Skip to main content

Permainan simulasi pengurusan semestinya bukanlah sesuatu yang baru untuk genre permainan yang mana di PC sahaja, genre tersebut terkenal dengan pelbagai pilihan dari pengurusan hospital sehinggalah pengurusan pasukan bola sepak.

Agate, iaitu studio pembangun permainan daripada Indonesia minggu ini melancarkan satu permainan yang agak berlainan dari segi aspek bentuk simulasi pengurusan yang mana ianya memfokuskan pemain untuk mengurus sekolah “Pendekar” sebelum mereka menjadi adiwira mereka sendiri.

Meskipun begitu, permainan ini sebelum ini telah pun dilancarkan di platform lain dan kini dengan kerjasama SCRYSoft, mereka membawa edisi fizikal khas buat pemain yang mana informasi lanjut berkenaannya anda boleh baca di artikel ini.

Namun, adakah permainan ini masih lagi satu permainan simulasi pengurusan yang menarik? Ini adalah ulasan saya untuk Valthirian Arc: Hero School Story.

Cerita

Saya perlu akui di mana penceritaan permainan adalah aspek yang paling lemah sekali untuk keseluruhan permainan yang mana saya sendiri tidak peduli untuk habiskan penceritaan permainan ini akibat ianya terlalu ringkas dan membosankan.

Permulaan permainan ini mempunyai seakan konsep seperti kebanyakan permainan visual novel lain yang mana pemain akan bermula sebagai seorang pengetua sekolah yang melatihkan pendekar di satu negara yang mempunyai beberapa kerabat diraja di negeri berbeza dengan satu kerabat diraja utama. Pemain kemudian perlu mengeluarkan lebih ramai pendekar untuk negara tersebut atas sebab kesejahteraan negara.

Dari segi aspek penceritaan, ianya tidaklah begitu unik. Pada permulaan permainan, Valthirian Arc: Hero School Story cuba untuk melakukan satu bentuk penceritaan berpolitik yang mana ia memfokuskan perebutan kuasa antara kerabat diraja negeri-negeri lain. Namun, cara ia disampaikan berasa agak ringkas dan sekaligus membuatkan penceritaan ini kurang menarik.

Selain itu, sepanjang sesi pengurusan pemain, terdapat pelbagai juga watak-watak lain yang akan pemain temui di mana kebanyakan hanyalah watak mentor untuk mengajar pelajar dan tidak memberi sebarang plot atau naratif tambahan, sekaligus membuatkan penceritaan permainan ini berasa agak hambar.

Walaupun gaya penceritaan dihasilkan melalui bentuk visual novel, ianya tidak langsung mempunyai cabang penceritaan yang berbeza dan aspek pertengahan permainan yang menyarankan saya untuk memilih negeri untuk tolong, tidak langsung memberi kesan terhadap keseluruhan penceritaan. Namun berdasarkan apa yang diperlihatkan di Internet, ianya mempunyai pengakhiran berbeza berdasarkan jumlah misi yang anda lakukan. Namun dari segi keseluruhan, ia tidaklah terlalu berbeza.

Apa yang saya boleh katakan, penceritaan permainan ini hanyalah sekadar ada sahaja di mana ianya berasa agak membosankan sehingga saya sendiri tidak langsung hiraukannya setelah beberapa jam bermain permainan ini.

Grafik

Dari segi aspek grafik, boleh saya katakan ianya adalah satu permainan ringkas dengan rekaan watak yang sangat comel. Saya perlu akui yang mana permainan ini tidaklah mempunyai visual yang hebat ataupun terperinci, namun memandangkan ianya adalah dari studio pembangun yang kecil, saya tidak mempunyai masalah tersebut.

Saya juga menyukai rekaan watak dan kelas-kelas watak yang berbeza di mana setiap satunya mempunyai rekaan yang unik dan sedikit sebanyak mengingatkan permainan seperti Ragnarok Online ataupun Final Fantasy yang mana kelas watak tersebut kelihatan banyak mengambil inspirasi daripadanya.

Akan tetapi saya sendiri amat kecewa yang mana watak-watak pelajar tersebut tidak boleh diubahsuai dan kesemua rekaan watak dari segi rambut dan sebagainya adalah rawak.

