Februari lepas, EA dan Maxis melancarkan penambahan baharu buat permainan The Sims 4 yang mana ianya menyertakan set perabot kompak dengan rumah kecil khas melalui penambahan Tiny Living.

Dengan penambahan ini, semestinya ianya menarik minat saya sendiri atas sebab saya sering tonton video-video di Internet untuk melihat perabot-perabot kompak yang mempunyai pelbagai fungsi yang boleh dilipat, disimpankan dan sebagainya, untuk menjimat ruangan bilik. Konsep ini semestinya tidak asing untuk zaman kontemporari ini, terutamanya mereka yang ingin hidup berjimat.

Terkini dengan penambahan “Tiny Living” buat permainan The Sims 4, semestinya saya dapat menghasilkan gaya hidup seakan video-video yang saya tonton tersebut secara maya yang mana pasti dapat merealisasikan impian saya, walaupun di dalam dunia maya.

Pembinaan Rumah Kecil Dan Kelebihan

Semestinya untuk mengakses mod gaya hidup kompak ini adalah ringkas yang mana apabila anda ingin bermula membina rumah, pastikan anda memilih “Tiny Living” untuk jenis kediaman anda yang terdapat di penghujung kiri paparan antara muka permainan ini.

Setelah anda memilih tetapan tersebut, permainan ini kemudiannya akan menyenaraikan beberapa keperluan yang anda perlukan untuk mengaktifkan mod tersebut di mana ianya akan terbahagi kepada 3 jenis peringkat rumah.

Peringkat ini adalah berdasarkan jumlah petak penggunaan rumah yang anda gunakan dan setiap peringkat mempunyai kelebihannya tersendiri. Berikut adalah senarai penggunaan jumlah kotak dan peringkat kediaman yang tersedia:

  • Rumah Mikro – 32 atau kurang jumlah kotak perumahan
  • Rumah Sangat Kecil – 33 hingga 64 jumlah kotak perumahan
  • Rumah Kecil – 64 sehingga 100 kotak perumahan

Setiap peringkat tersebut kemudiannya mempunyai kelebihannya tersendiri di mana ianya juga merupakan mengapa penambahan ini disediakan atas sebab “kelebihan” yang pemain boleh dapatkan untuk setiap peringkat rumah kecil tersebut.

Antara kelebihan yang tersedia adalah jumlah bil yang lebih murah, tanaman dan hubungan yang lebih cepat berkembang, peningkatan mood watak Sims dan sebagainya. Semestinya kelebihan tersebut adalah berbeza mengikut peringkat jenis rumah kecil dan secara keseluruhannya, peringkat dengan penggunaan perumahan kotak paling kecil, iaitu rumah mikro pasti akan mendapat jumlah kelebihan yang lebih banyak berbanding peringkat lain.

Konsep ini sedikit sebanyak apa yang membuatkan penambahan ini unik atas sebab pilihan yang disediakan dan kelebihan yang pemain boleh dapatkan dengan menggunakan gaya hidup kompak.

Semestinya konsepnya adalah seakan kehidupan nyata, namun memandangkan anda masih lagi perlu membeli ruangan tanah yang luas dan permainan ini tidaklah mempunyai ruangan yang sempit, konsep gaya hidup kompak ini kelihatan agak pelik dan janggal untuk permainan The Sims 4 ini.

Namun bagi anda yang mempunyai penambahan kehidupan bandar seperti kandungan Universiti ataupun kehidupan Bandar dengan lokasi-lokasi tersebut, ianya mungkin agak sesuai dengan penambahan ini memandangkan ianya juga menyertakan pelbagai kandungan lain seperti perabot dan kostum-kostum buat watak Sims yang akan saya terangkan di bawah.

Kandungan Rekaan Watak Sims

Sebelum saya bercakap berkenaan perabot-perabot, benda pertama yang saya ingin kongsikan melalui penambahan ini semestinya adalah set pakaian, kostum, aksesori dan rupa watak Sims yang disertakan bersama.

Semestinya set ini tidaklah terhad kepada perabot “kompak” sahaja di mana EA dan Maxis masih lagi menyertakan pelbagai kostum, gaya rambut dan sebagainya untuk melengkapkan gaya hidup “ringkas” ataupun “kecil” di dalam permainan ini.

Dari set baju sejuk sehinggalah gaya rambut pelbagai, penambahan ini pasti akan menarik minat mereka yang ingin menggayakan watak mereka seakan watak “millennials” zaman kini. Semestinya set-set kostum tersebut adalah tidak terhad buat watak wanita sahaja, malah watak lelaki dan juga kanak-kanak bersama aksesori pilihan seperti subang, rantai dan sebagainya juga disertakan bersama.

Akan tetapi, apa yang saya boleh katakan set yang disertakan agak ringkas dan ianya bukanlah satu set yang perlu anda dapatkan dari segi kepelbagaian kandungan jika ingin dibandingkan dengan penambahan lain. Namun, saya memahami atas sebab kandungan ini bukanlah perkara utama jika ingin dibandingkan kandungan perabot yang akan saya kongsikan di bawah.

Kandungan Perabot Kompak

Semestinya perkara utama di dalam penambahan ini adalah perabot-perabot kompak yang pemain gunakan untuk menghias, menyusun dan memperagakan gaya hidup “kompak” dan ringkas yang disertakan. Imej di bawah memperlihatkan senarai perabot-perabot yang disediakan yang mana pada pendapat saya adalah satu senarai yang bagus dan sangat pelbagai.

