Sabotage Studio minggu ini mengumumkan permainan seterusnya oleh mereka di mana ianya lebih memfokuskan bentuk permainan pertempuran secara turutan dengan elemen JRPG klasik, iaitu Sea Of Stars.
Menurut Sabotage Studio, permainan ini adalah prekuel kepada The Messenger dan mereka merancang untuk melancarkannya di konsol dan PC sekitar 2022 ini.
Pada masa yang sama, mereka juga melancarkan kempen biayasama permainan ini melalui Kickstarter, di mana ketika artikel ini ditulis, ianya telah pun mengutip lebih dari $200,000 dan masih lagi mempunyai tempoh masa 25 hari lagi sebelum kempen tersebut tamat.
Sea Of Stars merupakan permainan pertempuran secara turutan yang diinspirasikan berdasarkan permainan klasik JRPG dengan visual grafik pixel. Dengan bentuk pertempuran dinamik, penceritaan naratif yang mendalam dan penerokaan yang luas, permainan ini akan memfokuskan dua watak Valere dan Zale di mana mereka berlatih untuk menjadi pendekar Solstice untuk mempertahankan dunia daripada penjahat Fleshmancer.
Semestinya berdasarkan video acah di atas, permainan ini kelihatan sangat menarik dan mengingatkan kami akan permainan klasik Chrono Trigger, yang mana salah satu permainan klasik JRPG kesukaan saya sendiri. Tambahan itu dengan memfokuskan penceritaan sebelum permainan The Messenger, buat mereka diluar sana yang mengikuti siri tersebut pasti akan berminat dengan permainan ini.
Bagi anda yang ingin membantu pembangun Sabotage Studio untuk melancarkan permainan ini, anda boleh ke laman kempen Kickstarter untuk dan memilih peringkat dana yang ingin anda sokong.
Dari segi pelancaran, ianya buat masa ini dijadualkan untuk tiba 2022 di konsol dan juga PC melalui Steam.