Dari segi rekaan musuh juga ianya agak berulangan, dengan musuh yang lebih berkuasa hanyalah bersaiz lebih besar sahaja. Namun ianya tidaklah merosakkan segala pengalaman permainan saya.

Prestasi pula, permainan ini dimainkan dengan baik sekali di konsol PlayStation 4 Pro dengan resolusi 1080p. Namun, saya menghadapi satu kali sahaja aplikasi permainan tergendala. Akan tetapi memandangkan segala penyimpanan adalah automatik, ia tidaklah memberi kesan terhadap sesi pengalaman permainan saya.

Audio

Memandangkan permainan ini tidak mempunyai sebarang aspek suara latar utama, sekaligus saya tidak boleh memberi ulasan berkenaannya. Namun bagi sesetengah watak pelajar, permainan ini masih lagi menyertakan beberapa aspek bunyian seperti desakan ataupun ucapan ringkas yang mana pada pendapat saya agak minimum dari segi kualiti. Namun sekali lagi, ia bukanlah aspek utama permainan ini sekaligus ia tidaklah memberi kesan terhadap keseluruhan audio.

https://www.youtube.com/watch?v=pxgwMHh0h3s&feature=emb_title

Walaupun begitu, apabila bercakap berkenaan audio permainan, semestinya perkara utama yang kami perlu nyatakan adalah muzik latar permainan ini yang saya boleh katakan ianya agak tipikal. Sekali lagi, apabila bercakap aspek kandungan, ianya agak berulangan dari semasa ke semasa. Akan tetapi ianya tidak bermakna permainan ini mempunyai muzik latar yang terlalu ringkas, cuma ianya agak minima untuk apa yang disampaikan.

Sekali lagi saya ingin tekankan, ini adalah permainan dari studio kecil, jadi kebanyakan masalah tersebut saya tidaklah ingin menjadi terlalu kritikal, tetapi semestinya ianya adalah satu permainan yang mempunyai nilai produksi yang kecil.

Kawalan Permainan

Jadi semestinya perkara paling penting sekali adalah aspek kawalan permainan ini yang mana ianya mempunyai dua bentuk utama iaitu bentuk pengembaraan pertempuran dan juga bentuk simulasi pengurusan.

Jadi perkara pertama yang saya ingin tekankan adalah bentuk simulasi pengurusan yang mana seperti yang saya kongsi di atas, anda akan bermain sebagai seorang pengetua yang mana anda perlu mengurus pelajar anda dari pendaftaran mereka sehinggalah mereka tamat belajar. Namun ianya tidaklah terlalu kompleks seperti yang anda bayangkan.

Ini kerana permainan ini berlangsung dengan automatik untuk proses tersebut di mana pengurusan yang anda akan lakukan lebih kepada mengubah-suai senjata dan aksesori pelajar dan mengurus mereka ke dalam bentuk pasukan sebanyak 4 pelajar. Selanjutnya dari segi kelas mahupun latihan mereka tidak langsung dilakukan oleh anda.

Ini sedikit sebanyak agak pelik pada pendapat saya kerana memandangkan permainan ini memfokuskan bentuk simulasi sekolah, mengapa kebanyakan pengurusan permainan tidak boleh dilakukan oleh saya? Ya betul permainan ini membenarkan anda untuk membina kelas, kafeteria dan tempat latihan. Namun segala pembinaan tersebut adalah berdasarkan tapak-tapak yang tersedia sahaja.

Ini bermakna setiap bangunan ataupun bilik yang dihasilkan oleh pemain, kesemuanya telah pun disediakan berdasarkan tapak yang terdapat di lokasi sekolah pemain. Ini juga membuatkan permainan ini berasa terlalu ringkas dari segi aspek pengurusan.

Saya sebagai penggemar beberapa permainan pengurusan permainan lain, saya berharap saya mempunyai sedikit kebebasan untuk mengubah-suai bukan sahaja dari segi aspek bangunan, kelas mahupun bilik yang tersedia, malah saya juga ingin mengubah dan mengurus keseluruhan sekolah tersebut.

Ianya menjadi semakin membosankan apabila mentor ataupun cikgu yang ada temui setelah permainan ini berlangsung tidak langsung boleh diuruskan oleh anda. Malah segala wang yang anda terima, hanyalah terhad untuk barangan yang anda boleh beli di pedagang yang mengembara ataupun membina bangunan yang terhad.

