5 Perkara Baharu Untuk Hearthstone – Kelas Dan Lebih Mesra F2P

Seperti tahun-tahun yang lepas, menjelang April, permainan kad Blizzard iaitu Hearthstone akan memasuki tahun di dalam permainan baharu. Tahun ini, iaitu Year of the Dragon akan diganti dengan Year of the Phoenix bermula pada 7 April 2020.

Kebiasaan tahun baharu bermakna yang beberapa penambahan akan dibuang (memasuki Wild), dan penambahan baharu akan tiba, namun untuk tahun ini, Blizzard menyertakan pelbagai perubahan yang boleh dikatakan akan menukar keseluruhan permainan ini.

Berikut adalah antara perkara baharu yang akan tiba/berlaku apabila bermulanya tahun baharu ini;

Penambahan Ashes of Outland

Penambahan pertama yang akan menjadi penanda bermulanya tahun Year of the Phoneix adalah Ashes of Outland. Penambahan ini akan mengambil inspirasi daripada penambahan pertama untuk World of Warcraft iaitu The Burning Crusade.

Bersama dengan penambahan ini, mereka memperkenalkan beberapa jenis kad baharu;

  • Legendary Prime: Ia adalah minion Legendary yang bagus untuk digunakan pada awal permainan dan juga pertengahan dengan kata kunci Deathrattle. Apabila ia mati, ataupun mencetus Deathrattle, ia akan memasukkan minion Legendary yang lebih berkuasa ke dalam dek.
  • Imprisoned Demons: Ia adalah kad Demons yang apabila dimainkan, tidak boleh bergerak dan juga tidak boleh diserang untuk 2 pusingan, apabila berakhir 2 pusingan ia akan melakukan sesuatu seperti yang tertulis di kad.

Seperti penambahan-penambahan sebelum ini, ia akan menyertakan 135 kad baharu, dan boleh mula di pra-tempah dengan harga RM348 untuk Mega-Bundle dan RM217 untuk Bundle biasa.

Putaran Kad

Hadirnya penambahan baharu Ashes of Outland, putaran kad juga akan dilakukan seperti biasa, kali ini ia akan membuang tiga penambahan daripada Ranked dan memasuki Wild iaitu The Witchwood, The Boomdsday Project dan Rastakhan’s Rumble.

Tiga penambahan dan satu Adventure yang akan terus kekal adalah Rise of Shadows, Saviors of Uldum, Descent of Draogns dan Galakrond’s Awakening, bersama dengan kad-kad daripada set Classic serta Basic.

Bercakap mengenai Classic, tidak semua kad akan dibawa, berikut adalah kad yang akan dimasukkan ke Hall of Fame; Leeroy Jenkins, Mountain Giant, Mind Control Tech, Acolyte of Pain dan Spellbreaker.

Blizzard juga mengumumkan perubahan besar untuk kelas Priest, di mana ia akan melakukan perubahan untuk beberapa kad bagi kelas tersebut. Anda boleh membaca lanjut mengenainya di laman Blizzard.

Kelas Demon Hunter

Buat pertama kali sejak dilancarkan lebih 6 tahun lepas, Hearthstone bakal menerima satu kelas baharu secara percuma untuk semua pemain iaitu Demon Hunter, hero pertama untuk kelas ini adalah Illidan.

Kelas ini mempunyai keunikan melalui Hero Power yang memerlukan 1 mana sahaja berbanding dengan kelas-kelas lain yang memerlukan 2. Ia akan memberikan +1 Attack yang menjadikan ia bagus untuk mengawal board pada permulaan permainan.

Selain itu, ia juga mempunyai kad dengan kata kunci baharu iaitu Outcast, kad ini akan mempunyai lebihan kuasa apabila dimainkan daripada kedudukan paling kiri atau kanan.

Pemain akan mula boleh mencuba kelas ini pada 2 April melalui kempen pengenalan yang mengandungi misi solo dengan penceritaan iaitu mengenai asal usul untuk Illidan Stormrage. Dengan menghabiskan misi-misi ini, pemain akan mendapat satu dek untuk kelas tersebut secara percuma. Ia akan hadir secara rasmi pada 7 April 2020.

Tiada Duplikasi

Jika tiga perkara baharu yang disertakan di atas tidak cukup menarik bagi anda, mungkin ini akan menggembirakan ramai pemain. Bermula pada 26 Mac, pemain tidak lagi akan mendapat kad duplikasi daripada mana-mana pek yang dibuka.

