AFK Arena merupakan permainan mudah alih “gacha” yang menjadikan anda boleh maju di dalam permainan tanpa membukanya, sehinggakan judul permainan ini sendiri “AFK” merupakan singkatan kepada “away from keyboard”, walaupun secara teknikal ia tidak berkait, kerana ia adalah permainan mudah alih, tetapi anda mesti faham apa yang cuba disampaikan melalui judul tersebut.

Secara jujur-nya, pertama kali saya ternampak permainan ini di dalam App Store, saya tertawa sendiri, kerana aneh untuk permainan meletakkan “AFK” sebagai judul, tetapi di dalam tawa tersebut, saya menekan butang “Get”, hampir sebulan kemudian, ia merupakan jika tidak yang pertama, aplikasi yang kedua yang paling kerap dibuka dengan purata masa 8 jam/seminggu.

Kebiasaan sesuatu permainan mudah alih, kebiasaan saya akan bermain selama seminggu dua, sebelum beralih kepada permainan lain kerana bosan, jadi apa yang “istimewa” dengan AFK Arena?

AFK

Di dalam permainan ini, tujuan utama, sepertimana, permainan yang berkongsi genre sama, adalah mengumpul watak, meningkatkan tahap dan membentuk pasukan untuk mengharungi segala kempen, cabaran di dalam permainan ini. Saya akan terangkan lanjut mengenai perkara ini kemudian, dan ingin terlebih dahulu menerangkan adakah ia benar-benar permainan AFK?

Secara teorinya adalah benar, walaupun anda tidak membuka aplikasi, akan tetapi ia mempunyai sesuatu yang digelar sebagai AFK Rewards. Melaluinya, pemain boleh memperoleh sejumlah barangan yang perlu digunakan di dalam permainan untuk meningkatkan tahap watak dan juga profil anda. Ia juga mengandungi pelbagai mata wang di dalam permainan. Selain itu, pemain juga memperoleh pelbagai aksesori untuk digunakan oleh watak-watak anda.

AFK Award ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa, tetapi dihadkan kepada 12 jam (AFK Timer), iaitu selepas 12 jam, AFK Award tidak akan bertambah, sehinggalah anda mengutipnya. Jadi, ya benar, menggunakan barang-barang yang diperoleh melalui AFK Rewards ini boleh menolong untuk anda maju, tetapi sudah semestinya ia bukanlah segalanya dan masih perlu meluangkan masa untuk melakukan segala aktiviti untuk maju dengan lebih cepat.

Namun, secara teorinya, jika anda malas, anda boleh lagi maju dengan menggunakan barangan percuma, walaupun ia akan mengambil masa yang sangat lama.

Heroes

Seperti mana permainan gacha, AFK Arena juga membawa konsep mengumpul “heroes” iaitu watak-watak yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti di dalam permainan ini. Secara keseluruhan terdapat 75 heroes berbeza yang boleh dikumpul, sebenarnya adalah 69 kerana 8 lagi adalah sekadar “common” yang tidak boleh diguna selain untuk menjadi bahan bagi meningkatkan tahap hero-hero lain.

Selain “common”, terdapat juga 2 “tier” lain untuk hero iaitu Ascended Tier Heroes dan Legendary Tier Heroes. Perbezaan antara dua tier ini adalah, “ascended level” untuk setiap hero tersebut boleh dipertingkatkan. Di mana di dalam permainan ini terdapat 8 “ascended level” yang berbeza untuk hero iaitu Rare, Rare+, Elite, Elite+, Legendary, Legendary+, Mythic, Mythic+ dan Ascended.

Setiap satunya menentukan tahap untuk watak tersebut dipertingkatkan, contohnya watak Elite dapat dipertingkatkan tahap kepada tahap 100 sahaja, manakala Legendary+ mencecah tahap 160. Berbalik kepada perbezaan antara Legendary Tier dan Ascended Tier adalah, hero di bawah Legendary Tier hanya boleh mencapai ascended level Legendary+ sahaja.

Cara untuk meningkatkan tahap adalah dengan menggunakan Temple of Ascension, di mana pemain akan “menggabungkan” hero yang ingin dipertingkatkan tahap dengan kad-kad lain. Setiap peningkatan mempunyai formula tersendiri contohnya daripada Elite kepada Elite+, pemain mesti menggabungkan dua kad Elite hero yang sama.

Jadi elemen gacha utama permainan ini adalah bukan mengumpul koleksi hero dengan sepenuhnya, sebaliknya mencari hero yang mencukupi untuk terus meningkatkan tahap hero yang sedia ada. Mencari hero yang sama ataupun mencari hero yang tepat untuk meningkatkan tahap akan mengambil masa yang lama, terutama jika anda bermain seperti saya tanpa berbelanja dan sepenuhnya F2P.

