill semasa di dalam perlawanan. Untuk melihat skills anda perlu berada di bahagian menu utama dan melihat di setiap profil untuk watak. Saya merasakan ia sepatutnya boleh diakses dengan sekadar jeda perlawanan, terutama bermain secara luar talian.

Berbanding dengan kawalan untuk berlawan, saya merasakan satu perkara yang lebih penting adalah kawalan untuk mengelakkan watak anda terjatuh daripada platform, ataupun kembali ke platform selepas dipukul. Anda boleh menggunakan skill-skill yang ada untuk membantu, anda juga mempunyai “double jump” dan “rush”. Ia agak janggal pada permulaan, tetapi apabila sudah mahir, ia akan menjadikan sesi permainan lebih menarik dan jarang untuk terasa tidak adil.

Bentuk Perlawanan

Anda perlu menyerang sehinggalah peratusan watak lawan mencecah 100% ataupun lebih dan terus menyerangnya sehinggalah watak tersebut berterbangan dan tidak kembali ke platform, daripada ayat tersebut saya boleh katakan ia bukan konsep yang janggal untuk pemain yang pernah mencuba permainan smash sebelum ini.

Ia adalah sama dengan Brawlout, anda perlu menggunakan segala skill untuk setiap watak, bagi melakukan serangan ini. Namun, bagi saya, kekurangan cara untuk betul-betul melakukan sesuatu bagi menghalang daripada diserang menjadikan permainan ini menjengkelkan. Jika anda dapat terus menyerang, bagus, tetapi apabila anda diserang, selain mengelak yang bagi saya mekanik yang sangat tidak tetap. Ada masa ia berkesan, ada masa tidak.

Permainan-permainan perlawanan lain kebiasaan menyertakan counter, ataupun block dan juga grab untuk memberi peluang kepada pemain mengelak daripada serangan. Di dalam Brawlout selain daripada beberapa watak yang mempunyai skill untuk block dan grab, anda tiada cara lain.

Brawlout menyertakan satu mekanik iaitu “Rage” yang serba sedikit mengurangkan kesan kekurangan perkara di atas. Selepas anda diserang, ia akan mengisi meter yang boleh dilihat di bawah peratusan watak anda, apabila ia mencapai separuh anda boleh menekan L+R (1 atau 2) untuk memasuki mod Rage yang akan terus membatalkan serangan lawan. Jika meter penuh, anda boleh memasuki mod Rage yang lebih kuat di mana, serangan menjadi lebih berkuasa. Ia boleh memberi peluang untuk pemain melawan kembali apabila ketinggalan.

Namun, saya lebih memilih untuk mempunyai cara yang lebih pelbagai untuk mengelak daripada serangan berbanding sekadar berharap kepada Rage. Kekurangan ini jugalah yang membuatkan saya katakan sebelum ini, mengelak daripada terkeluar platform ataupun kembali ke platform selepas di-lontar/diserang keluar adalah kemahiran yang lebih penting berbanding pertempuran itu sendiri.

Selain itu, perlawanan juga mempunyai masalah “hitbox” yang tidak tetap, ada banyak kejadian di mana saya merasakan sudah berada di jarak yang baik untuk mengelak daripada ditarik ataupun diserang, tetapi serangan berjaya dilakukan walaupun jika dilihat pada animasi, ia tidak masuk akal.

Manakala untuk skills ataupun kebolehan yang ada, ia adalah menarik, setiap watak mempunyai gaya serangan, tetapi selepas mencuba setiap watak, saya merasakan ada watak yang jauh lebih berkuasa berbanding watak-watak lain terutama watak daripada permainan indie, seperti Dead Cells yang terasa lebih dilakukan dengan baik.

Secara keseluruhan, perlawanan adalah serancak sepertimana permainan-permainan smash yang lain, akan tetapi dengan kekurangan cara untuk mengelak serangan, serta pelbagai masalah seperti hitbox dan watak yang tidak seimbang, boleh membuatkan ia terasa menjengkelkan.

Kandungan Permainan

Super Smash Bros Ultimate adalah permainan terbaik dalam genre ini, dan ia adalah kerana kandungan yang disertakan. Sudah semestinya agak tidak adil untuk membandingkan antara permainan oleh syarikat besar seperti Nintendo dengan Brawlout yang dibangunkan oleh pembangun indie, tetapi pada masa yang sama, saya masih berharap ia menyertakan lebih banyak kandungan.

Saya akan bahagikan kepada dua bahagian untuk kandungan iaitu Watak yang juga menyentuh barangan lain seperti kostum, dan sistem kotak tikam dan satu lagi adalah mod permainan.

Bagi watak ia sangat mengecewakan, secara keseluruhan terdapat 10 watak, dan 15 variasi untuk 6 watak. Kebanyakan watak variasi tersebut berkongsi serangan yang sama dengan watak asal, dan ada yang sekadar mengubah elemen sahaja contohnya menukar pasir dan madu walaupun bentuk serangan adalah sama. Ditambah lagi dengan sesetengah watak terasa jauh lebih baik, pilihan untuk pemain adalah sangat terhad.

Dengan jumlah watak yang sedikit, ia kurang memberi sebab untuk pemain terus grind ataupun bermain, Brawlout cuba menyelesaikan masalah ini dengan menyertakan kotak tikam dalam bentuk Pinata. Dengan bermain anda akan mendapat syiling, dan syiling tersebut boleh digunakan untuk membeli Pinata yang mengandungi aksesori, kostum untuk watak dan gambar profil.