Ia adalah sistem yang digunakan bagi kad Legendary, di mana pemain tidak akan mendapat kad Legendary yang sudah mereka miliki, namun, kali ini mereka akan melakukan perkara yang sama untuk semua jenis kad Common, Rare dan Epic.

Apabila ia bermula, pemain tidak lagi akan mendapat kad yang sudah dimiliki sehinggalah pemain sudah memiliki kesemua kad bagi jenis-jenis tersebut. Menariknya lagi, jika pemain menerima satu kad yang tidak diinginkan, pemain boleh “dust” dan tidak lagi akan menerima kad tersebut sehinggalah menerima kesemua kad lain di jenis tersebut.

Bagi kami, ini adalah satu perubahan yang akan menjadikan ia lebih mesra untuk pemain yang tidak berbelanja langsung (F2P) ataupun kerap. Ia juga akan memudahkan pemain untuk mengumpul kesemua kad daripada penambahan tertentu.

Sistem Ranked Baharu

Bermulanya tahun baharu, sistem Ranked juga akan berubah di mana Blizzard akan memperkenalkan 5 liga iaitu Bronze, Silver, Gold, Platinum, dan Diamond sebelum memasuki Legend. Setiap liga akan mempunyai 10 tahap iaitu 10 hingga 1.

Setiap bulan, pemain akan bermula di liga Bronze, tahap 10 dan memerlukan 3 bintang untuk ke tahap seterusnya, ia berfungsi seperti biasa iaitu tambah 1 bintang untuk menang dan tolak 1 bintang untuk kalah. Pemain tidak akan jatuh tahap 6 dan ke bawah apabila mencapai tahap 5, pemain juga tidak boleh jatuh liga, contohnya jika sudah memasuki liga Gold, walaupun kalah berturut-turut di tahap 10, pemain tidak akan jatuh ke liga Silver.

Ia mungkin terasa terlalu “grindy” apabila terpaksa bermula di tahap terbawah setiap bulan, akan tetapi pemain akan diberikan Star Bonus bergantung kepada prestasi sebelum ini, contohnya, pemain mungkin menerima Star Bonus 5x, jadi jika pemain menang satu perlawanan, berbanding mendapat 1 bintang, pemain akan mendapat 5 bintang, jika mendapat 2 bintang (kemenangan berturut-turut) pemain akan mendapat 10 bintang. Gandaan akan berkurang 1 setiap kali memasuki liga baharu.

Blizzard juga memperkenalkan sistem ganjaran baharu yang mempunyai ganjaran berlainan untuk tahap 10 dan 5 di setiap liga. Berikut adalah ganjaran yang diberikan;

  • Tahap 5 Liga Bronze: 1 Kad Rare
  • Tahap 10 Liga Silver: 1 Kad Rare + 1 Pek Terbaru
  • Tahap 5 Liga Silver: 3 Kad Rare + 1 Pek Terbaru
  • Tahap 10 Liga Gold: 3 Kad Rare + 2 Pek Terbaru
  • Tahap 5 Liga Gold: 5 Kad Rare + 2 Pek Terbaru
  • Tahap 10 Liga Platinum: 5 Kad Rare + 3 Pek Terbaru
  • Tahap 5 Liga Platinum: 7 Kad Rare + 3 Pek Terbaru
  • Tahap 10 Liga Diamond: 7 Kad Rare + 4 Pek Terbaru
  • Tahap 5 Liga Diamond: 7 Kad Rare + 1 Kad Epic + 4 Pek Terbaru
  • Legend: 7 Kad Rare + 1 Kad Epic + 5 Pek Terbaru

Jika mengikut jumlah kad, sistem ganjaran ini lebih baik berbanding sistem sekarang, tetapi pemain tidak lagi menerima dust, yang mungkin boleh digantikan melalui kad-kad yang diperoleh melalui pek.


Pelbagai perubahan ini mungkin antara yang paling besar di dalam sejarah Hearthstone, dengan laporan sebelum ini mengatakan jumlah pemain makin berkurang, mungkin perubahan ini akan membawa mereka kembali untuk bermain, Blizzard juga menyertakan pelbagai ganjaran untuk pemain yang baru pertama kali bermain dan juga yang sudah lebih 4 bulan tidak membukanya.

Apa pendapat anda dengan pelbagai perubahan ini? Dengan menjadi lebih mesra F2P, adakah ia akan menjadi penarik untuk anda mencubanya?

Hearthstone sudah dikeluarkan untuk peranti pintar iOS dan Android serta PC.

Sohor Kini