Beberapa bulan lepas, kami melaporkan yang mana Bethesda Softworks bukan sahaja akan melancarkan permainan DOOM Eternal pada bulan ini, malah mereka juga akan menyertakan permainan pernambah-baikkan DOOM 64, iaitu asalnya ianya dilancarkan di konsol Nintendo 64.

Terkini melalui temu bual bersama US Gamer, James Haley iaitu pembangun permainan ini dari Nightdive Studios berkongsi yang mana permainan DOOM 64 akan menyertakan kandungan baharu.

Menurut beliau, pemain akan berupaya untuk mendapat kandungan baharu setelah tamat sahaja penceritaan utama permainan tersebut. Menariknya menurut James Haley, kandungan penceritaan tersebut akan menghubungkan penceritaan permainan DOOM yang pasti akan peminat hargai.

Selain daripada kandungan penceritaan, pembangun permainan ini juga menyatakan bahawa permainan ini juga mempunyai beberapa pernaik-tarafan dari segi sokongan kadar bingkai sesaat yang tinggi dengan visual yang dinaik-taraf. Selain itu, sokongan menukar warna darah dan kawalan dengan pergerakkan buat alat kawalan Dualshock 4 atau JoyCon juga akan disertakan.

DOOM 64 akan dilancarkan bersama DOOM Eternal pada 20 Mac 2020 ini dan ianya disertakan sebagai permainan bonus bagi mereka yang membuat pra-tempahan DOOM Eternal di konsol PlayStation 4, Xbox One, Switch dan juga PC. Namun bagi pelancaran DOOM Eternal di Switch, Bethesda Softworks masih belum mengumumkan tarikh pelancarannya.

Sohor Kini