Ia mungkin sistem yang digunakan dengan baik di permainan lain, tetapi bagi saya sistem ini sangat membosankan dan tidak terasa ia adalah satu perkara yang bersesuaian, satu perkara yang baik adalah mereka tidak menjual syiling tersebut melalui wang ringgit.

Manakala Stage pula terdapat 15 rekaan berbeza, walaupun rekaan adalah cantik dan unik tetapi setiap stage tidak membawa perbezaan yang ketara antara setiap satunya. Ada stage yang rekaan menarik dengan pelbagai “gimik”, tetapi ada stage yang menjengkelkan.

Tidak pasti jika mereka Angry Mob Games merancang untuk menambah watak di masa hadapan, akan tetapi buat masa ini, tambahan lagi yang permainan ini sudah lebih 2 tahun dikeluarkan, ia sangat mengecewakan.

Bagi mod permainan pula, ia menyertakan mod yang pelbagai, tidak kira untuk bermain secara berseorangan ataupun secara multi-pemain sehingga 4 pemain. Untuk permainan secara berseorangan, terdapat mod khusus iaitu Single Player yang menyertakan Trials dan Arcade.

Melalui Trials, pemain akan bertempur menggunakan satu watak dengan pelbagai cabaran untuk maju di atas “laluan” trails, di mana di beberapa bahagian pemain juga akan mendapat ganjaran dan juga mini-game. Arcade pula adalah “mod penceritaan” untuk permainan ini, anda perlu melawan satu persatu lawan mengikut tahap kesukaran yang dipanggil sebagai Arcade Tower, menyelesaikannya pemain akan mendapat syiling dan juga Pinata.

Kedua-dua mod ini adalah kandungan yang baik untuk memberi alasan kepada pemain untuk terus bermain, tetapi kerana kekurangan “reward” daripada melakukannya, ia tidak menjadi se-menarik daripada yang sepatutnya.

Manakala mod multi-pemain ia boleh dimainkan secara dalam talian ataupun luar talian. Melalui mod Couch Play, pemain boleh bermain dengan 4 pemain lain secara setempat, terdapat 3 mod berlainan untuknya iaitu Free for All, Teams dan Party Mode. Free for All adalah 1v1v1v1 dan team bergantung kepada pilihan boleh membentuk jumlah pasukan tertentu, manakala Party Mode ia mempunyai 5 jenis perlawanan iaitu Bomber Blast, Golden Belt, Plague, Coin Mania dan Suddent Death.

Pilihan yang pelbagai ini adalah perkara yang baik jika anda ingin bermain bersama rakan, terutama Party Mode yang akan memberikan pengalaman bermain yang menyeronokkan.

Manakala secara dalam talian pula terdapat dua iaitu Online Lobbies dan Ranked Mode. Online Lobbies adalah seperti Couch Play tetapi untuk secara dalam talian, manakala Ranked Mode seperti judulnya adalah anda melawan pemain lain untuk menentukan kedudukan di liga.

Seperkara yang mengecewakan mengenai bermain secara dalam talian ini, sepanjang seminggu saya cuba untuk mencari pemain lain saya tidak pernah berjaya. Oleh disebabkan itu, tidak banyak yang dapat saya perkatakan mengenainya. Saya tidak pasti jika, jumlah pemain akan meningkat dengan pelancaran di pasaran tempatan tetapi semasa penulisan ini, komuniti dalam talian boleh dikatakan tidak wujud.

Grafik

Bagi saya grafik di dalam permainan ini adalah baik, arahan seni yang unik, walaupun rekaan watak terasa “generic” tetapi ia masih rekaan yang berwarna-warni dan setiap satunya mempunyai keunikan tersendiri, kecuali seperti saya katakan sebelum ini, jumlah watak adalah terhad. Animasi semasa perlawanan juga baik, walaupun ada masalah yang tidak tetap, seperti hitbox yang saya katakan sebelum ini.

Saya juga tidak mempunyai sebarang masalah kelancaran permain, kecuali kepada di bahagian menu terutama semasa memilih watak, ia mengambil masa yang lama untuk keluar, dan selagi ia tidak selesai anda akan tersangkut. Ia juga mempunyai skrin pemuatan yang agak lama. Jika anda bermain mod seperti Trials, yang anda akan terus bermain, skrin pemuatan akan menjadi perkara menjengkelkan.

Rumusan

Akhir kata, Brawlout mempunyai asas yang baik untuk dikembangkan lagi untuk menjadi satu permainan yang dapat berada di pasaran yang sama dengan Super Smash Bros Ultimate dan menjadi alternatif bagi pemain yang tidak memiliki konsol Nintendo, akan tetapi ia memerlukan kandungan yang lebih banyak terutama untuk satu permainan yang berbayar.

Dengan apa yang disediakan buat masa sekarang, agak sukar untuk saya mengesyorkan permainan ini, ia hadir untuk PS4 dengan harga RM137 yang bagi saya agak mahal untuk kandungan yang disediakan. Jika anda ingin mencuba anda boleh dapatkan untuk PC melalui Steam di mana ia dijual dengan harga RM38 sahaja yang bagi saya agak murah untuk permainan ini. Jika anda mempunyai rakan untuk bermain bersama, ia akan menjadi permainan lebih baik kerana komuniti dalam talian mungkin tidak akan wujud.

Penafian: Permainan edisi Fizikal Brawlout Deluxe Edition disediakan oleh SCRYSoft.

Leave a Reply