Skip to main content

Ori and the Blind Forest merupakan permainan genre “metroidvania” yang pertama saya suka, terutama melalui penceritaan yang disertakan. Pada 11 Mac lepas, iaitu hampir 5 tahun penantian, Moon Studio dan Xbox Games Studio telah melancarkan sekuel untuknya iaitu Ori and the Will of the Wips, buat Xbox One dan PC.

Blind Forest telah meletakkan satu tanda aras yang tinggi untuk permainan kedua ini, adakah ia dapat mencapai ataupun melebihi tanda aras tersebut?

Cerita

Penceritaan untuk Ori and the Will of the Wisps mengikut terus penceritaan selepas berakhirnya kejadian di Ori and the Blind Forest, dan memfokuskan watak Ori bersama dengan watak Ku iaitu seekor burung hantu, anak kepada Kuro yang menjadi “antagonis” untuk permainan pertama.

Apabila Ku berjaya terbang, dia membawa Ori untuk melihat kawasan sekitar, sehinggalah ribut berlaku yang mengakibatkan mereka terpisah. Permainan ini adalah mengenai Ori perlu melalui pelbagai kawasan untuk mencari Ku.

Bagi yang pernah mencuba permainan pertama, boleh dikatakan ia mengekalkan bentuk penceritaan permainan pertama. Ori akan berjumpa dengan pelbagai watak sepanjang pengembaraan dia, dan setiap watak tersebut akan membawa penceritaan tersendiri. Menjadikan ia lebih menarik, penceritaan masih lagi berkait dengan kejadian di dalam permainan pertama, yang mengekalkan konsep “akibat yang tidak disengajakan”.

Ia masih lagi satu penceritaan yang ringkas, disampaikan melalui dialog pendek dan juga “flashback”, namun, ia masih lagi penceritaan yang membawa emosi. Setiap perasaan yang cuba disampaikan seperti sedih, marah, sesalan, kesunyian berjaya disampaikan dan membuatkan saya merasai segala perasaan tersebut.

Berbanding dengan permainan pertama, penceritaan permainan ini juga lebih mudah untuk dijangka, ia tidak membawa elemen “mengejut”. Watak jahat di dalam permainan ini juga tidak sebaik permainan pertama, ia tidak mempunyai “motif” yang kuat.

Secara keseluruhan ia masih lagi satu penceritaan yang baik, watak jahat tersebut masih memberi impak yang baik kepada penceritaan dan apabila saya menghabiskan permainan ini, kejadian-kejadian di dalam permainan ini terus berada di ingatan.

Bentuk Permainan

Jika penceritaan terasa sedikit kurang berbanding dengan permainan pertama, terbalik pula untuk bentuk permainan, di mana ia menyertakan pelbagai penambahan menjadikannya satu permainan yang terasa dan dimainkan dengan lebih baik.

Ori and the Will of the Wisps adalah permainan pengembaraan, dan platformer yang menyertakan satu kawasan seperti sarang semut yang luas. Setiap kawasan menyertakan pelbagai cabaran berlainan, sama ada melalui penjahat ataupun bahaya daripada persekitaran.

Ia menyertakan tiga tahap kesukaran berbeza iaitu Easy, Normal dan Hard. Saya bermain sepenuhnya dengan tahap Normal dan merasakan ia adalah tahap yang cukup untuk kebanyakan pemain. Ia masih menyertakan cabaran yang akan memberi kepuasan kepada pemain apabila berjaya mengatasinya.

Bagi saya yang tidak mahir platformer, permainan ini menyertakan pelbagai “bantuan” yang dapat serba sedikit mengurangkan kesan daripada kesilapan pemain, setiap perkara yang sukar tidak memberi perasaan ia tidak adil ataupun tidak boleh dilakukan, sebaliknya ia memberi perasaan yang boleh dilakukan tetapi perlu dilakukan dengan lebih teliti.

Rekaan kawasan serta bahaya persekitaran dilakukan dengan sangat baik, ia akan menjadi satu perkara yang disukai oleh pemain yang menyukai bahagian platformer. Ia akan mengguna pakai segala kebolehan yang ada pada watak Ori, dan di banyak tempat ia akan memerlukan pelbagai kebolehan untuk digunakan bersama.

