Kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia. Ini adalah kerana ingin mengawal wabak koronavirus yang sedang menular. Rakyat Malaysia diperintahkan untuk bekerja di rumah, menjaga jarak antara satu sama lain dan tidak dibenarkan berkumpul. Ada juga syarikat yang memberi cuti terus dan disebabkan tidak boleh makan angin dan perlu berkurung, apa yang boleh anda lakukan.
Sudah tentu kami di Aksiz akan banyak habiskan masa bermain permainan di PS4, Nintendo Switch atau juga PC. Tetapi kalau anda seperti saya, kurang minat untuk bermain permainan video – maratonton siri TV di Netflix adalah perkara terbaik yang boleh anda lakukan. Terdapat ribuan siri TV di Netflix yang boleh anda layan. Jika anda tidak tahu ingin tonton siri TV yang mana, dalam artikel ini kami senaraikan beberapa siri TV yang menarik!
Kingdom
Kingdom adalah siri TV mengisahkan kerajaan lama dan zombi. Akan tetapi, ia bukan seperti yang anda sangkakan. Ia amat berbeza dan tidak klise seperti kebanyakan siri TV zombie lain. Ia menggabungkan masalah politik di zaman Joseon di Korea dan setiap di antara isu zombi dan politik ini berkait rapat. Akan berlakunya konspirasi seperti seorang putera dituduh mengkhianat raja, menteri-menteri bermasalah dan banyak lagi. Setiap aksi dalam siri TV adalah gempak, CGI yang menarik dan jalan ceritanya pasti buatkan anda gembira dan puas. Siri TV ini sudah pun ada dua musim dan usah risau, ia tidak tergantung dan anda akan rasa lega dan tidak ternanti-nantikan musim ketiga.
Tonton: Kingdom Di Netflix
Stranger Things
Ia adalah satu siri TV mengisahkan sekumpulan kanak-kanak di bandar Hawkins, Indiana. Siri TV bertempat pada tahun 1980-an dan Makmal Kebangsaan Hawkins di bandar ini eksperimentasi dengan benda-benda ghaib dan paranomal. Disebabkan eksperimen ini, mereka telah membuka satu portal ke dunia asing yang digelar the Upside Down. Mike, Will, Dustin, Lucas kemudian berkenalan dengan Eleven, iaitu seorang gadis yang telah diuji untuk memiliki kuasa ghaib. Mereka berlima kemudian menjadi kawan baik dan telah menyelamatkan bandar Hawkins daripada raksasa Demogorgon. Siri TV ini sudah mempunyai tiga musim dan musim keempat akan disiarkan tidak lama lagi.
Tonton: Stranger Things Di Netflix
When They See Us
Ia adalah siri TV yang diadaptasi dari kisah benar yang berlaku di Amerika Syarikat. Ia mengisahkan sekumpulan remaja berkulit gelap yang dituduh oleh pihak berkuasa telah merogol seorang wanita. Ia berlaku pada tahun 1989, di mana mereka mula disoal siasat dan dibebaskan pada tahun 2002 dan akhirnya pada tahun 2014 menerima peruntukan dari kerajaan. Siri TV ini akan memperlihatkan sifat perkauman berbeza antara satu sama lain dan ketidakadilan yang dilakukan kepada sekumpulan remaja ini. Siri TV ini akan menceritakan kisah sepanjang 25 tahun Antron McCray, Kevin Richardson, Yusef Salaam, Raymond Santana dan Korey Wise bagaimana mereka mendapat keadilan yang dinantikan sejak tahun 1989 lagi.
Tonton: When They See Us Di Netflix
The End Of F World
Mengisahkan dua orang remaja yang inginkan pengembaraan bagi mengubah hidup mereka. Mereka berdua adalah seakan manusia yang pelik dan tiada perasaan. Personaliti mereka adalah personaliti remaja yang selalu dibuli di sekolah. Tetapi, jauh di dalam hati mereka tersembunyi pelbagai perasaan seperti manusia biasa. Terdapat dua musim, musim pertama memfokuskan bagaimana mereka bertemu dengan seorang yang jahat dan dituduh menjadi pembunuh. Musim kedua pula akan memfokuskan bagaimana kehidupan selepas dituduh menjadi pembunuh dan dikejar oleh seorang yang berkait rapat dengan penjahat dari musim pertama.
