Altered Carbon adalah siri TV aksi nyata eksklusif Netflix. Ia diadaptasi dari sebuah novel Cyberpunk 2002, yang ditulis oleh Richard K. Morgan. Ia berlaku di masa hadapan di mana, manusia tidak lagi boleh “mati”. Sebaliknya minda atau kesedaran disimpan dalam satu alat memori yang dinamakan Stack dan boleh dipindahkan antara tubuh badan ke tubuh badan. Tubuh badan ini dinamakan sebagai Sleeve, iaitu “sarung” untuk minda tadi. Di Netflix, kini sudah pun dua musim. Yang mana musim pertama adalah pada tahun 2018 dan musim kedua membuatkan penonton menanti-nantikan musim ketiga – yang mungkin akan disiarkan pada tahun 2021.

Untuk senarai rancangan, siri TV dan filem bulan Mac – terdapat satu animasi baharu berjudul Altered Carbon: Resleeved. Siri animasi ini diadaptasi dari siri TV aksi nyata yang saya ceritakan di perenggan di atas. Untuk siri animasi ini, Netflix akan mengembangkan lagi jalan cerita Altered Carbon dengan kisah baharu yang belum pernah diceritakan. Altered Carbon: Resleeved ini diarahkan oleh Jo Nakajima dan ditulis oleh Dai Sato. Dai Sato adalah individu yang bertanggungjawab untuk siri animasi seperti Cowboy Bebop.
Siri animasi ini akan memfokuskan watak Takeshi Kovacs perlu melindungi seorang gadis tukang tatu yang diburu oleh ketua Yakuza. Sambil itu, Takeshi turut akan berdepan dengan Colonial Tactical Assault Corps (CTAC). Semua ini berlaku di sebuah planet Latimar.
Dalam video acah, gadis tukang tatu tadi dilihat mempunyai kuasa dan mungkin memiliki rahsia sehinggakan ketua Yakuza ingin membunuih beliau. Selain itu, Takeshi Kovacs turut dilihat berlawan dengan robot ninja atau mungkin hanya konco-konco ketua Yakuza tadi dengan sut berteknologi tinggi. Masih tidak pasti latar masa siri animasi ini berada di mana. Adakah ia sekuel untuk siri TV aksi nyata atau juga prekuel?
Ia akan disiarkan di Netflix bermula 19 Mac ini. Sama-sama kita saksikan kelak.