Ia juga boleh diselesaikan dengan pelbagai cara dan tidak semestinya bergantung kepada satu cara yang tetap, memberikan lebih fleksibiliti kepada pemain untuk menyelesaikan sesuatu kawasan mengikut kepakaran ataupun keinginan pemain tersendiri.

Manakala penjahat pula seperti mana-mana permainan genre ini adalah hadir untuk lebih menyusahkan anda dan ada masa ia akan menjadi menjengkelkan. Berbeza pula dengan “boss”, iaitu satu yang dikembangkan di dalam permainan kedua ini.

Ia akan memerlukan pemain melawan penjahat yang lebih berkuasa, kebiasaan adalah melawan satu binatang bersaiz besar. Setiap dilakukan dengan baik dan mempunyai pelbagai variasi daripada segi serangan termasuk juga cara untuk melawan.

Ada masa tidak perlu melawan sebaliknya perlu melarikan diri dengan melalui pelbagai kawasan yang penuh dengan rintangan. Ia adalah antara elemen yang saya sangat suka di dalam permainan ini.

Untuk melawan dengan penjahat-penjahat tersebut, Ori akan mempunyai pelbagai serangan berbeza, serangan utama (sekurang-kurangnya untuk awal permainan) pemain akan mendapat Spirit Edge iaitu pedang yang boleh digunakan oleh Ori ia adalah serangan jarak dekat, berbeza dengan permainan pertama sebelum ini yang lebih kepada serangan jarak jauh.

Sepanjang permainan, pemain akan mendapat pelbagai kebolehan lain, kebanyakan adalah sebahagian daripada penceritaan, tetapi ada juga beberapa yang memerlukan pemain membelinya menggunakan Sprit Light yang boleh didapati dengan mencarinya ataupun dengan membunuh penjahat. Secara keseluruhan terdapat 12 kebolehan dan pemain boleh menggunakan 3 sahaja daripadanya pada sesuatu masa, tetapi ia boleh ditukar-tukar setiap masa, termasuk juga semasa bertempur.

Kepelbagaian kebolehan tersebut menjadikan pertempuran lebih menarik dan memberi peluang kepada pemain untuk mencuba gaya tersendiri dan bermain mengikut kemahiran, ia juga memberi ruang kepada pemain yang ingin mencuba pelbagai cara berbeza.

Selain itu terdapat juga Spirit Shard yang merupakan kebolehan pasif, ia akan memberikan pemain kelebihan seperti serangan lebih berkuasa, kebolehan untuk melekat di dinding dan juga pertahanan tambahan. Ia menggantikan sistem pokok kebolehan daripada permainan pertama. Terdapat lebih 30 Spirit Shard berbeza yang boleh digunakan tiga pada satu masa, ia juga boleh ditukar pada bila-bila masa, sekali lagi memberi kebolehan kepada pemain untuk mengubahnya bergantung kepada situasi semasa.

Seperti kebolehan, Spirit Shard juga boleh didapati dengan mencari dan juga dengan membelinya menggunakan Spirit Light. Ia juga boleh ditingkatkan tahap. Pada pengalaman saya bermain, ia tidak diperlukan untuk menghabiskan permainan ini, akan tetapi akan membuatkan sesi permainan lebih mudah.

Selain pertempuran, permainan kali ini juga menyertakan kawasan yang lebih luas untuk mengembara, ia boleh dikatakan 2 atau 3 kali lebih besar berbanding permainan sebelum ini. Bersama dengan dunia yang lebih besar, mereka juga menyertakan pelbagai aktiviti untuk memberi sebab kepada pemain untuk mengembara.

Antaranya adalah mencari collectible yang kali ini, memberi alasan kepada pemain untuk mengumpulnya. Contohnya mengumpul Gorlek Ore, dengan mengumpulnya pemain dapat memberinya kepada Grom yang akan menggunakan untuk menghasilkan tempat penetapan bagi dan juga membuang benda-benda yang berbahaya daripada persekitaran. Ia akan memberikan satu perasaan yang baik setiap kali berjaya melakukan sesuatu perkara. Menjadikan pengumpulan Gorlek Ore lebih bermakna, ia juga akan memberi cabaran kepada pemain kerana kebiasaan terletak di kawasan yang sukar untuk dicapai.