Tonton: The End Of F World Di Netflix
How To Sell Drug Online
Seperti judul siri TV ini, ya! Ia mengisahkan dua orang sahabat yang cuba menjual dadah secara atas talian. Kehebatan mereka menggunakan web gelap (dark web) untuk membina satu platform e-dagang menjual dadah sahaja. Namun kemudian, terlibat dengan tauke dadah yang benar-benar jahat dan mereka pula telah disyaki oleh pihak berkuasa. Bagaimana dua orang sahabat ini membebaskan diri dari pihak berkuasa dan bagaimana pula mereka boleh menjadiakn keadaan seakan mereka tidak bersalah langsung. Ia adalah siri TV komedi yang lain daripada yang lain.
Tonton: How To Sell Drug Online Di Netflix
Money Heist
Setiap penjahat/perompak/pencuri/ atau mereka yang ada kebolehan yang unik telah direkrut oleh seorang yang bergelar The Professor. Siri TV ini mengisahkan kumpulan yang baru ditubuhkan ini merompak bank dalam gaya yang tiada siapa boleh fikirkan. Ia dirancang dengan baik dan terperinci sehingga mereka boleh bebaskan diri dari pihak berkuasa. Siri TV ini telah berkembang sehingga tiga musim, yang mana mereka telah ditemui oleh pihak berkuasa dan memulakan rompakan baru. Musim ketiga tergantung dan ramai yang nantikan musim keempat yang akan disiarkan tidak lama lagi, iaitu awal April ini. Jika anda minta rompakan, saat mendebarkan dan siri jenayah – ini adalah yang terbaik.
Tonton: Money Heist Di Netflix
Living With Yourself
Jika anda sangkakan filem klon seperti Gemini Man itu hebat, anda silap. Kerana di Netflix ada sebuah filem klon yang lain daripada yang lain dan memang seronok untuk dimaratonton, Living With Yourself. Watak utama dalam filem ini adalah Paul Rudd. Hidup beliau boleh dikatakan murung dan sudah tidak sehebat di zaman muda beliau. Mudah cerita, hidup beliau hambar. Sehinggalah satu hari, rakan sekerja beliau cadangkan untuk satu terapi atau spa yang amat mahal dan akan mengubah hidup beliau. Tetapi siapa sangka, beliau telah di-klonkan dan diri asal beliau yang sepatutnya mati tidak dan terpaksa hidup bersama-sama dengan klon tadi.
Tonton: Living With Yourself Di Netflix
Altered Carbon
Ini adalah siri TV kegemaran saya sendiri. Awal tonton memang bosan. Namun, episod demi episod semakin mendebarkan dan semakin menanti-nantikan apa yang akan terjadi. Altered Carbon adalah siri TV yang berlaku di masa depan. Di masa depan ini, manusia tidak lagi boleh mati kerana minda atau kesedaran boleh dipindahkan dalam satu memori yang digelar stack. Satu badan mati, asalkan stack masih baik – seseorang boleh pindah ke badan yang lain. Siri TV ini penuh dengan konspirasi politik, aksi, pembunuhan dan pelbagai misteri. Musim pertama mengisahkan hubungan Takeshi Kovacs dan adik beliau. Musim kedua memfokuskan pencarian kekasih lama beliau Quellcrist Falconer.
Tonton: Altered Carbon Di Netflix
Prison Break
Satu pembohongan besar jika anda tidak pernah dengan akan siri TV Prison Break. Siri TV ini mula disiarkan pada tahun 2005, iaitu zaman saya masih bersekolah lagi. Ia adalah siri TV mengisahkan seorang adik yang ingin membebaskan abangnya dari dihukum mati. Menariknya, individu ini adalah seorang jurutera yang turut membantu membangunkan penjara yang memenjarakan abang beliau. Jadi, beliau dengan berhati-hati merancang sesuatu dengan masukkan diri beliau ke penjara ini untuk membebaskan abang beliau. Siri TV ini telah berkembang sehingga lima musim. Dari adik selamatkan abang ke abang selamatkan adik. Ada kumpulan dan keluarga dan banyak konspirasi juga.
Tonton: Prison Break Di Netflix
Limitless
Pasti anda pernah tonton filem Limitless bukan? Lakonan Bradley Cooper yang memakan satu pil dan telah menyah-kunci kebolehan manusia berfikir dari biasa menjadi luar biasa. Limitless turut diadaptasi semula menjadi siri TV. Menariknya siri TV ini sedikit berkait dengan filem, yang mana siri TV ini berlaku empat tahun selepas agenda yang berlaku dalam filem. Ia adalah siri sampingan yang akan memberi pelbagai klu dari filem asal. Dalam siri TV ini Brian Finch, individu yang mengambil pil ini – membantu FBI menyelesaikan pelbagai kes jenayah. Tetapi, pil ini sebenarnya ada kesan sampingan yang dahsyat dan membuat Brian sakit. Sediki perkara yang mengecewakan adalah siri ini dibatalkan sebelum mempunyai penceritaan yang penuh.