Ketika sesi pengurusan permainan, anda juga boleh klik di kelas-kelas ataupun objek yang akan memaparkan beberapa penceritaan ataupun adegan mini, namun ianya menjadi bosan atas sebab ia sering berulangan dan pilihan yang anda lakukan tidak langsung membawa kesan besar.

Dari segi aspek pengurusan lain, anda juga boleh menghasilkan senjata baharu di kedai besi yang tersedia dengan menggunakan barangan yang anda kutip ketika mengembara, yang akan saya terangkan lebih lanjut di bawah. Namun dari segi penghasilan barang, ianya sangat ringkas dan barangan tambahan yang anda boleh letak adalah sangat minima.

Untuk aspek pengurusan pelajar, seperti yang terangkan di atas, keseluruhan permainan ini lebih memfokuskan anda untuk mengurus kelengkapan dan aksesori mereka bersama-sama dengan mengurus pasukan untuk mereka mengembara bersama. Selebihnya, anda masih lagi boleh mengubah kelas watak ataupun kemahiran mereka, namun sekali lagi aspek tersebut sangat ringkas dan memandangkan ianya hanya mempunyai 3 peringkat kelas watak dengan sejumlah 10 jenis kelas watak, ianya tidaklah terlalu mendalam.

Ketika pengurusan, permainan ini juga menggunakan garis masa mengikut tahun yang terbahagi kepada 6 bulan untuk 1 semester dengan sejumlah 4 minggu untuk 1 bulan. Ianya tidaklah berjalan secara nyata malah saya sendiri melengkapkan tahun pertama dengan beberapa jam sesi permainan sahaja.

Namun untuk 1 semester, anda diwajibkan untuk menamatkan sekurang 1 pelajar di mana mereka perlu menjadi graduan supaya anda akan mendapat sokongan kerajaan kerabat diraja, atas sebab mengeluarkan pendekar dari sekolah. Namun aspek ini pada pendapat saya agak menyusahkan kerana jumlah graduan yang anda tamatkan, tidaklah memberi kesan utama buat keseluruhan permainan yang mana penat lelah anda mengajar permainan tersebut akan terus hilang apabila beliau tamat belajar.

Melalui sistem tersebut, setiap kali pelajar tamat, anda akan dapat nilai pengalaman sekolah, yang mana lagi banyak nilai pengalaman tersebut, lagi banyak jenis bangunan dan keluasan sekolah yang anda boleh tambahkan.

Walaupun permainan ini cuba untuk tidak membuat segala usaha anda rugi dengan membuat seolah pelajar baru yang datang akan mempunyai peringkat yang lebih tinggi kerana mereka mungkin adalah keluarga graduan tersebut, ianya tidak langsung membuatkan saya berasa berbaloi setiap kali saya perlu menamatkan pelajar tersebut.

Malah ketika saya berjaya dapatkan kelas watak peringkat ketiga dengan kemahiran tertinggi buat watak tersebut, saya teruskan tinggalkan pelajar tersebut dan tidak menamatkan pelajarannya atas sebab saya sudah pun menaik-tarafkan watak tersebut dan untuk melepaskannya berasa sangat rugi memandangkan jika tidak, saya perlu melatih pelajar baharu berulang kali untuk dapatkan peringkat yang sama.

Jadi tamatnya aspek pengurusan, mari kita ke bentuk pengembaraan pertempuran permainan ini yang mana pada pendapat saya sendiri adalah satu bentuk yang sangat menyusahkan dan tidak masuk akal.

Valthirian Arc: Hero School Story ini menyediakan fungsi yang mana anda boleh hantar pelajar-pelajar anda untuk melakukan misi di mana ianya mempunyai dua jenis misi utama iaitu misi tugas, yang mana ianya akan dilengkapkan secara automatik apabila anda tugaskan sepasukan pelajar. Manakala misi kedua pula memfokuskan anda sendiri untuk mengawal pelajar dan mengembara dengan bertembung dengan musuh, menyelesaikan tekaria ringkas dan sebagai.

Pada pendapat saya, ini adalah satu bentuk yang ditambah di dalam permainan ini, hanya sekadar untuk mengembangkan aspek keseluruhan permainan ini. Memandangkan anda adalah pengetua, ianya berasa agak tidak masuk akal untuk mengawal pelajar anda dan pergi mengembara. Bahkan, segala kawalan tersebut dikawal oleh anda sendiri dengan menggunakan watak-watak pelajar anda.

