Tampaknya, laporan berkenaan Horizon Zero Dawn akan dilancarkan di PC akan menjadi kenyataan di mana Hermen Hulst sendiri iaitu presiden Worldwide Studios dan juga bekas pengarah urusan pembangun permainan tersebut iaitu Guerilla Games mengesahkannya di dalam temu bual terkini di blog rasmi PlayStation.

Menurut temu bual tersebut, Horizon Zero Dawn disahkan sendiri oleh Hermen Hulst yang mana ianya akan tiba di PC sekitar suku ketiga tahun ini dengan edisi lengkap bersama penambahan The Frozen Wilds yang dilancarkan sebelum ini. Dari segi platform, setakat ini ianya disahkan bakal tiba di Steam.

Menurut beliau lagi, pengarah studio baharu di Guerrila Games iaitu Michiel van der Leeuw, JB van Beek, dan Angie Smets akan mengumumkan sebarang informasi lanjut kelak.

Atas sebab mengapa mereka mengambil keputusan untuk membawa permainan tersebut di PC adalah mereka ingin membuka lebih ramai pemain untuk bermain permainan yang tidak berpeluang untuk dimainkan oleh sesetengah pemain dan pada masa yang sama, Hermen Hulst menyatakan ini tidak bermakna kesemua permainan keluaran Sony akan dilancarkan di PC. Beliau hanya menyatakan bahawa Horizon Zero Dawn merupakan pilihan yang baik untuk tindakan ini. Namun dari segi tarikh pelancaran ianya masih belum diumumkan.

Temu bual tersebut juga banyak menekan beberapa topik lain yang menarik seperti permainan Dreams dan juga beberapa hak intelek oleh PlayStation yang dikembangkan ke dalam bentuk filem dan siri TV yang mana selain daripada filem Uncharted dan siri TV The Last Of Us yang diumumkan sebelum ini, Hermen Hulst mengesahkan akan terdapat lebih banyak lagi kandungan dari PlayStation Productions pada masa akan datang kelak.

Untuk temu bual penuh, anda boleh ke blog rasmi PlayStation yang mana juga mereka berkongsi dalam bentuk audio Podcast untuk anda dengari.

Sohor Kini