Selain itu ia juga memperkenalkan sesuatu yang baharu untuk permainan ini iaitu misi sampingan ataupun Quests. Pemain akan mendapat misi untuk dilakukan, selain daripada penceritaan utama. Ia tidak wajib dilakukan, tetapi akan memberi penceritaan tambahan. Ia juga memberi alasan kepada pemain untuk melawat sesuatu kawasan.

Selain itu, ia juga menyertakan Trials seperti Spirit Trials yang memerlukan pemain bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan masa terpantas, terdapat juga Combat Trials untuk pemain bertempur dengan pelbagai penjahat.

Dengan kedua-dua perkara di atas saya boleh katakan permainan ini “merayu” untuk anda mengembara , ini ditambah lagi dengan sistem simpanan baharu, iaitu ia mempunyai simpanan secara automatik dan tidak lagi memerlukan pemain untuk menyimpan permainan secara sendiri menggunakan Soul Link seperti permainan sebelum ini. Tidak lagi akan berlaku anda perlu bermula dari jauh kerana terlupa untuk menyimpannya, ia adalah satu perubahan yang sangat baik.

Grafik

Mengekalkan arahan seni daripada permainan pertama iaitu grafik yang menggunakan gaya lukisan, Ori and the Will of the Wisps adalah satu permainan yang sangat cantik. Rekaan persekitaran, rekaan dunia serta rekaan watak adalah antara yang terbaik pernah hadir di dalam permainan video.

Ia mempunyai warna yang terang, dengan penggunaan perbezaan warna membantu untuk memberi isyarat visual kepada pemain untuk melakukan sesuatu aksi, ia juga menandakan bahaya yang ada. Ini sekali gus menjadikan pengembaraan di dalam permainan satu pengalaman yang mengasyikkan.

Permainan ini menyokong resolusi sehingga 4K untuk PC yang berkeupayaan dan juga untuk Xbox One X, buat PC, ia boleh dimainkan dengan baik walaupun untuk PC yang mempunyai spesifikasi yang sederhana.

Semasa saya bermain, ia ada sedikit masalah prestasi, di mana kelancaran tidak stabil di beberapa tempat, terdapat juga barangan yang tidak berfungsi seperti sepatutnya. Namun, secara keseluruhannya, ia tidak sangat memberi kesan semasa saya bermain, dan kemaskini juga sudah hadir untuk permainan ini yang sudah meningkatkan prestasi permainan ini.

Saya bermain permainan ini sepenuhnya di PC, tetapi berdasarkan beberapa laporan, ia juga mempunyai masalah untuk dimainkan di konsol Xbox One S.

Audio

Bersama dengan grafik, muzik latar juga memainkan peranan penting untuk memberi “mood” kepada permainan ini. Ia menggunakan muzik latar yang sangat mengasyikkan, dan pada masa sama membantu untuk menjadikan sesuatu adegan ataupun kejadian lebih memberi impak.

Ini lebih jelas apabila sedang bertempur dengan boss, ia menggunakan muzik latar yang sangat epik, menjadikan pertempuran walaupun ada masa sangat sukar, tetapi anda masih berasa tenang kerana muzik.

Satu perkara yang menarik mengenainya lagi adalah muzik latar semasa pertempuran utama, tidak akan berhenti walaupun anda mati, ia akan berterusan. Bagi saya ia mengurangkan perasaan geram apabila mati, kerana ia bagaikan anda masih sedang bermain dan tidak mati.

Rumusan

Akhir kata, Ori and the Will of the Wisps meneruskan lagi perkara yang baik daripada permainan pertama dan lebih mengembangkan dengan pelbagai perkara baharu untuk bentuk permainan. Ia memberikan bentuk pertempuran yang lebih baik, serta pengembaraan yang lebih mengasyikkan dengan dunia yang besar diisi dengan pelbagai kandungan.

Kekurangan sedikit pada penceritaan jika ingin dibandingkan dengan permainan sebelum ini tidak sangat mengganggu daripada menjadikan ia adalah permainan yang wajib dimainkan.

Leave a Reply