Ianya bukan sahaja membuang masa dan segala misi yang dimainkan sangat berulangan dengan beberapa aspek tekaria yang ringkas sahaja seperti pijak satu platform untuk membuka pintu ataupun terus bertempur dengan ketua musuh berulang kali.

Dari segi aspek pertempuran, ia tidaklah mempunyai kawalan yang kompleks. Dengan butang petak, saya boleh mengawal gaya pertempuran pasukan saya sama ada fokuskan serangan, pertahanan ataupun kepantasan. Saya kemudian boleh menukar terus watak-watak dengan menekan D-Pad ataupun L dan R. Dari segi kemahiran, selain dari serangan biasa, saya juga dilengkapkan kemahiran tambahan, mengikut kelas seperti kemahiran untuk tingkatkan pertahanan untuk kelas Knight, ataupun kemahiran untuk menyembuhkan watak lain buat kelas Medica.

Pemain kemudian akan mengembara di satu lokasi kecil ini yang dihasilkan secara rawak dan boleh saya katakan adalah sangat bosan. Bukan sahaja rekaan peringkat lokasi tersebut ringkas, malah terdapat beberapa pepijat yang akan membuatkan watak saya tersekat. Memandangkan permainan ini tidak mempunyai elemen RPG seperti barangan untuk menyembuhkan watak, jika pasukan anda tidak mempunyai kelas watak Medica, anda hanya perlu duduk berdiam beberapa minit untuk membiar watak tersebut sembuh secara sendiri.

Pada pendapat saya bentuk ini apa yang membuatkan permainan ini sangat membosankan. Dari segi misi yang berulangan sehinggalah anda perlu sentiasa “grinding” untuk terus tingkatkan statistik pelajar anda, ianya berasa permainan ini dihasilkan dengan begitu lewa sekali.

Tidak termasuklah paparan antara muka pemilihan misi yang tidak langsung membahagikan misi tugasan ataupun misi pengembaraan, yang mana sekali lagi membuatkan saya sangat menjengkelkan akan permainan ini.

Tambahan itu, ketika mengembara, untuk periksa barangan ataupun membuka suis, anda perlu menekan butang pangkah. Namun untuk butang teruskan adalah butang bulat. Ianya bukan sahaja memeningkan, malah ia membuat saya seringkali membatalkan tindakan saya atas sebab ia sering menukarkan butang antara dua ini ketika saya ingin melalui portal untuk tamatkan misi permainan.

Ya betul, ini adalah permainan yang dihasilkan oleh studio pembangun kecil, namun saya berasa Agate sendiri perlu lagi mengemaskini permainan ini supaya ia lebih mesra pemain dan pada masa yang sama mempunyai kandungan dan bentuk yang lebih mendalam, agar ianya tidak berasa terlalu kosong dan membosankan.

Kesimpulan

Apa yang saya boleh akhiri ulasan ini adalah permainan ini semestinya mempunyai satu konsep yang unik dengan beberapa rekaan yang menarik dari segi bentuk permainan dan juga kandungan. Walaupun begitu, dukacitanya kebanyakan konsep tersebut agak mengecewakan dan seperti yang saya nyatakan di atas, ianya agak terlalu ringkas jika ingin dibandingkan dengan permainan simulasi pengurusan lain.

Tambahan itu bentuk berulangan ataupun “grinding” yang disertakan agak mengecewakan dan tidak mempunyai ganjaran yang berbaloi memandangkan anda perlu sentiasa melepaskan pelajar dengan sistem graduan tersebut, sekaligus membuat segala penat lelah pemain rasa terlalu berulangan.

Akan tetapi, saya masih lagi berasa permainan ini lebih sesuai untuk platform permua di peranti telefon pintar atas sebab pengurusannya yang ringkas dan untuk bermainnya di konsol PlayStation 4, ianya berasa agak kurang sesuai.

Walaupun begitu, saya masih lagi hargai dengan kandungan bentuk permainan yang disediakan termasuklah rekaan visual yang sangat comel dengan bentuk penceritaan seakan visual novel yang saya boleh katakan adalah memadai dengan harga permainan ini.

Penafian: Permainan edisi buku besi Valthirian Arc: Hero School Story disediakan oleh SCRYSoft.

Leave a Reply