Walaupun begitu, di dalam permainan ini terdapat pelbagai sistem yang disertakan yang membuatkan ia tidak sangat mendesak untuk saya berbelanja. Sistem pertama adalah Resonating Crystal. Melalui sistem ini, saya hanya perlu meningkatkan tahap untuk 5 hero sahaja, kemudian hero yang saya sertakan di dalam slot untuk Resonating Crystal ini akan menyamai tahap ke-5 tertinggi untuk hero anda.

Contohnya, saya mempunyai 2 hero tahap 140, 1 hero tahap 133 dan 2 hero tahap 120, hero yang saya sertakan di dalam Resonating Crystal ini akan menjadi tahap 120 secara automatik, apabila saya meningkatkan tahap untuk 2 hero yang tahap 120 kepada tahap 130, ia juga akan menjadi tahap 130.

Adanya sistem ini, saya tidak perlu risau untuk menggunakan bahan-bahan meningkatkan tahap, ataupun mengambil masa yang lama untuk meningkatkan tahap bagi hero yang baru didapati. Ia juga membuatkan anda tidak perlu risau sangat hero mana yang ingin dipertingkatkan tahap, kerana mana-mana hero lain boleh menjadi tahap yang sama.

Sistem kedua adalah Rickery Card, di dalamnya terdapat tiga fungsi iaitu Revert Heroes, Retire Heroes dan Reset Hero. Namun, apa yang saya ingin fokus adalah Reset Hero. Menggunakan fungsi ini, pemain boleh mendapatkan segala bahan yang digunakan dengan kos 20 Diamonds sahaja.

Jika anda meningkatkan tahap untuk satu hero ini, akan tetapi contohnya hero tersebut tidak mempunyai Ascended Level yang mencukupi untuk ditingkatkan lagi, dan anda hero lain yang boleh, anda hanya perlu Reset Hero, dan gunakan bahan yang diperoleh kembali kepada hero yang baharu.

Fungsi ini bersama dengan fungsi Resonating Crystal menjadikan peningkatan tahap ini lebih mudah dan tidak terlalu membuatkan anda takut untuk mengingatkan tahap dengan cepat, kerana takut ia bukan di hero yang hebat.

Adanya dua fungsi ini menjadikan permainan sepenuhnya memfokuskan kepada pemain untuk mendapatkan kad yang sama berulang kali agar dapat meningkatkan Ascended Level hingga yang tertinggi. Ia adalah sukar, tambahan lagi jika anda bermain secara F2P, tetapi sekurang-kurangnya itu sahajalah yang anda perlu fikirkan ataupun berbelanja jika ingin, sekurang-kurangnya pada waktu awal permainan.

Arena

Jadi anda sudah mengumpul hero yang ada dan meningkatkan tahap secukupnya, apa yang boleh dilakukan? Perkara seterusnya yang membuatkan saya masih bermain permainan ini untuk sekian lama adalah ia tidak memerlukan masa yang lama untuk dimainkan setiap hari, kecuali untuk anda yang inginkannya ataupun sudah di peringkat “permainan akhir”

Setiap hari apa yang saya lakukan adalah menyelesaikan Daily Quest, dan ia menyertakan aktiviti yang sama dan boleh diselesaikan dengan cepat, walaupun anda tidak mempunyai tahap yang mencukupi. Oleh kerana itu, apa yang saya lakukan dengan permainan ini adalah semasa hari bekerja, saya akan buka setiap hari, pertama untuk mengutip AFK Rewards, dan menyelesaikan Daily Quest dan Weekly Quest daripada semasa ke semasa. Pada hujung minggu, ataupun hari cuti, kebiasaannya sehari sahaja saya akan meningkatkan tahap, dan melakukan aktiviti lain, ia sudah cukup bagi permainan ini. Oleh kerana itu, ia masih permainan yang saya bukan setiap hari, walaupun tidak sangat aktif, anda tidak terasa terlalu jauh ketinggalan ataupun terasa yang kemajuan terlalu perlahan.

Permainan ini banyak menyertakan perkara yang boleh dilakukan menggunakan hero yang anda ada. Perkara utama adalah kempen, ia lebih kurang mod penceritaan untuk permainan lain tetapi AFK Arena hanya menyertakan penceritaan yang ringkas dan tidak perlu sangat diketahui.

Melalui kempen terdapat 34 kawasan di dalam peta dunia dan setiap satunya mempunyai sejumlah peringkat yang perlu diselesaikan sebelum dapat ke kawasan baharu. Menariknya, sesuatu yang berbeza dengan kebanyakan permainan lain, selepas menyelesaikan satu peringkat, dan juga satu kawasan, anda tidak lagi boleh kembali dan bermain.

