Kemaskini: XSEED Games hari ini berkongsi tarikh pelancaran bagi rantau Amerika iaitu ia bakal tiba pada 14 Julai 2020 ini. Bagi anda yang mempunyai akaun Nintendo di rantau Amerika, anda akan menerima permainan ini 4 hari lebih lewat.
Artikel Asal : Setelah mengumumkan yang mana permainan Story Of Seasons: Friends Of Mineral Town akan dilancarkan secara global, hari ini Marvelous Games akhirnya mengumumkan tarikh pelancaran permainan tersebut yang mana ia bakal tiba pada 10 Julai 2020.
Seperti yang kami kongsikan, Story of Seasons: Friends Of Mineral Town adalah permainan olahan semula daripada permainan Harvest Moon: Friends Of Mineral Town yang dilancarkan di Game Boy Advance beberapa tahun lepas.
Permainan ini dibangunkan oleh Marvelous, iaitu pembangun asal untuk permainan Harvest Moon sebelum ini. Namun, atas sebab nama “Harvest Moon” dimiliki oleh Natsume, XSEED Games dan Marvelous tidak boleh menggunakan nama tersebut. Namun dari segi nama asal buat pasaran Jepun, ianya masih lagi dikenali sebagai Bokujo Monogatari.
Buat masa ini, Story Of Seasons: Friends Of Mineral Town disahkan akan tiba di konsol Switch sahaja.