Wabak koronavirus adalah isu yang amat serius. Orang ramai tidak digalakkan menghabiskan masa di luar, bagi mengelak dijangkiti dengan virus ini. Ini adalah termasuk menonton wayang. Disebabkan wabak ini, banyak filem telah ditunda bagi memastikan keselamatan orang awam dan tidak ingin menjejaskan kutipan tiket. Minggu lepas, filem James Bond: No Time To Die telah pun diumumkan akan ditunda kepada bulan November 2020.
Terkini, beberapa lagi filem yang pasti ramai nantikan turut ditunda. Filem pertama adalah Fast Furious 9 ataupun Fast 9. Ia dijadualkan untuk ditayangkan pada 21 Mei 2020. Namun telah ditunda kepada April 2021. Hampir satu tahun, buat masa ini – ia adalah yang paling lama ditunda dari tarikh asal.
Seterusnya adalah filem-filem dari Disney. Filem pertama adalah Mulan yang sepatutnya ditayangkan pada 26 Mac 2020. Kemudian filem yang sudah ditangguh beberapa kali, iaitu The New Mutants turut terjejas. Filem ini dijadualkan untuk tayangan pada 2 April. Akhir sekali adalah filem Antlers, iaitu filem sebuah filem seram. Ia juga adalah salah satu dari filem untuk tayangan bulan April, iaitu 16 April. Ketiga-tiga filem dari Disney ini masih tiada tarikh baharu untuk tayangan. Bagi mereka yang sudah membeli tiket Mulan, yang sudah pun mula dijual sejak minggu lepas – pihak pawagam akan membayar balik wang anda.
Akhir sekali adalah filem A Quite Place Part 2. Pengarah filem ini, John Krasinski telah mengumumkan yang filem ini turut akan ditangguh dek kerana wabak koronavirus. Filem ini sepatutnya ditayangkan pada minggu hadapan, 19 Mac 2020. Ia adalah sekuel kepada A Quite Place, filem seram senyap yang ditayangkan pada April 2018. tarikh tayangan baharu masih tidak diumumkan.