Saya sendiri menyukai beberapa aspek perabot yang mempunyai pelbagai fungsi, contohnya seperti katil yang boleh disimpankan terus ke dalam almari dan terdapat juga katil dwi-fungsi yang disertakan bersama sofa yang mana pemain boleh gunakan sebagai satu sofa utama untuk watak Sims pemain untuk duduk sambil menonton TV ataupun makan. Watak tersebut kemudian berupaya untuk menarik katil dari dinding untuk digunakan sebagai katil untuk tidur.

Manakala perabot lain seperti TV juga dihasilkan dengan baik di mana Maxis menyediakan dua pilihan sama ada TV bersama satu set almari yang boleh digunakan untuk penyimpanan barang ataupun set TV bersama almari tergantung yang mana pasti satu set yang sangat menjimatkan ruang. Pilihan ini bukan sahaja memberi saya peluang untuk menghias rumah dengan lebih menarik, malah ianya juga menjimatkan ruangan yang saya ada akibat pilihan rumah kecil atas sebab jumlah kotak yang terhad saya kongsikan di atas.

Aspek lain pula, seperti yang saya katakan di atas, kesemua perabot yang disediakan melalui penambahan ini sudah pasti ia menjimatkan ruangan yang lebih banyak dengan jumlah penggunaan kotak perumahan yang lebih berkurangan, sekaligus ianya juga membawa tema gaya hidup kompak idaman buat ramai pemain.

Bercakap berkenaan rekaan, saya sendiri menyukai rekaan yang disertakan dan variasi warna yang boleh saya tetapkan buat perabot-perabot tersebut. Semestinya ia tidaklah menyediakan variasi warna yang banyak, namun pada pendapat saya ianya sudah memadai apa yang saya inginkan dan ianya tepat dengan tema perabot-perabot lain tanpa sebarang gaya yang bercanggah.

Walaupun begitu, perabot yang didatangi juga mempunyai beberapa masalah terutamanya katil yang mana ianya cepat rosak setelah beberapa kali penggunaan. Bentuk perabot rosak bukanlah sesuatu yang baru untuk siri permainan The Sims, namun apa yang saya dapati melalui penambahan ini ianya sering sekali berlaku, menyebabkan watak Sims saya sering cedera.

Antaranya adalah katil seperti yang saya nyatakan di atas di mana setiap hari ketika watak Sims saya tidur, ianya pasti akan berasap dan pemain perlu memanggil tukang ataupun membaikinya sendiri. Jika pemain tidak melakukan perkara tersebut, ketika pemain ingin turunkan katil, pemain akan pasti mencederakan watak Sims pemain dan ianya juga boleh membawa maut.

Semestinya katil tersebut boleh dinaik-tarafkan untuk tingkatkan kualiti dan ketahanannya, namun ianya berasa sangat remeh memandangkan saya sendiri baru sahaja menghabiskan duit untuk membeli perabot tersebut dan apabila ianya rosak dengan sekali penggunaan, ianya berasa agak menjengkelkan.

Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk perabot-perabot lain yang mana saya sendiri menghadapi masalah sinki yang rosak dengan hanya beberapa kali penggunaannya sahaja. Boleh dikatakan walaupun ruangan dan rupa perabot yang disediakan adalah sangat menarik dan kecil, namun kualiti perabot tersebut dukacitanya adalah sangat teruk sekali.

Penambahan Yang Ringkas Dan Padat

Akhir kata, semestinya penambahan ini adalah satu penambahan yang ringkas namun menyertakan kandungan yang sangat padat dari segi gaya hidup “kompak”. Namun untuk membayar sebanyak RM41, ianya berasa agak mahal dengan jumlah kandungan yang disediakan. Dicampurkan pula dunia permainan The Sims 4 adalah sangat meluas dengan pelbagai kandungan lain, dengan hanya kandungan kecil ini sahaja semestinya ia berasa agak kurang berbaloi.

Tambahan itu dengan barangan yang disediakan asyik rosak dan sering menyebabkan watak Sims saya cedera, semestinya misi sampingan untuk tingkatkan kualiti produk yang disediakan berasa agak remeh dan berulangan yang membuatkan sesi permainan saya berasa sangat hampa.

Meskipun begitu, bagi anda yang ingin merealisasikan cita-cita anda untuk menghasilkan rumah kecil dengan perabot kompak, semestinya penambahan ini adalah untuk anda, namun saya mengesyorkan anda untuk dapatkan pelbagai lagi tambahan lain untuk tingkatkan lagi jumlah barangan dan perabot yang disediakan atas sebab penambahan ini masih lagi satu penambahan kecil yang agak berkurangan dari segi kandungan dan nilai jumlah permainan.

The Sims 4 telah pun dilancarkan di konsol PlayStation 4, Xbox One dan juga PC di mana ianya juga mempunyai pelbagai kandungan penambahan, pek-pek ekstra dan sebagainya. Bagi anda yang berminat, anda boleh membelinya di platform pilihan anda.

Penafian: Kod penambahan Tiny Living buat permainan The Sims 4 disediakan oleh Electronic Arts.

Sohor Kini