Sebelum ini kami laporkan yang mana permainan Silent Hill mungkin akan kembali dan dibangunkan oleh Japan Studio dan Kojima Productions dan seperti anda kami juga agak teruja dengan apa yang Sony Interactive Entertainment cuba lakukan untuk siri tersebut, terutamanya ianya dikhabarkan akan tiba di konsol PlayStation 5.
Akan tetapi, terkini melalui laporan Rely On Horror sekali lagi, Konami menafikan segala ura-ura tersebut. Menurut wakil perhubungan awam Konami Amerika Syarikat, mereka menyatakan segala laporan berkenaan khabar angin tersebut adalah tidak benar.
Menurut mereka lagi, francais Silent Hill semestinya tidak akan terkubur, namun ianya tidak akan kembali dalam masa terdekat ini seperti mana yang kami laporkan sebelum ini. Namun dari segi pembikinan filem, ianya buat masa ini tidak berkaitan dengan kenyataan tersebut sekaligus kita mungkin masih lagi akan mendapat filem baharu Silent Hill kelak.
Semestinya kenyataan ini hanyalah dari Konami Amerika Syarikat sahaja dan bukannya secara terus dari Konami Japan. Bahkan Konami sebelum ini juga pernah menafikan yang mana Hideo Kojima akan meninggalkan Konami dan kita sendiri tahu apa yang terjadi sehingga kini.
Walau bagaimana pun kita nantikan sahaja sebarang pengumuman daripada Konami ataupun Sony Interactive Entertainment sendiri di mana kami pasti akan mengemaskini sebarang informasi lanjut setelah ia dilaporkan.