Storan Tambahan Untuk Xbox Series X Diperlihatkan

Semalam kami telah melaporkan bahawa Microsoft akhirnya telah memperlihatkan spesifikasi penuh untuk konsol permainan generasi akan datang mereka, iaitu Microsoft Xbox Series X.

Diantara ciri-ciri menarik yang tiba pada konsol tersebut ialah penggunaan teknologi storan terbaru yang dinamakan Xbox Velocity Architecture yang menggunakan storan SSD NVMe dan juga sokongan untuk teknologi penghantaran data PCIe 4.0.

Selain daripada itu, Microsoft turut mengumumkan bahawa Xbox Series X akan mempunyai sokongan untuk storan luaran, dimana salah satunya ialah sebuah storan yang turut menggunakan teknologi PCIe 4.0 yang sama seperti storan SSD di dalamnya.

Microsoft mengatakan bahawa buat masa ini, mereka telah bekerjasama dengan Seagate untuk membangunkan sebuah storan SSD NVMe luaran untuk membolehkan pengguna untuk meningkatkan jumlah storan dengan mudah.

Menurut mereka lagi, storan luaran oleh Seagate ini yang boleh dicucuk terus ke konsol dengan teknologi persendirian, dan ialah satu-satunya storan yang boleh digunakan untuk menyimpan fail-fail permainan khas Xbox Series X oleh kerana kelajuan pembacaan data dan lengah-masa yang rendah.

Storan cakera keras USB masih boleh digunakan untuk permainan-permainan yang dibina untuk Xbox 360 dan Xbox One tanpa sebarang masalah, jadi pengguna tidak perlu memuatkan permainan-permainan tersebut kedalam storan dalaman yang akan memakan saiz fail yang besar.

Buat masa ini, Microsoft ataupun Seagate masih belum memberitahu apakah harga storan tersebut, dan jika ia akan tiba bersama-sama dengan konsol Xbox Series X ini.

Sohor Kini