Nexon hari ini mengumumkan yang penerbitan bagi permainan mudah alih SinoAlice akan ditukar kepada pembangun permainan tersebut iaitu Pokelabo. Oleh kerana itu sebarang proses pra-daftar akan diselia oleh Pokelabo.
Nexon sebelum ini telah melalui proses penstrukturan semula syarikat dan beberapa projek sudah dibatalkan, termasuk juga MapleStory 2, dan kini SinoAlice telah diberikan kepada pembangun. Walaupun tidak menyatakan sebab yang khusus, Nexon mengatakan yang Pokelabo lebih berpengetahuan mengenai permainan ini.
Menurut Pokelabo, pra-daftar untuk SinoAlice versi global akan terus dibuka sehingga permainan tersebut dilancarkan iaitu dijangka pada 1 Julai 2020. Setiap pemain yang pra-daftar akan mendapat pelbagai ganjaran bergantung kepada jumlah pemain yang melakukannya.

Permainan ini sudah dikeluarkan di Jepun pada tahun lepas dan ia merupakan permainan mudah alih yang diselia oleh Yoko Taro. Untuk maklumat lanjut dan pra-daftar anda boleh layari laman rasmi baharu untuk permainan ini.