Setelah Nintendo dan LEGO mengacahkan kolaborasi mereka awal minggu ini, kini kolaborasi tersebut akhirnya diumumkan secara rasmi yang mana Nintendo dan LEGO hari ini memperlihatkan set mainan khas LEGO Super Mario.
Menurut LEGO, set mainan ini adalah imaginasi semula untuk pengalaman LEGO yang mana ianya adalah satu mainan interaktif khas yang membenarkan pemain bukan sahaja berupaya untuk menghasilkan “peringkat” permainan Super Mario tersendiri, malah watak Mario juga dilengkapi dengan pembesar suara dan skrin kecil untuk memperlihatkan jumlah masa dan koin seperti permainan Super Mario di konsol.
Menariknya juga, set mainan LEGO tersebut juga menyertakan pelbagai fungsi yang menarik yang mana jika pemain menghempapkan Mario ke atas watak musuh seperti Gomba, pemain akan mendapat koin, yang mana seperti permainan Super Mario.
Semestinya konsep main interaktif adalah sesuatu yang unik untuk siri mainan LEGO dan berdasarkan set-set yang tersedia, pemain juga boleh menghasilkan sendiri peringkat permainan dan tamatkan di lokasi bendera pada penghujung permainan.
Set LEGO Mario juga menyertakan skrin khas di badannya untuk mempamerkan masa dan jumlah koin. Menariknya ia juga mempunyai pembesar suara yang akan memainkan muzik Super Mario dan apa yang membuatkan saya berminat adalah jika masa hampir tamat, muzik permainan tersebut juga menukar kepada lebih menggerunkan dan pantas seperti mana permainan asal Super Mario.
Konsep ini semestinya sangat menarik dan sesuatu yang berlainan berbanding dengan mainan LEGO lain. Namun memandangkan ianya adalah set yang pelbagai, kami percaya ianya akan dijual dengan harga yang agak mahal jika ia memasuki pasaran Malaysia. Dari segi tarikh pelancaran, LEGO dan Nintendo menyatakan ia akan tiba sekitar tahun ini.
Seperti biasa kami akan mengemaskini sebarang informasi lanjut setelah ia dikongsikan.