Walaupun kejayaan jualan permainan Animal Crossing: New Horizons adalah tinggi seperti yang dilaporkan oleh kami baru-baru ini, masalah wabak koronavirus(Covid-19) yang semakin tular ini semestinya memberi kesan terhadap pembangunan permainan tersebut.
Seperti pembangunan DLC buat permainan Super Smash Bros. Ultimate yang kami laporkan sebelum ini, kemaskini pasca-pelancaran buat permainan Animal Crossing: New Horizons mungkin akan terjejas akibat wabak tersebut.
Melalui temu bual Washington Post melalui laporan Go Nintendo, pengarah permainan tersebut iaitu Aya Kyogoku menyatakan yang mana buat masa ini, pembangunan kandungan pasca-pelancaran masih lagi diteruskan. Namun, ianya mungkin terjejas jika wabak ini menjadi semakin teruk di mana mereka juga menyatakan mereka perlu lebih fleksibel jika mereka ingin membuat sebarang perubahan. Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan mereka perlu mengambil berat terhadap kesihatan dan keselamatan pembangun.
Semestinya perkara ini tidak dapat dielakkan dan keselamatan kesihatan pembangun adalah satu keutamaan buat syarikat tersebut. Meskipun begitu, dengan jualan yang tinggi buat permainan tersebut dicampur dengan pelbagai kandungan yang dijanjikan akan tiba, semestinya ianya akan menjadi semakin sukar kelak.
Bagi anda yang bermain permainan ini sekarang, anda tidak perlu khuatir di mana kami percaya kandungan sedia ada masih lagi dapat memuaskan sesi permainan anda sepanjang bulan ini dan jika terdapat sebarang kemaskini berkenaan kandungan permainan ini, kami pasti akan mengemaskini informasi lanjut berkenaannya.