Ini adalah kerana, menyelesaikan peringkat dan kawasan ini akan memberikan ganjaran sekali sahaja, ia tidak mempunyai ganjaran yang berterusan untuk anda “grind” dan saya suka dengan cara ini, kerana ia juga membuang keperluan untuk menggunakan sistem “tenaga”.

Selain kempen terdapat juga bahagian Dark Forest yang menyertakan banyak mod permainan lain seperti Voyage of Wonder, Peaks of Time, King’s Tower, Arcane Labyrinth, Arena of Heroes dan Bounty Board. Ia boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, dan hanya beberapa mod sahaja yang terhad pada masa tertentu.

Namun, saya boleh katakan, setiap hari ada sahaja perkara yang boleh dilakukan, jika anda ingin. Segala perkara ini juga membantu untuk memberi anda lebih banyak ganjaran, sehinggakan anda tidak sangat perlu untuk membeli menggunakan wang ringgit.

Kempen dan juga kebanyakan daripada mod di dalam Dark Forest akan memerlukan adan bertempur dengan maksimum 5 lawan, anda juga boleh membina pasukan seramai 5 hero. Setiap hero mempunyai kelebihan dan kekurangan tertentu, jadi membentuk pasukan yang sempurna untuk satu sama lain adalah penting.

Pertempuran adalah masa nyata, di mana serangan biasa akan menjana tenaga, apabila mencukupi, boleh menggunakan “ultimate skill”. Seperti permainan gacha lain, ia juga boleh bertempur secara automatik, dan saya banyak menggunakannya. Jika anda tidak bermain secara automatik, anda hanya boleh memilih untuk menggunakan “ultimate skill” secara terus ataupun tidak. Jika automatik, setiap kali tenaga mencukupi, hero tersebut akan terus menggunakannya.

Ia mungkin sistem pertempuran yang ringkas dan tidak mencabar, kerana selagi anda mempunyai hero yang baik dan tahap yang mencukupi, setiap perlawanan sepatutnya tidak menjadi masalah. Namun, bagi saya yang bermain secara kasual sahaja, ia sudah cukup menarik terutama untuk membina pasukan menggunakan hero-hero yang berbeza.

Permainan Yang Mahal

Seperti yang saya jelaskan di bahagian sebelum ini, berbanding dengan permainan-permainan lain yang saya pernah cuba, saya boleh katakan ia adalah permainan gacha yang paling mesra untuk pemain yang tidak berniat berbelanja.

Walaupun sudah lebih sebulan saya bermain, saya tidak pernah lagi setakat ini berbelanja untuk permainan ini. Sebab utama adalah setiap barangan di dalam permainan ini bagi saya terlalu mahal, dan tidak sangat berbaloi untuk dibeli jika anda ingin bermain secara kasual.

Sebagai contoh, jika anda ingin beli Diamond, di mana 2700 Diamond anda boleh guna untuk mendapatkan 10 hero (secara rawak), anda perlu membayar RM199.90 untuk mendapatkan 3280 Diamond, yang lebih murah iaitu RM129.90 anda akan hanya mendapat 1980 Diamon. Ia adalah harga yang sangat tinggi sedangkan jika anda bermain, seperti yang saya, anda masih boleh mendapatkan 2700 Diamond secara percuma, sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Anda juga boleh membeli langganan bulanan dan permainan ini mempunyai 4 jenis langganan berbeza. Harga langganan adalah paling murah RM19.90 yang akan memberikan anda 3300 Diamond secara berperingkat untuk sebulan, sehinggalah RM104.90 untuk mendapat Premium Pass, walaupun ia memberikan jumlah Diamond yang banyak tetapi ia satu jumlah yang sangat mahal untuk dibayar setiap bulan.

Berdasarkan apa yang saya baca melalui forum-forum yang memfokuskan permainan ini dan permainan gacha lain, mereka mengatakan yang tawaran di dalam AFK Arena adalah berpatutan untuk perkara yang diperoleh, tetapi bagi saya yang bermain secara kasual, walaupun tidak berbelanja, ia sudah cukup untuk menghayati permainan ini setiap hari.

Kesimpulan

Akhir kata, AFK Arena adalah permainan yang sangat menarik, ia menyertakan watak-watak yang walaupun bukan semua berdasarkan daripada mana-mana sumber yang sudah popular. Ia juga menyertakan banyak perkara yang membantu pemain untuk memahami permainan ini dengan lebih mudah, serta tidak terlalu menghukum pemain yang mungkin melakukan kesilapan pada awal bermain.

Pertempuran yang disertakan juga menarik, dengan pelbagai mod yang ada akan mengisi masa permain, tidak kira yang ingin bermain dengan lama ataupun secara kasual sahaja. Dengan harga jualan untuk barangan di dalam permainan ini adalah mahal, bermain secara F2P adalah pilihan yang sudah mencukupi untuk ramai pemain.

Sohor Kini