Tonton: Limitless Di Netflix
Hi Bye, Mama!
Sudah banyak siri TV Inggeris saya kongsi. Tahukah anda di Netflix juga terdapat banyak K-Drama menarik? Hi Bye, Mama! adalah dalam senarai ingin tonton saya sekarang. Ia adalah drama kekeluargaan. Seorang ibu yang telah meninggal dunia, diberi peluang kedua dalam bentuk hantu selama 49 hari untuk bersama keluarga. Namun, beliau telah muncul untuk berhadapan dengan bekas suami yang telah berkahwin lain dan juga anak beliau. Ia adalah drama komedi yang pasti akan menggelikan hati anda. K-Drama berunsurkan hantu dan roh sudah bertahun tidak dihasilkan, mana tahu tahun 2020 drama seperti ini masih menarik minat hati anda.
Tonton: Hi Bye, Mama! Di Netflix
Memories of the Alhambra
Sebuah lagi drama Korea yang menarik. Jika anda ikuti Aksiz kerana permainan video dan Amanz kerana teknologi. K-Drama ini adalah yang terbaik untuk ditonton. Ia mengisahkan sebuah syarikat yang membangunkan kanta sentuh yang mempunyai sistem gaming realiti terimbuh yang amat dahsyat. Perkara yang berlaku dalam permainan ini akan berlaku di dunia. Misal kata jika seseorang itu mati dalam permainan turut akan mati di dunia. Disebalik pembangunan kanta sentuh ini ada misteri terhadap pembangunnya. Seorang remaja bijak pandai yang telah menyertakan klu-klu dalam permainan berkait dengan dunia.
Tonton: Memories of the Alhambra Di Netflix
Uncontrollably Fond
Ini adalah K-Drama kisah cinta yang menyentuh jiwa. Jika anda seorang yang jiwang dan mudah mengalirkan air mata kerana babak/adegan sedih, ini adalah drama untuk anda hayati. Ia adalah kisah pasangan yang berkenalan di zaman sekolah dan telah berpisah. Pada usia yang dewasa mereka bertemu kembali dengan masing-masing ada kerjaya dan hidup tersendiri. Masing-masing ada masalah keluarga yang menyentuh hati dan lama-kelamaan mereka kembali bercinta. Drama ini turut mempunyai OST yang enak didengari. Lakonan hebat Kim Wo Bin dan Bae Suzy pasti akan membuatkan hati anda teruja.
Tonton: Uncontrollably Fond Di Netflix
Doctors
Sebuah lagi K-Drama cinta yang menyentuh hati. Tetapi mempunyai tema berbeza dengan yang tadi. Tema K-Drama ini menggunakan tema doktor yang menarik dan unik. Lakonan Park Shin Hye sebagai Yoo Hye-Jung dan Kim Rae Won sebagai Hong Ji Hong adalah satu gandingan yang tidak akan anda sangkakan. Yoo mempunyai perwatakan yang gangster dan ganas dan mempunyai masa silam yang menyakitkan. Hong pula adalah individu yang telah mengubah hidup Yoo dan mereka telah berpisah. Hanya selepas 13 tahun selepas Yoo menjadi doktor mereka bertemu kembali.
Tonton: Doctors Di Netflix
Santa Clarita Diet
Jika awal artikel adalah kisah zombi di zaman Joseom Korea. Ini pula adalah siri TV zombi yang berlaku di Santa Clarita, California. Seorang isteri dalam satu keluarga telah berubah menjadi zombi. Jadi zombi ini pula hanya boleh memakan daging manusia. Dalam keluarga ini, hanya si suami sahaja tahu rahsia si Isteri. Jadi mereka telah bercadang untuk membunuh orang yang jahat bagi menjadikan mereka sebagai juadah. Siri TV ini adalah siri komedi yang menarik dan mempunyai jalan cerita yang memuaskan.
Tonton: Santra Clarira Diet Di Netflix
Jadi, itulah cadangan-cadangan kami untuk siri-siri TV yang boleh anda layan ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini. Kami juga di Aksiz bekerja dari rumah sahaja. Apa-apa pun, jada kesihatan anda, duduk di rumah , kerap basuh tangan dan tolonglah-tolong, jangan keluar rumah untuk berjumpa dengan orang lain. Di dunia tekonologi ini semuanya boleh dibuat dari rumah. Panggilan video, chat di pelbagai laman media sosial dan banyak lagi.
Selamat menikmati dua minggu perintah kawalan pergerakan ini, harap anda setuju dengan cadangan siri TV kami ini. Jika ada cadangan lain, letakkan sahaja di ruangan komen.